Insan & Komuniti 27 Oct, 2024

Jom Terbang ke Kuala Lumpur! Program bawa anak-anak yatim piatu dari Terengganu lawat ke ibu negara!

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb [email protected]

Share this


TERUJA dan gembira!! Itulah reaksi yang digambarkan oleh anak-anak yatim piatu dari Terengganu apabila dibawa ke ibu negara Kuala Lumpur pada 25 Oktober 2024 sempena program “Fly To Kuala Lumpur” (Terbang ke Kuala Lumpur). 

Setibanya di Kuala Lumpur, kesemua 32 anak yatim berkenaan dibawa melawat ke Tower Bridge, Petrosains dan Aquaria di Menara Berkembar Kuala Lumpur, KLCC yang ditaja sepenuhnya oleh pihak Petronas.

Rata-ratanya anak yatim terbabit mengakui ini adalah pengalaman kali pertama mereka menjejakkan kaki ke ibu negara. Sememangnya lawatan tersebut memberi kenangan manis dan pengalaman berharga yang akan dikenang sepanjang hayat mereka.

Program yang julung kali itu ditaja sepenuhnya oleh pihak Petronas.



Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Maliaman Kassim, berkata, program Fly to KL itu adalah bagi meraikan anak-anak yatim piatu di Negeri Terengganu dengan pengalaman terbang dengan pesawat dan ini juga merupakan pengalaman pertama mereka.

“Insya-Allah kami di bawah Portfolio Kebajikan akan bawa terbang anak-anak ini ke Kuala Lumpur untuk beberapa program lawatan tempat di sana,” katanya yang turut serta mengiringi peserta terbabit. 

Katanya, untuk program pertama ini, seramai 32 anak yatim piatu dari setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu telah terpilih menyertai program 'Terbang ke Kuala Lumpur'.


Maaaaliaman Kassim


Katanya, inisiatif kali pertama kerajaan negeri itu telah dirancang sejak empat bulan yang lalu.

Menurutnya, anak-anak yatim piatu yang terlibat berusia di antara 10 hingga 15 tahun dan masih bersekolah, serta tidak pernah menaiki kapal terbang.

"Bagi mereka, ini merupakan pengalaman pertama menaiki kapal terbang dan diharapkan ia dapat mengubati sedikit sebanyak luka di hati mereka.

"Kami mahu menunjukkan bahawa masyarakat dan kerajaan negeri sentiasa bersedia membantu golongan anak yatim yang kekurangan dari sudut kasih sayang.



"Kami juga turut memberikan pendidikan secara tidak langsung dan ingin mereka tahu bahawa masih ada orang yang menyayangi mereka," tambah Maliaman.

Beliau juga menyatakan bahawa program ini adalah yang pertama kali diadakan dan akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang. - KitaReporters


10
8
1
9
0
You will be interested