.

Bekerja sebagai jurutera dan menetap di Seoul, Korea Selatan pada usia 33 tahun tidak menghalang Fikri Akram daripada membawa dan memperkenal budaya Malaysia di negara Hallyu tersebut.
Dikenali dengan semangat berkongsi serta kecintaannya terhadap masakan, Fikri atau nama penuhnya, Mohd Fikri Mohd Jumat, terkenal dalam kalangan rakan-rakan sekerjanya kerana gemar memperkenal juadah tradisional Malaysia seperti nasi lemak, rendang, dan kuih-muih.


Setiap kali Ramadan tiba, Fikri mengambil inisiatif mengagihkan pek Ramadan berisi juadah berbuka puasa kepada rakan-rakan di pejabat, memberikan mereka peluang merasai keunikan makanan Malaysia.
“Saya mahu mereka memahami dengan lebih mendalam tentang Ramadan. Dengan berkongsi makanan, ia membuka ruang perbualan dan mengeratkan hubungan,” katanya.
Selain itu, menerusi akaun platform TikTok (@fikriakram91), Fikri Akram bukan sahaja memperkenal makanan Malaysia di Korea Selatan tetapi juga berkongsi pengalaman berpuasa di negara asing.
Dia sering memaparkan aktiviti memasak juadah tradisional, yang mendapat sambutan hangat daripada rakan-rakan sekerjanya. Melalui video-video masakan dan vlog harian, Fikri turut memberikan gambaran suasana Ramadan di Korea, termasuk berbuka puasa bersama komuniti Muslim tempatan dan menunaikan solat Aidilfitri di masjid berdekatan.

Kehadiran Fikri dalam media sosial mendapat sambutan hangat, dengan ramai yang memuji usahanya mempromosikan budaya Malaysia.
Usahanya memperkenal budaya Malaysia di luar negara membuktikan bahawa makanan mampu menjadi medium penyatuan budaya, melangkaui perbezaan bahasa dan tradisi, menjadikan Ramadan lebih bermakna walaupun berada jauh dari tanah air. - KitaReporters
