ADA orang takut kucing. Geli pasal bulu kucingnya yang lebat dan gugur pula di merata tempat. Malah tidak kurang juga yang alahan dengan bulu kucing.
Ada pula kucing dilayan lebih daripada seorang anak. Dipakaikan baju mahal dan dihiaskan dengan rantai emas dan bilik yang serba mewah.
Bagi yang takut kucing, sebolah-bolehnya mereka cuba elak terserempak dengan haiwan ini bukan sebab apapun. Sentuh kucing akan banyaklah duit kena bayar pada doktor untuk merawat alahan.
Di negara kita juga kucing begitu banyak, lebih kurang sama dengan anjing. Ramai kucing terbiar atau dibuang selepas pemiliknya penat menjaga. Tempat buangan terbaik termasuk pasar dan kedai makan.
Ramai akan "cemburu' jiika tahu di Tukriye (Turki) ada berjuta-juta kucing yang dibiarkan bebas berkeliaran dan dijaga oleh setiap penduduknya bagaikan haiwan kesayangan di rumah.
Seorang penggembara Jamie dalam blognya Travel Snippet berkata nama lain untuk Istanbul “Catstanbul” kerana penduduknya secara sukarela menyediakan rumah, susu, yogurt dan pihak masjid pula membenarkan kucing ini tinggal di rumah Allah setiap kali musim dingin.
Selama enam minggu berada di ibu negara itu, Jamie tidak bertemu dengan seekor tikus pun dan kesimpulannya, kucing dipelihara bagi melindungi haiwan pemusnah sejak zaman Empayar Uthamaniah lagi. Kerana ketika itu rumah diperbuat daripada kayu dan makanan penduduknya menjadi sasaran tikus.
Jamie turut kagum bila mendapat tahu kucing ini adalah haiwan suci dalam agama Islam dan dianggap sebagai binatang kesayangan Nabi Muhammad SAW.
Kucing dikatakan pembuka rezeki dan haiwan yang boleh menjadi penawar kepada unsur yang membawa aura negatif . Malah ada kata-kata, jika membunuh kucing, pembunuhnya perlu membina sebuah masjid bagi menebus dosanya.
Selain itu, kucing dianggap penjaga kepada ribuan buku yang dihasilkan di Turki dan dilaporkan ketika dulu, beratus kapal yang singgah ke sini dan kucing akan menjadi membunuh tikus yang ada di dalam kapal.
Jamie turut memberitahu ada 300 sukarelawan yang aktif dan ribuan pengikut kucing dalam sosial media.
Pengasas kucing Cats of Istanbul, Rana Babaç Çelebi dipetik berkata lebih sejuta kucing yang bebas berkeliaran di ibu kota. Sukarelawan inilah menyediakan rumah, makanan dan tempat perlindungan ketika cuaca buruk.
Malah The #catsofistanbul Instagram turut menyiarkan beratus-ratus gambar kucing. Tidak hairanlah ada banyak kumpulan yang prihatin termasuk Tails of Turkey, Cat Paws dan Cihangir Cool .
Sayangnya penduduk kepada haiwan itu, filem rencana Kedi (Kucing) yang diarahkan oleh Ceyda Torun berjaya memecah rekod kutipan melebihi AS$4 juta (RM20 juta). Malah ada video yang diviralkan kereta api dalam bandar berhenti untuk membolehkan kucing habiskan meminum air di landasan.
Di Jepun ada tugu seekor anjing Hachiko, tapi di Istanbul, tugu seekor kucing dijadikan tatapan umum.
Pernah juga seekor kucing Gli! yang menjadi penjaga Masjid Hagia Sophia mendapat pengikut 100,000 dan pernah 'bertemu' dengan Presiden Amerika, Barrack Obama dan Presiden Turki, Tayyip Erdogan.
Kawasan di Maçka Demokrasi Park di wilayah Macka antara syurga haiwan itu dengan beratus-ratus kucing dibiarkan bebas dan menjadi rakan kepada pengunjung di situ.
Malah jika ada yang sukakan kucing mereka boleh ke sebatang jalan berdekatan Istiklal Caddesi dan di situ terletak banyaknya hotel, inapan mewah dan restoran yang yang menawarkan keindahan tersendiri. Bila mana pengunjungnya 'rancak', bergembira berkongsi makanan dengan kucing jinak dan comel. - KitaReporters