Insan & Komuniti 11 Apr, 2025

Diari Mama Masscom| Video| Perlu banyak pengorbanan dan keikhlasan! Jaga pesakit terlantar dan mental!

@hariyati ariffin
Mantan Pensyarah Kanan , dalam bidang Kewartawanan, Penyiaran dan Komunikasi di UiTM Shah Alam.

Share this

.


Bukan mudah menjaga orang sakit, terutama yang terlantar. Begitu juga sangat sukar menjaga pesakit mental. Penulis direzekikan menjaga pesakit terlantar iaitu suami sendiri yang mengalami strok dan anak sulung yang disahkan sakit mental jenis skizofrenia. Lapan tahun menjaga suami sakit strok tetapi dua bulan yang lalu beliau diserang strok kali kedua yang menyebabkan beliau terlantar. 

Anak sulung pula sudah 19 tahun menjadi OKU mental. Perlakuan dan tindak tanduk nya sangat sukar diramalkan. Kadang risau tengok keadaan dia.

Penulis suka luahkan apa yang dirasa dalam sosial media seperti Facebook. Pengalaman menjaga kedua-duanya membuatkan ramai juga berkongsi pengalaman mereka menjaga pesakit terlantar dan pesakit mental. 

Ada yang mempunyai pengalaman yang lebih teruk dan sikap positif mereka, sedikit sebanyak memberi saya semangat dan kekuatan untuk melalui ujian Allah ini dengan lebih tabah.


Suami penulis sewaktu dimasukkan ke hospital kerana strok kali kedua pada Februari 2025 lalu.

Sejujurnya apa yang penulis rasakan sewaktu menjaga kedua dua insan tersayang ini ialah "dunia bagi saya seakan sudah berakhir, I dont have life anymore." 

Hidup tak bebas lagi. Takut bimbang sentiasa menghantui diri. Banyak perkara saya nak lakukan terpaksa dibatalkan dan saya sukar untuk bersosial secara interpersonal, tetapi alhamdulillah media sosial menjadi medium untuk saya terus berinteraksi dengan kawan-kawan. 

Hidup saya memang hanya tertumpu pada mereka berdua. Tidur tak pernah lena, makan tak pernah sempurna, ada masa baru makan, kalau tak isi perut sikit-sikit je. Ibarat pepatah lama "makan tak lalu tidur tak lena" itulah yang saya hadapi ketika menjaga mereka. 

Ujian menjaga mereka sangat besar dan berat bagi saya. Tapi saya selalu fikir masih ramai lagi di luar sana yang lebih sukar hidupnya daripada saya, jadi saya perlu teruskan kehidupan ini dengan tabah dan sangat positif.  

Saya juga pernah melalui, mild heart attack, fasa kemurungan, sakit vertigo dan sakit fizikal yang lain. Tapi yang sangat ajaibnya saya dapat melalui semua fasa-faasa itu untuk tempoh 19 tahun jaga anak  sakit mental dan jaga suami yang sakit strok selama 8 tahun. 

Saya sentiasa yakin Allah bersama saya. Dia yang beri saya kekuatan ini.



Banyak pengalaman menjaga kedua-dua suami dan anak sulung yang sakit ini yang buat saya jadi kuat. Umpamanya pesakit terlantar macam suami nak saya sentiasa ada dengan dia, sebab dia minta saya bangunkan dia, dudukkan dia sebab penat berbaring saja. 

Saya selalu fikir kalau saya di tempat dia mesti saya juga akan begitu sebab dia tak berdaya buat semua tu sendiri. 

Yang anak sulung sakit mental pula kehendaknya juga macam-macam. Dia suruh saya buat itu dan ini ketika saya sedang menjaga bapaknya. Jika lambat dia akan menjerit dan menghempaskan apa juga barang-barang di depannya. 

Untuk melayan kedua-duanya dalam satu masa sangatlah sukar kerana faktor usia saya yang sudah melebihi usia emas. 

Anak sulung ni kalau datang sakitnya akan jadi agresifnya. Dia bukan sahaja baling barang barang atau menghempas pintu tapi turut memukul saya dengan apa juga barang-barang yang dekat dengannya. 

Pernah saya mengemas tempat tidur dia yang penuh dengan barang-barang yang tidak berguna seperti daun-daun kering dan resit-resit lama, serta sisa makanan yang sudah kering dan busuk.

Dia menjadi marah. Tiba-tiba dia datang dan menendang saya di pinggang. Memang terkejut saya masa tu. Tapi saya perlu bersabar dan memujuk dia dengan baik supaya dia tidak mengamuk dengan lebih teruk. 



Bagi saya menjadi penjaga kepada pesakit perlu ada kesabaran yang sangat tebal, keikhlasan dan rasa simpati yang tinggi. Dengan sifat-sifat itu, kita dapat lalui kehidupan sebagai perawat dan penjaga pesakit dengan tabah dan reda.

Itu antara cebisan kisah saya menjaga keluarga yang sakit. Apa pun saya sentiasa mengingatkan diri saya bahawa semua yang terjadi ini ada hikmahnya. 

Saya perlu terus berfikiran positif dan yakin bahawa Allah akan mengurangkan semua derita dan kesengsaraan yang saya alami ketika menjaga dua ahli keluarga saya ni.  

Hidup ini sementara, derita dan ujian Allah juga tidak selamanya. Setiap ujian dan dugaan Allah hanya untuk meningkatkan darjat kita di sisi-Nya 

Tabah, sabar dan terus yakin dengan ujian yang datang dalam hidup ini. Kerana di sebalik kesulitan ada kesenangan, itu janji Allah.

Firman Allah dalam Surah Al Inshirah ayat 5-6 " Maka sesungguhnya bersama kesulitan, ada kemudahan." 

Ayat ini memberi kita harapan bahawa di sebalik setiap kepayahan, pasti ada keringanan dan di sebalik setiap kesedihan pasti ada kegembiraan yang menanti. - KitaReporters


17
9
0
13
0
You will be interested