Insan & Komuniti 29 Jun, 2024

Diari Mama Masscom| Video| Kasih sayang, tiada pernah kenal usia! Dilema bila ibu kahwin suami muda!

@hariyati ariffin
Mantan Pensyarah Kanan , dalam bidang Kewartawanan, Penyiaran dan Komunikasi di UiTM Shah Alam.

Share this


"Kasih sayang, tiada pernah kenal usia. Tua muda akan menikmatinya." Itulah antara bait-bait lirik dalam lagu Kasih Sayang nyanyian kumpulan D'lloyd yang sangat popular pada tahun 70-an dan 80-an dulu. 

Kisah yang akan saya bawakan pada kali ini ialah kisah anak tiri yang berasa segan dan malu dengan kawan-kawan dan masyarakat sekeliling bila ibunya berkahwin dengan lelaki yang muda 15 tahun daripada ibunya. 

Memulakan kisahnya dia memberitahu penulis. "Saya rasa seganlah tengok mak saya bermanja dengan ayah tiri yang usianya muda 15 tahun daripada mak. Macam mengada-ngada pulak, malu saya tengok."  

Dina (bukan nama sebenar) berusia 27 tahun memberitahu "bagi saya perempuan kalau dah tua memang tak sesuai nak romantik-romantik depan anak anak yang dah dewasa." 

Beliau pada awalnya memang tidak bersetuju dengan pilihan emaknya kerana ayah tirinya nampak jauh lebih muda daripada Ibunya dan ayah tirinya masih ada anak-anak yang kecil bersama bekas isterinya dulu. 

Baginya, ibu yang telah berusia 55 tahun sekarang sepatutnya menumpukan perhatian pada keluarga yang ada dan bukan memikul beban menjaga anak anak-anak tiri yang kecil dan masih bersekolah jika giliran ayah tirinya menjaga anak-anaknya di rumah mereka. 

"Banyak yang saya tak puas hati dan tak setuju, tapi terpaksa pendamkan kerana tak mau Ibu berkecil hati terhadap pandangan dan pendapat saya."



Penulis bertanya kepada beliau adalah beliau cemburu pada kebahagiaan Ibunya atau beliau masih ingat pada arwah ayahnya dan merasakan ibunya tidak seharus menggantikan tempat arwah ayahnya. 

Menurut Dina beliau bukan cemburu atau sakit hati tapi, apa yang beliau kurang setuju ialah apabila ibunya terpaksa bersusah payah semula untuk melayani suami dan adakalanya menjaga anak-anak tiri yang masih kecil. 

Beliau sayang ibunya dan baginya pada usia tua ini, ibunya sudah boleh mendalami ilmu agama dan menikmati hidup berjalan ke sana sni dengan rakan-rakan sebayanya dan bukan memikul tanggungjawab yang banyak.

Sejak ibunya berkahwin lagi, dia jarang tinggal di rumah, biasanya dia pergi pagi dan balik malam. Bila cuti hujung minggu dia ke rumah kakaknya dan sudah kurang berinteraksi dengan ibunya. Dengan ayah tirinya dia kurang berkomunikasi kerana masih rasakan ayah tirinya orang asing walaupun ibunya telah berkahwin 3 tahun yang lalu.

Dina sangat kecewa dengan ibunya yang dia rasa tidak adil kerana melebihkan suami ibunya yang muda itu dan sudah kurang dengan anak-anak dan cucu-cucunya. Dia terasa kehilangan kasih sayang ibu yang selama ini memberi perhatian kepadanya.



Bagi penulis, seorang wanita yang sudah masuk usia emas dan keseorangan tanpa suami sememangnya mendambakan kasih sayang dan perhatian seorang suami. Kasih sayang menghidupkan jiwa wanita yang telah berusia, kerana secara fitrahnya wanita sangat suka perhatian dan disayangi. 

Tak salah berkahwin pada usia tua, tetapi perlulah membuat pilihan yang tepat dan tidak akan menyusahkan dirinya kerana dia juga sudah tua dan sepatutnya hidup bahagia dengan pasangan yang sama baya dan sejalan. 

Memang tidak salah berkahwin dengan lelaki muda, tetapi harus diingat banyak perkara perlu dipertimbang sebelum melangkah ke gerbang perkahwinan dengan lelaki yang jauh lebih muda.

Antaranya kekuatan zahir dan batin, kudrat menjaga suami muda, melayan kehendak lelaki muda ini adakalanya tidak mudah juga. 

Apapun cita rasa manusia bernama wanita  ini tidak sama. Ada yang suka lelaki muda ada yang suka lelaki jauh lebih tua dan sebagainya. Yang penting mereka ini bahagia dan suami yang dipilih dapat menjaga wanita ini sebaik baiknya kerana wanita yang sudah berusia sangat sensitif dan emosinya mudah tersentuh dan sangat sensitif. 

Wanita berusia juga berdepan dengan masalah kesihatan. Jadi bagi lelaki muda yang terpikat dengan wanita tua, fikir-fikirkan secara masak dan jangan mensia-siakan wanita yang berusia jika anda memilih dia untuk menghabiskan usia anda bersamanya sehingga tua. - KitaReporters

  

9
15
0
9
0
You will be interested