NASIB seseorang tidak ada siapa mengetahui. Ada waktunya sihat sejahtera riang gembira, ada ketika terpaksa menempuh sengsara duka keperitan hidup hingga terpaksa mohon simpati dan belas ihsan sesiapa sahaja individu berkemampuan. : KitaReporters
Susiawaty Sukry terpaksa banyak menghabiskan masa duduk disebabkan keadaan fizikalnya lemah dan kurang bertenaga berpunca daripada buah pinggangnya yang bocor dan tidak berfungsi. - Kredit foto-foto: Persatuan Penduduk Seksyen 7 Lestari Perdana.
Sudahlah sengsara dicerai suami dan terpisah dengan anak-anak, wanita ini kini terpaksa menanggung keperitan hidup berseorangan dengan buah pinggang bocor hingga membataskan pergerakan yang memungkinkan tidak mampu bekerja mencari pendapatan menyara hidup seharian.
Inilah keadaan hidup terpaksa dilalui seorang ibu tunggal Susiawaty Sukry, 45, bagaikan bak pepatah 'Sudah Jatuh ditimpa tangga' yang kini tidak mempunyai sumber pendapatan dan tinggal menumpang di rumah seorang kawan di Seksyen 7 Lestari Perdana, Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, Selangor.
Beliau yang berasal daripada negara jiran Indonesia kini berstatus penduduk tetap (PR) memiliki kad pengenalan merah mempunyai tiga orang anak semuanya tinggal bersama bekas suami di Taman Perumahan Lestari Perdana 8 (LP8).
Bagaimanapun ada antara anak-anaknya masih mahu berjumpa dengannya.
"Penderitaan sakit buah pinggang dialami sejak lapan bulan lalu bermula Oktober 2019 dan sebelum ini selalu mendapat rawatan di hospital dan makan ubat-ubatan dibeli di farmasi," ujarnya dalam pertemuan di Seksyen 7 Lestari Perdana pada Selasa, 26 Mei 2020.
Disebabkan masalah kesempitan kewangan, Susiawaty tidak dapat menjalani rawatan di hospital dan membeli ubat-ubatan keperluan untuk masalah buah pinggangnya.
Bagaimana pun sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula sejak 18 Mac 2020, beliau tidak ada sumber kewangan untuk tambang pergi balik ke hospital dan membeli ubat-ubatan disebabkan tidak bekerja.
Beliau yang dikenali dengan panggilan Sue dalam kalangan kawan-kawan dan rakan taulan berikutan keadaan ini terpaksa menghadapi masalah untuk bergerak kerana keadaan fizikal dirinya agak lemah dan kritikal.
Bila berjalan pun perlahan dan perlu berhati-hati.
Sebelum ini dia bekerja di salah sebuah sekolah di Taman Desaminium, Lestari Perdana secara kontrak dan tidak tahu apakah nasibnya masih berpeluang meneruskan pekerjaan tersebut bila sekolah beroperasi nanti memandangkan keadaan dirinya yang kian hari semakin uzur sekarang.
Malahan Sue pada pertemuan itu jelas kelihatan kurang bertenaga, lesu dan lemah disebabkan buah pinggangnya yang bocor dan tidak berfungsi.
Keadaan muka sembam, badan berisi air, kaki dan tangan bengkak, malahan untuk mengangkat barangan ringan juga agak sukar.
Susiawaty Sukry memerlukan bantuan ihsan orang ramai untuk menjalani rawatan dan membeli ubat-ubatan bagi meringankan masalah buah pinggangnya.
Katanya, pada peringkat awal, dia hanya menghidap sakit buah pinggang tetapi setelah berlanjutan selama lapan bulan kini keadaannya semakin serius.
Buah pinggangnya sekarang sudah pun bocor.
Disebabkan masalah kesempitan kewangan kerana tidak bekerja bagi mendapatkan sumber pendapatan, dia sekarang terpaksa menangguhkan rawatan di hospital dan membeli ubat-ubatan.
Susiawaty sebelum ini merupakan antara individu yang aktif melibatkan diri dalam apa juga kegiatan sama ada aktiviti kebajikan, kesukanan, gotong royong dan apa sahaja perjumpaan komuniti di Seksyen 7 Lestari Perdana tidak kira anjuran Persatuan Penduduk,Kawasan Rukun Tetangga (KRT) mahupun surau.
Bagaimanapun sejak menghidap penyakit berkenaan kelibat beliau bersama ahli komuniti tidak lagi kelihatan hingga menimbulkan tanda tanya dalam kalangan rakan-rakan di kawasan taman perumahan tersebut.
Beliau berharap ada insan yang bersimpati memberi pertolongan dan bantuan bagi membolehkannya menjalani rawatan serta membeli ubat-ubatan sebagai usaha mengatasi meringankan kesakitan terpaksa dihadapi.
Pengerusi, Persatuan Penduduk Seksyen 7 Lestari Perdana, Hairi Eberahim (kanan) menyampaikan sumbangan bantuan barangan keperluan asas dan wang tunai kepada Susiawaty Sukry di Seksyen 7 Lestari Perdana, Bandar Putra Permai, Seri Kembangan,Selangor.
Kepada sesiapa yang ingin membantu boleh terus menghubungi beliau melalui talian 011 51283205 atau menghubungi Biro Kebajikan, Persatuan Penduduk Seksyen 7 Lestari Perdana melalui talian 018 9198179.
Sementara itu, Persatuan Penduduk Seksyen 7 Lestari Perdana pada Selasa, 26 Mei 2020 menghulurkan sedikit bantuan barangan keperluan asas antaranya beras, gula, minyak masak, tepung, bihun, cili kering, ikan bilis dan lain-lain berserta wang tunai bagi tujuan perubatan.
Pengerusinya, Hairi Eberahim berharap dengan bantuan yang nilainya tidak seberapa itu dapat sedikit sebanyak membantu meringankan beban yang ditanggung ibu tunggal berkenaan.
Mohamad Ibrahim (kiri) menerima sumbangan wang sagu hati Unit Khairat Kematian, Persatuan Penduduk Seksyen 7 Lestari Perdana daripada Hairi Eberahim, berikutan kematian ibu beliau baru-baru ini. - - Kredit foto-foto: Persatuan Penduduk Seksyen 7 Lestari Perdana.
Penyerahan itu yang diadakan di Bilik Gerakan KRT taman berkenaan turut dihadiri Bendahari KRT Shaharuddin Yusof; Bendahari Persatuan Penduduk, Mohamad Isa Ibrahim; dan aktivis masyarakat, Mohamad Abdul Razak Ahmad.
Pada acara berkenaan turut diadakan penyampaian wang sagu hati Unit Khairat Kematian, Persatuan Penduduk Seksyen 7 Lestari Perdana kepada salah seorang ahli persatuan, Mohamad Ibrahim yang kematian ibu baru-baru ini oleh Hairi Eberahim. - KitaReporters