Insan & Komuniti 06 Jul, 2025

Nak potong pokok? Jangan potong lilitan lebih 0.8m! Boleh dikenakan tindakan saman ribuan ringgit!

@nazar hashim
Emel: nazarhashim10@gmail.com

Share this


Anda penduduk di Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan? Sebelum anda potong pokok di tempat anda, baca ini dulu.

Anda harus peka bahawa bahawa memotong pokok sesuka hati boleh dikenakan saman dan tindakan mahkamah, khususnya membabitkan pokok yang mempunyai lilitan melebihi 0.8 meter.

Sekiranya didapati ada penduduk yang bertindak demikian, mereka boleh dikenakan tindakan mahkamah di bawah Seksyen 35H(1) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172).

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato' Baderul Amin Abdul Hamid berkata, setakat ini tindakan telah pun diambil terhadap mereka yang bersalah melalui pendakwaan di Mahkamah Majistret MBSP.

Tambahnya, tindakan telah pun diambil terhadap enam orang penduduk dan mereka didakwa pada 15 Mei 2025 lalu dengan denda keseluruhannya sejumlah RM13,000.



"Kesemua mereka telah pun dikenakan tindakan mahkamah dan mengaku salah kerana menebang dua batang pokok jenis 'Samanea Saman' di atas lot 2461, Lorong Tembikai 8, Seberang Perai Tengah tanpa kebenaran bertulis dari MBSP.

"Kesalahan yang mereka lakukan ialah menebang pokok yang mempunyai lilitan melebihi 0.8 meter.

"Kegagalan mendapat kebenaran bertulis dari MBSP terlebih dahulu boleh memberi kesan dan risiko yang pelbagai kepada penduduk sekitar kawasan terbabit," kata beliau di Menara Bandaraya baru-baru ini.

Tambah Baderul Amin lagi, selain itu, ia juga boleh memberi gangguan terhadap kestabilan tanah, sistem saliran, keselamatan awam mahupun kualiti persekitaran setempat.

Tegasnya, MBSP tidak akan bertolak ansur atau pun kompromi terhadap sesiapa sahaja yang  melakukan pelanggaran undang-undang yang mampu menjejaskan peraturan melibatkan perancangan, kesejahteraan masyarakat dan keseimbangan alam sekitar.

Bagi memastikan pematuhan dan kelestarian pembangunan di kawasan Seberang Perai katanya, tindakan tegas akan terus diambil terhadap sesiapa sahaja yang melanggar undang-undang sedia ada.



Sebenarnya denda bagi menebang pokok melebihi 0.8 meter juga dipraktikkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di beberapa buah negeri lain sebelum ini.

Mahkamah Majistret Kuantan (MBK) pada 4 Julai 2024 turut menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM4,000 ke atas seorang pemilik dekorasi dapur kerana didapati bersalah menebang pokok melebihi 0.8 meter tinggi tanpa kebenaran bertulis daripada MBK.

Ia melakukan kesalahan di bawah Seksyen 35H Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172).

Menurut kertas pertuduhan pesalah tersebut telah menebang pokok melebihi 0.8 meter tinggi tanpa kebenaran bertulis daripada MBK pada 21 April 2024.

Sehubungan itu semua pihak harus sedar bahawa kewujudan pokok yang menghijau sekeliling kita adalah satu keperluan yang tidak dapat dinafikan. - KitaReporters


11
11
0
9
0
You will be interested