Terkadang kita cuba untuk bersangka baik atau orang kata husnuzon. Namun, apabila melibatkan makanan, sangkaan baik itu terkadang tidak menjadi.
Sering kali kita terbaca dalam media sosial berkenaan makanan yang dibeli di luar kotor dan mengandungi bahan-bahan yang tidak sepatutnya ada seperti ulat.
Perkara seperti ini kerap berlaku kerana sikap para peniaga yang tidak mengutamakan kebersihan ketika menyediakan makanan yang dijual.
Lebih melampau, ada peniaga mengitar kembali makanan yang tidak habis dan ini sudah tentu tidak menjamin kesegaran makanan tersebut. Malah ia mendatangkan mudarat lain seperti lauk yang dikitar semula itu sudah rosak atau berulat.
Ada juga, bahan-bahan yang diguna tidak dicuci bersih seperti sayur dan sebagainya. Andai tidak dicuci bersih, kemungkinan ada ulat yang akan masuk sekali ke dalam lauk yang dimasak.
Tak pasal-pasal pelanggan termakan ulat tersebut.
Itulah yang terjadi kepada seorang wanita ketika menjamu pais ikan patin yang dibeli melalui pesanan dalam talian. Dia berkongsi pengalaman menjijikkan itu dalam media sosial.
“Tengah makan-makan, selepas itu terkunyah disangkakan bunga kantan. Macam pelik je rasa takde wangi pun, sebab selalu makan nasi kerabu bunga kantan.
"Apabila keluarkan ya Allah, ulat apa ni? Beluncas ke? Memang perlu ada ke ulat macam ni dalam pais ikan patin? Geli geleman rasanya,” tulisnya.
Dalam gambar yang dikongsi, kelihatan jelas ulat yang sudah leper kerana telah dikunyah olehnya.
Perkongsian itu mengundang pelbagai komen daripada netizen. Ramai yang meneka jenis ulat tersebut. Ada yang kata ulat durian dan ada juga yang kata ulat daun pisang.
“Ulat dalam daun pisangkan ni? Dulu masa kecil, pantang nampak mesti ambil dan bakar. Kejam rasa,” tulis salah seorang netizen.
Manakala seorang lagi mendakwa ulat tersebut ialah ulat durian kerana sering kali melihatnya ketika mengupas buah tersebut.
“Macam ulat durian. Selalu buka durian mesti ada. Terselitlah tu,” katanya.
Menurut empunya diri, ulat tersebut tidak mempunyai rasa. Apabila mengingatkannya kembali, membuat dia rasa mahu termuntah.
“Rasa dia takde rasa, cuma ingat bunga kantan. Biasa gigit ada rasa wangi kantan tu, kali ni rasa kosong, macam kulit ayam yang mentah tekstur dia. Jangan bayangkan ya. Memang geli,” ceritanya lagi.
Menyangkal kenyataan seorang netizen yang menganggap ulat durian terlalu kecil dan sebab itu tukang masak tersebut tidak nampak atau perasan, wanita itu berkata itu bukan alasannya kerana ulat yang berada dalam makanannya bersaiz besar.
“Boleh nampak kalau periksa betul-betul. Lainlah sudah hancur. Ini cukup sifat lagi. Siap ada kaki, besar pun besar. Tukang masak tahu apa dia nak masak, mestilah kena periksa betul-betul,” bidasnya.
Inilah risikonya apabila kita memesan makanan luar. Memasak dalam kuantiti banyak, ada perkara yang terlepas pandang iaitu kebersihan.
Buat para peniaga, utamakanlah kebersihan daripada keuntungan semata-mata. Apabila kedai dan makanan bersih, pasti berlipat ganda keuntungan datang. - KitaReporters