.

AKHIRNYA buat pertama kalinya, Opah dan mungkin juga pengamal media sambilan (stringers) berasa sangat lega dan bersyukur sangat apabila kerajaan memberi pengiktirafan kepada kerja wartawan sambilan ini dalam membuat laporan berita dan menikmati skim perlindungan keselamatan Perkeso serta mungkin juga dapat rasa hasil simpanan daripada skim i-Sara KWSP.
Ketika Menteri Komunikasi Datuk Ahmad Fahmi Fadzi mengumumkan berita itu, bukan saja mendapat pujian wartawan yang memenuhi dewan World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) pada 14 Jun 2025 itu tapi juga komen bersemangat daripada netizen yang menyifatkan kemudahan itu sebagai hadiah dalam kombo mantap.
Kata mereka, bila dihargai begitu, stringer kini boleh bekerja dalam suasana selesa dan jiwa yang tenang. Malah ada yang meminta sektor lain pun turut sama menggalakkan pekerja mereka mencarum untuk memantapkan masa depan.
Seorang netizen berharap skim itu akan kekal selama-lamanya membantu stringer dan pekerja sektor lain mendapat perlindungan berterusan.

Bermula dengan usaha Kementerian Komunikasi melalui Bernama menyalurkan pelbagai bentuk bantuan menerusi Tabung Kasih @ HAWANA yang diwujudkan pada April 2023, sehingga 14 Jun 2025, seramai 441 pengamal media di seluruh negara telah menerima manfaat, dengan jumlah sumbangan melebihi RM1.2 juta.
Fahmi memberitahu wartawan demikian ketika berucap pada sambutan Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di WTCKL. Hawana dirai secara rasmi pada 29 Mei setiap tahun.


Sebenarnya siapa itu pemberita stringer ni? Mereka adalah wartawan yang kerja tanpa gaji tetap, tiada KWSP, tiada PERKESO sebab majikan tidak perlu mencarum untuk mereka, tiada elaun seperti duit minyak dan tol.
Mereka hanya boleh tuntut elaun pembatuan dan mungkin sedikit elaun makan bila bertugas secara rasmi membuat liputan. Malah mereka tidak diberikan elaun perubatan.
Opah mungkin bernasib baik melalui dua detik masa. Ketika menjadi stringer dengan Berita Harian Kota Bharu pada 1982 tanpa sebarang manfaat. Sehingga satu ketika, kepala tercedera akibat kayu yang digunakan oleh pekerja memasang syiling dalam bangunan pejabat BH yang sedang diubah suai, patah dan bucu tajam kayu itu menoreh kulit kepala.
Opah kena enam jahitan. Parut luka itu masih kekal hingga sekarang. Nasib baiklah syarikat yang buat kerja kontrak itu sedia bayar pampasan ihsan RM300. Opah ambillah sebab masa itu bukan kakitangan pun.

Bila sambutan Majlis Kemuncak HAWANA 2025 diadakan pada Sabtu, 14 Jun 2025 itu, selain berita kerajaan menyediakan RM30 juta untuk membantu daripada mengkukuhkan kembali organisasi media, turut dihargai ialah kerja Stringer.
Dengan tawaran manfaat yang mereka sudah lama tunggu, sejak puluhan tahun dah tu. Akhirnya kami boleh menarik nafas lega walaupun ramai rakan stringer sudah tidak ada lagi.
Sebenarnya kerja stringer popular di luar negara. Opah pernah bertemu dengan stringer dari Australia yang menulis kepada akhbar tempatan mengenai pengembaraan dunia mereka. Dan di negara ini kebanyakan stringer ini adalah kakitangan tetap kerajaan seperti guru dan pakar yang menulis perihal profesion mereka.
selepas Fahmi berkata kejayaan terbaharu kerajaan itu hasil sinergi BERNAMA dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang menyediakan perlindungan sosial kepada stringers menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS), beliau mengumumkan satu lagi peluang baharu iaitu skim simpanan persaraan di bawah i-Saraan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Pada 2023, bermula dengan Tabung Kasih @ HAWANA yang diputuskan di Ipoh itu sebagai tanda prihatin kerajaan, kini seramai 441 pengamal media di seluruh negara telah menerima manfaat, dengan jumlah sumbangan melebihi RM1.2 juta.
Menerusi SKSPS-PERKESO pula telah memanfaatkan 531 pengamal media sambilan, untuk tempoh satu tahun pada tahun lepas (2024) dan kini manfaat perlindungan ini dilanjutkan bagi tempoh satu tahun lagi dengan peruntukan dianggarkan sebanyak RM37,170.00.
Antara manfaat perlindungan di bawah SKSPS ialah faedah perubatan, faedah hilang upaya sementara, faedah hilang upaya kekal, faedah 4 orang tanggungan, faedah pengurusan mayat dan elaun layanan sentiasa.
Susulan itulah, pada tahun ini (2025), pemberian perlindungan untuk stringer diperluaskan kepada simpanan persaraan di bawah i-Saraan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melibatkan peruntukan sebanyak RM15,930. Inisiatif ini memberi manfaat selepas persaraan mereka kelak.
Kerajaan memperuntukkan RM53,100 tahun ini bagi kedua-dua inisiatif berkenaan.

Stringer ini bekerja untuk bekalkan bahan berita yang mereka cari sendiri. Kadangkala ada juga tugasan diberikan. Mereka bukan kakitangan syarikat media. Ada berita, ada bayaran.
Dulu Opah dibayar RM1.20 untuk satu para berita dan gambar dibayar RM5. Disebabkan akhbar tempat Opah "kerja" ada ihsan, kami bolehlah tuntut pembatuan dalam jarak 10 kilomter.
Bila sudah berpuluh-puluh tahun bekerja, mereka dibayar elaun retainer dengan kadar upah RM150 hingga RM250 sebulan. Macam "gaji" tetaplah selain boleh buat tuntutan biasa pada laporan berita atau rencana yang disiarkan.
Mereka kena kerja keras untuk pastikan laporan berita itu menarik dan disiarkan. Itulah nilai duit mereka.
Stringer ini membuat berita wakil rakyat, cerita-cerita kemanusiaan yang jarang wartawan tetap buat kerana mereka kena banyak hadiri acara rasmi kerajaan yang perlu diberi perhatian.

Opah melalui dua detik kerja sebagai stringer di Berita Harian dan KitaReporters
Sementara itu satu lagi berita yang turut menarik ialah inisiatif kerjasama strategik Kementerian Komunikasi dan AirAsia. Pihak AirAsia yang diketuai Tan Sri Tony Fernandes bersetuju menawarkan diskaun 50 peratus (secara one-off) bagi pembelian tiket penerbangan pergi balik ke mana-mana 57 destinasi di negara anggota ASEAN.
Tempoh tempahan akan dibuka hingga 31 Disember 2025, manakala tempoh penerbangan (travel period) mulai April hingga September 2026.
Dan terakhirnya ialah pasal penubuhan Majlis Media Malaysia dengan Lembaga Pengasas (Founding Board) telah pun dimuktamadkan. Mereka dianggotai 12 orang terdiri daripada empat wakil bagi setiap kategori, iaitu kategori syarikat media, kategori persatuan media, pengamal media dan pengamal media bebas, serta kategori ahli bukan media.
1. Wong Yang Yong
2. Datuk Sardahthisa James
3. Premesh Chandran Jeyachandran
4. Ashwad Ismail
5. Teh Athira Yusof
6. Ronnie Teo Teck Wei
7. Mohd Radzi Abdul Razak
8. Muthameez Manan
9. Mohd Azmyl Md Yusof
10. Gayathry S. Venkiteswaran
11. Celine Lim
12. Terence Ooi Guan Tseng - KitaReportes

Tokoh Anugerah Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025.