Insan & Komuniti 05 Mar, 2024

Tahniah SK Sungai Udang! Lancar Program Prihatin Sumbangan Pakaian Sekolah! Idea bermanfaat PIBG!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this


PERTEMBUNGAN untuk membuat persiapan anak memasuki sesi persekolahan baharu 2024/2025 dan juga membuat persediaan menyambut kedatangan awal Ramadan mencetuskan idea untuk Sekolah Kebangsaan Sungai Udang (SKSU), Klang, Selangor melancarkan Program Prihatin Sumbangan Pakaian Sekolah bermula 10 Februari 2024.

Idea dan cadangan itu dizahirkan oleh ahli jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) SKSU pada mesyuarat yang diadakan sebelum itu bagi meringankan bebanan ibu bapa yang memerlukan bantuan berkemungkinan turut terasa apatah lagi menjelang sambutan Aidilfitri nanti.


M. Khalimi Dalhan (kanan) mengemas kini sebahagian pakaian seragam sekolah yang disumbang ibu bapa dan pelbagai 

pihak di balai warisan sekolah itu. 


Guru Besar SKSU, M. Khalimi Dalhan, berkata program anjuran PIBG itu menjadi satu aktiviti keprihatinan dan entiti yang membantu sekolah dalam menyantuni serta meringankan bebanan ibu bapa yang terpaksa menanggung pelbagai kos perbelanjaan.

Selain itu, menurutnya, usaha berkenaan juga mewujudkan jalinan hubungan komunikasi yang baik antara sekolah dengan komuniti setempat apabila bersedia membantu ibu bapa memerlukan sokongan bantuan dan secara tidak langsung menyuburkan konsep berbuat baik serta saling membantu.


M. Khalimi membantu adik Aisy dan ibunya memilih pakaian seragam sekolah.


Tambahnya, program sumbangan pakaian sekolah itu juga adalah impak kepada bidang disiplin Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) iaitu melalui langkah bijak guna semula dan kelestarian bahan serta mengelak pembaziran. 

Kaedah program pengumpulan pakaian terpakai itu dibuat sebaik selesai persekolahan penggal yang lalu iaitu hanya pakaian sekolah sahaja membabitkan baju seragam sekolah, baju sukan, pakaian unit beruniform, kasut, beg dan sebagainya.

Ahli jawatankuasa bertugas akan menyusun dan mempamerkan di balai warisan sekolah serta menjemput ibu bapa yang memerlukan bantuan untuk datang memilih serta mengambil sendiri pakaian di samping peralatan sekolah lain dengan merekodkan bagi tujuan dokumentasi. 


Pegawai keselamatan SKSU, Hafiz (kiri) menerima sumbangan untuk program itu daripada seorang bapa yang prihatin. 


M. Khalimi berkata, hebahan telah diuar-uarkan di samping pemberitahuan program berkenaan turut dibuat menerusi kumpulan media sosial sekolah dan pempengaruh jemputan dalam kalangan komuniti sekolah. 

Katanya, program yang banyak mendapat bantuan tenaga ahli jawatankuasa dalam melancarkan serta memudahkan urusan pengurusan khusus agihan pakaian sekolah dibaratkan sebagai sesuatu yang menyeronokkan pihak sekolah serta ibu bapa kerana menjadi medan pertemuan sesama sendiri sambil dapat menyantuni penyumbang dan penerima.

Menurutnya, situasi itu mewujudkan keharmonian, mesra dan ceria dalam kalangan mereka dan program berkenaan memberi manfaat kepada hampir 73 keluarga untuk membantu mereka membuat persiapan persekolahan anak.

Tambah beliau, berikutan itu ada cadangan supaya meneruskan program sebegini termasuk membantu anak-anak untuk bergunting rambut supaya kelihatan kemas dan bersemangat bagi memulakan persekolahan nanti.


Sepasang ibu bapa turut menyerahkan sumbangan pakaian kepada program itu.


“Program sebegini diharapkan dapat memberikan sokongan kepada konsep Ihsan dalam Malaysia Madani yang sedang dipromosikan oleh kerajaan melalui slogan, Dari KITA, Untuk KITA dan Oleh KITA.

“Pengambilan pakaian dan pelbagai peralatan persekolahan yang disumbangkan oleh pelbagai pihak termasuk ibu bapa prihatin ini sudah diambil oleh sesetengah ahli keluarga yang memerlukan bermula 16 Februari 2024 lalu serta ditawarkan sehingga semuanya habis,” ujar M. Khalimi. - KitaReporters


Ahli Jawatankuasa PIBG SKSU, Cikgu Asiah turut membantu ibu bapa memilih pakaian seragam dan peralatan sekolah.


Antara guru SKSU yang sukarela membantu tugas pengurusan penerimaan pakaian sumbangan ibu bapa dan pelbagai pihak untuk program berkenaan.

20
14
0
10
0
You will be interested