Insan & Komuniti 16 Apr, 2025

Bila ABAH Bersuara| Pak Lah hormati wartawan! Tanya kebajikan! Kini tinggal pusara di Makam Pahlawan!

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this

 

.



Tiga wajah Abdullah Ahmad Badawi, mantan Perdana Menteri Malaysia ke-5 yang meninggal dunia pada Isnin, 14 April 2025.


KETIKA belajar dalam Tingkatan Enam di Sekolah Tinggi Setapak (Setapak High School), Kuala Lumpur dari 1974 hingga 1975, itulah detik pertama penulis bertemu dengan Abdullah Ahmad Badawi (Tun), insan yang ditakdirkan menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-5. 

Penulis tinggal di Asrama Abdul Rahman Talib (ART) sekolah berkenaan. Selain pelajar High School, asrama tersebut menempatkan pelajar ‘Rancangan Khas’, pelajar cerdik luar bandar Selangor yang terpilih melanjutkan pelajaran menengah di St John’s Institution (St. John) dan Victoria Institution (VI), dua sekolah mubaligh terkenal di ibu negara.


Sekolah Tinggi Setapak di Jalan Ayer Jernih, Setapak, Kuala Lumpur.


Asrama Abdul Rahman Talib, Sekolah Tinggi, Setapak, Kuala Lumpur.


Selama tinggal di asrama, penulis sering menunaikan solat Jumaat di Masjid Pusat Latihan Polis (Pulapol), Jalan Gurney (Jalan Semarak). Pulapol juga dikenali sebagai Polis Depoh.  

Masjid depoh paling hampir dengan sekolah, menggunakan jalan pintas. Ada yang sebut ‘jalan tikus’. Kawalan tidak terlalu ketat ketika itu. Tiada masalah jika mahu solat Jumaat.

Ramai anak anggota polis yang tinggal di kuarters kediaman di depoh bersekolah di High School. Ramai pula pelajar High School bersolat Jumaat di masjid tersebut. Selainnya ada yang bersolat Jumaat di masjid pekan Setapak.


Masjid Pulapol di Jalan Gurney (Jalan Semarak), Kuala Lumpur di mana Pak Lah serinng menunaikan solat Jumaat.


Biasanya penulis lewat sampai ke masjid dan sering solat di ruang terbuka di luar. Di luar pun selesa walau pun sedikit panas.

Pada satu Jumaat yang tidak penulis ingat tarikhnya, ketika penulis duduk dalam saf, datang seorang lelaki tampan memakai ‘bush jacket’ warna biru berdiri di sebelah penulis, lalu menunaikkan solat tahyat masjid.

Selesai solat, beliau duduk dan kami bersalam. Kerana dikira rajin membaca akhbar dan majalah, termasuk majalah belia, penulis cam wajahnya. Tidak lain Abdullah Ahmad Badawi (Tun), mantan Perdana Menteri Malaysia ke-5, ketika itu Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan (KBS).

Tokoh yang mesra dengan panggilan ‘Pak Lah’ itu meninggal dunia pada Isnin 14 April pukul 7.10 malam di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur. Lahir pada 26 November 1939, Allahyarham berusia 86 tahun ketika menghembuskan nafas terakhirnya.

Penulis kira Pak Lah bersolat Jumaat di masjid Pulapol kerana pejabatnya di KBS terletak di Wisma Keramat, di Jalan Gurney (kini Jalan Semarak), begitu hampir dengan Pulapol, hanya di seberang jalan.

Allahyarham nampak serius tetapi tenang dan mesra. Ingin juga berbual tapi rasa segan. Selesai solat, kami bersalam dan berpisah. Beberapa kali selepas itu penulis bertembung dengannya. Ada kala dalam saf sama, ada kala saf lain. Tetapi selalunya di bahagian luar masjid.

Selepas tamat tingkatan enam dan selesai menduduki peperiksaan Higher School Certificate (HSC) pada 1975, penulis meninggalkan asrama dan tidak lagi solat Jumaat di masjid Pulapol. Tidak lagi bertemu dengan Pak Lah. Masjid pun kini pasti sudah banyak berubah.



Melalui akhbar, penulis dapat tahu Pak Lah meletak jawatan di KBS untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 1978 bagi kerusi parlimen Kepala Batas, Pulau Pinang. Pak Lah menang dan memegang kerusi tersebut selama 35 tahun hingga 2013.  

Tidak diduga takdir Allah menentukan penulis dan Pak Lah kembali ‘berlaga bahu’ selepas beberapa tahun. Setelah tamat pengajian pada 1979, penulis menjadi wartawan di akhbar Utusan Malaysia. 

Pak Lah terus mendaki tangga politik. Berikutan kemenangan di Kepala Batas, Pak Lah dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Wilayah Persekutuan, seterusnya timbalan menteri di Kementerian sama pada 1980.

Pada 1981 hingga 1983, Allahyarham dilantik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) diikuti Menteri Pelajaran pada 1984. Pak Lah dilantik Menteri Pertahanan pada 1986, seterusnya Menteri Luar dari 1991 hingga 1999.

Pendakiannya dalam politik kian cemerlang apabila pada 1999 Pak Lah dilantik Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri.

Kemuncak kerjaya politiknya ialah dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-5 pada 2003 menggantikan Tun Dr. Mahathir Mohamad. Allahyarham Pak Lah, yang juga Presiden UMNO, memegang jawatan Perdana Menteri hingga April 2009.


Pak Lah sentiasa mesra dengan wartawan. Gambar ini ketika lawatan beliau ke Arab Saudi, dirakam di Jeddah sekitar 2002. Penulis berdiri paling kanan. Duduk berbaju biru wartawan TV3, Zahir Senapiah, duduk kiri berbaju putih Zuhrin Azam Ahmad wartawan The Star. Berdiri di kiri Othman Mamat, wartawan Berita Harian; Datuk Zulkefli Salleh wartawan Bernama (kemudian Ketua Pengarang dan Pengurus Besar Bernama) dan Niki.


Ketika bertugas sebagai wartawan inilah penulis sering bertemu dengan Pak Lah, membuat liputan majlis beliau sebagai menteri, timbalan perdana menteri dan perdana menteri. Namun penulis tidak pula mengimbau padanya kisah di Masjid Pulapol!

Selain tugasan dalam negeri, penulis berpeluang membuat liputan lawatan Pak Lah ke luar negara, antaranya Arab Saudi, China dan Kuwait.

Dua kali penulis membuat liputan lawatan ke Arab Saudi sekitar tahun 2002 atau 2003. Pertama ketika Pak Lah masih timbalan perdana menteri dan kedua sebagai perdana menteri. Lawatan ke Arab Saudi memberi peluang kepada penulis dan rakan wartawan lain menunaikan umrah.  

Selama membuat liputan dalam dan luar negara, wartawan sangat senang dengan sikap Pak Lah yang mesra dan mudah tersenyum. Beliau sentiasa ceria menjawab soalan para wartawan walaupun penat dengan jadual lawatan yang ketat.

Layanan terhadap wartawan, terutama ketika lawatan ke luar negara sangat menyenangkan. Antara ungkapan kegemaran Allahyarham ialah “Apa habaq semua? Dah makan? Dah hantaq berita (ke Malaysia)?”

Allahyarham sangat menghormati tugas wartawan dan mengambil berat kebajikan mereka ketika di luar negara. Pak Lah berusaha memastikan wartawan menerima layanan terbaik. 

Selepas Pak Lah berundur jawatan Perdana Menteri pada 2009, sehingga penulis sendiri bersara pada 2013, tidak lagi berlaga bahu dengan Allahyarham. Namun penulis sentiasa mengikuti perkembangan dirinya, termasuk sakit yang dihidapi, melalui akhbar. 


Pak Lah disemadikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara dengan penuh penghormatan negara.


Kini Pak Lah sudah tiada. Yang tinggal hanya kenangan abadi tersemat di hati dan pusara di Makam Pahlawan, Masjid Negara. Terima kasih atas sumbangan besar kepada negara dan rakyat. Jasa bakti akan sentiasa dikenang dan diingat. Semoga Allah cucuri rahmat dan ampuni dosa Allahyarham. - KitaReporters


9
12
0
15
0
You will be interested