Insan & Komuniti 23 Mar, 2024

Terbaik SK Sungai Udang! Lancar program gunting rambut murid! Tukang gunting tempatan dapat manfaat!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this


KESINAMBUNGAN daripada kejayaan program pemberian pakaian seragam sekolah terpakai secara percuma yang diadakan pada Februari 2024, Sekolah Kebangsaan Sungai Udang (SKSU), Klang, Selangor, melancarkan pula program komuniti iaitu mengunting rambut murid yang memulakan alam persekolahan baharu awal Mac 2024.

Program yang mendapat kerjasama serta dianjurkan persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) sekolah itu juga satu usaha murni bagi membantu sebahagian pengusaha kedai gunting rambut warga tempatan untuk menyebarkan perkhidmatan masing-masing di komuniti setempat bermula 9 Mac hingga 13 Mac 2024.

Guru Besar SKSU, M Khalimi Dalhan, berkata program itu juga sebagai pendedahan yang menyantuni ibu bapa dengan penuh hormat mengenai penampilan dan tatacara murid ke sekolah untuk dititikberatkan oleh mereka dalam menguruskan anak lelaki apabila ke sekolah.


Dua beradik murid SKSU gembira terpilih mendapat khidmat gunting rambut secara percuma.


Menurutnya, idea serta cadangan yang dicetuskan oleh ahli jawatankuasa PIBG yang memaklumkan dalam mesyuarat terdapat dalam kalangan ibu bapa memerlukan bantuan bagi menampung kos persediaan anak ke sekolah termasuk pengguntingan rambut berikutan kenaikan bayaran upah. 

Jelasnya, bagi melancarkan program itu murid yang berminat diminta hadir ke sekolah bersama-sama ibu bapa mereka bagi mengisi identiti atau maklumat diri dan diberikan sekeping kupon untuk penebusan selepas menggunting rambut di kedai terpilih.

“Program ini diuar-uar dan pemberitahuan turut dibuat melalui kumpulan media sosial sekolah dan pempengaruh jemputan dalam kalangan komuniti sekolah supaya maklumat sampai kepada ibu bapa atau penjaga.

“Ahli jawatankuasa PIBG SKSU banyak membantu memudahkan urusan pengurusan program ini khusunya mendapat kata sepakat serta persetujuan dengan pengusaha kedai gunting rambut terpilih disekitar kawasan komuniti,” ujarnya.


M Khalimi Dalhan menguruskan pembayaran upah gunting rambut murid kepada pengusaha Kedai Gunting Sila Mampir, Salam.


M Khalimi berkata, program itu menjadi satu aktiviti keprihatinan PIBG dan SKSU sebagai satu entiti yang membantu sekolah serta ibu bapa di samping membentuk perhubungan komunikasi baik antara sekolah dengan komuniti.

Tambahnya, usaha itu juga secara tidak langsung membantu ibu bapa murid yang memerlukan sokongan bantuan bagi meringankan bebanan keluarga dan sekali gus menyuburkan konsep berbuat baik dan saling membantu.

 Justeru itu, jelasnya, langkah berkenaan juga secara tidak langsung membantu pengusaha kedai gunting rambut dalam kalangan anak tempatan yang membuka perniagaan di kawasan komuniti apabila mendapat sokongan dari institusi pendidikan setempat. 


Seorang ibu murid yang memberi sokongan bagi menjayakan program mengunting rambut SKSU.


 

Dua murid mendapat perkhidmatan gunting rambut percuma di Kedai Gunting Rambut Ikwan Sungai Udang.


“Dianggarkan 40 murid lelaki SKSU memanfaatkan program ini dan hadir ke sekolah dengan berambut pendek serta segak yang mematuhi tatacara berpakaian kemas ke sekolah pada hari berikutnya.

“Program ini bukan sahaja suatu yang menyeronokkan pihak sekolah serta ibu bapa kerana ia juga merupakan medan untuk bekerjasama dalam satu komuniti ke arah membina kecemerlangan pembelajaran anak mereka dan memberikan sokongan kepada konsep ihsan dalam Malayasia Madani yang sedang dipromosikan oleh kerajaan melalui slogan, Dari Kita, Untuk Kita dan Oleh Kita,” katanya lagi. - KitaReporters


Pegawai Keselamatan SKSU, Hafiz menerima borang perkhidmatan gunting rambut percuma daripada M Khalimi untuk diagihkan kepada ibu bapa dan penjaga.

15
6
0
14
0
You will be interested