Insan & Komuniti 05 Jun, 2024

Baju raya percuma sempena Aidiladha! Terima kasih sukarelawan Bangi, LLCM! Seksyen 7 BBB, 9 Jun 2024!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023.

Share this


JIKA belum mempunyai pakaian untuk dipakai sempena Hari Raya Aidiladha 2024 ini, anda boleh datang ke tempat letak kereta, Open University Malaysia (OUM) di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi, Selangor untuk mendapat pelbagai jenis pakaian percuma, dari kanak-kanak sehingga golongan dewasa.

Program Kongsi dan Ambil Pakaian Terpakai atau "Free Market" itu anjuran Sukarelawan Bangi, Life Line Clothing Malaysia (LLCM), Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 16 Bangi dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) diadakan Ahad, 9 Jun 2024 ini, bermula jam 8 pagi hingga 10.30 pagi.

Urusetia Program, Khansa' Zulkiflee, berkata ini adalah aktiviti kedua selepas program yang sama pada 6 April 2024 bagi memberi secara percuma pakaian terpakai untuk komuniti tempatan sempena Hari Raya Aidilfitri lalu. 

Peserta boleh menggantung baju pada bonet kereta bagi memudahkan orang ramai yang memerlukan untuk mengambil secara percuma.


Beliau berkata, program pertama diadakan atas usaha seorang pensyarah OUM yang berpendapat dalam keadaan ekonomi yang mencengkam dan kenaikan harga barangan di pasaran, komuniti perlu membantu komuniti untuk meringankan beban kewangan mereka termasuk membeli pakaian baru sempena hari perayaan, Aidilfitri dan Aidiladha.

"Sambutan pada program pertama sempena Aidilfitri, baru-baru ini, agak kurang memberangsangkan kerana kelewatan membuat promosi apatah lagi ramai warga tempatan sudah balik kampung tapi ada juga peserta yang membuka jualan kepada sesiapa yang lalu lalang.

"Kali ini, kami jangka sambutan lebih baik kerana maklum balas diterima daripada masyarakat agak memberangsangkan, ramai yang menghubungi saya bertanya mengenai program itu dan berminat untuk mengambil bahagian serta menghantar pakaian terpakai mereka Ahad ini," katanya. 

Khansa' Zulkiflee 


Menurut Khansa', sesiapa saja boleh menyumbangkan pakaian terpakai atau baju untuk diberikan kepada komuniti tanpa mengira mereka golongan B40, ibu tunggal atau miskin kerana ia diberikan secara percuma, cuma ambil mengikut keperluan keluarga masing-masing. Ini selaras dengan tema kami, "Dari Komuniti Untuk Komuniti".

"Kami menyediakan ruang di tapak letak kereta OUM untuk komuniti yang berminat membuka bonet kereta bagi memberi pakaian terpakai mereka kepada komuniti yang memerlukan, jika tiada kesempatan, mereka boleh menghantar kepada sukarelawan kami kerana LLCM menyediakan lori lima tan untuk mengumpul pakaian terpakai," katanya.

Konsep "Free Market" memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan barangan atau pakaian secara percuma tanpa ada jual beli.


Beliau berkata, program "free market" ini lahir atas tanggungjawab sosial (CSR) sebagai komuniti yang prihatin untuk membantu masyarakat tanpa mengharapkan balasan selain meningkatkan sifat tolong menolong sesama insan.

"Keunikan program ini adalah tiada urusan jual beli dan penerima boleh mengambil pakaian yang disediakan komuniti secara percuma. Keutamaan kepada golongan anak yatim, asnaf dan ibu tunggal tapi jika ada komuniti yang memerlukan pakaian boleh mengambil walaupun mereka bukan dari golongan terbabit," katanya.  

"Kami dengan kerjasama Pusat Kitar Semula Kaca juga menerima botol kaca yang sudah digunakan seperti kicap, sos, botol minuman, makanan atau ubat tapi mesti kaca kerana kami tidak menerima botol plastik," kata  Khansa'  lagi.

Program Kongsi dan Ambil Pakaian Terpakai juga memberi peluang orang ramai mendapatkan baju sempena Aidiladha.


Khansa berkata, idea asal daripada pensyarah OUM itu pihaknya berusaha supaya menjadi aktiviti lebih besar bagi manfaat kepada masyarakat terutama menjelang Aidiladha.

"Ada warga komuniti yang menyimpan baju yang terpakai tapi tak tahu nak buat apa, jadi lebih baik hantar dan sedekah kepada kami tapi jika mereka dapat menyumbangkan baju yang baru atau masih elok, itu yang terbaik. Kami sebagai "one stop center" akan membantu mereka.

"Konsep “Free Market" bukannya pertandingan untuk mengambil peluang menghabiskan pakaian terpakai secepat mungkin tapi memujuk hati komuniti mengambil pakaian yang mereka perlu saja," katanya. 

Konsep “Free Market" bukan pertandingan menghabiskan pakaian terpakai secepat mungkin tapi memujuk hati komuniti mengambil pakaian yang mereka perlu saja.


Beliau mengakui, jika mendapat kebenaran MPKj, tapak letak kereta di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi, Selangor akan dijadikan lokasi tetap program "Free Market" pada masa akan datang kerana ia amat sesuai, tiada banyak kenderaan yang lalu lalang dan mudah untuk dikunjungi selain mendapat kerjasama baik komuniti termasuk Ahli Majlis MPP Zon 16, Bukhari Bachok.

"Pada hari yang sama, kami juga membantu Stesen Minyak Shell Seksyen 7 menghebahkan program kitar semula minyak masak terpakai yang mana orang ramai boleh membawa minyak masak terpakai kepada pihak terbabit dan mendapat sedikit ganjaran wang tunai.

"Selain itu, kami mengalu-alukan jika ada sesiapa yang berminat untuk menaja sarapan kepada sukarelawan yang bertugas pada hari itu. Mereka boleh membawa minuman dan makanan ke lokasi untuk diagihkan kepada petugas kami. Tapi, kami berharap tidak ada aktiviti jual beli pada hari itu kerana ia akan menyimpang dari matlamat asal program ini," kata  Khansa' lagi. 

Jika tiada tempat untuk menggantung, letakkan baju di belakang bonet kereta dan orang ramai yang lalu lalang boleh mengambil keperluan itu dengan mudah.


Untuk memastikan keadaan orang ramai terkawal dan lalu lintas lancar, pihaknya berharap ramai sukarelawan dapat hadir bagi membantu supaya aktiviti yang diadakan berjalan dengan lancar dan tiada kesesakan.

"Ada dua tempat disediakan, pertama untuk pemilik kenderaan yang membuka bonet, kedua lori yang menerima baju yang dihantar ke situ. Selain itu, bagi memudahkan mereka dari luar kawasan, kami menyediakan peta lokasi supaya pemandu dapat mengikut laluan yang ditetapkan," katanya.

Hubungi Khansa' Zulkiflee melalui talian 011-37924585 jika pembaca ingin mendapat maklumat lanjut mengenai program "Free Market" Kongsi dan Ambil Pakaian Terpakai. - KitaReporters

17
14
0
10
0
You will be interested