Insan & Komuniti 30 Mar, 2024

Sayangi ibu bapa! Hormati warga emas! Iftar Perdana bersama Dato’ Penghulu Dagang Lenggeng meriah!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Dr Faridwan Abdul Ghafar menyampaikan ucapan pada Majlis Iftar Perdana 1445H/2024M.


SEBAGAI seorang yang waras kita jangan sekali-kali mengabaikan ibu bapa terutama apabila mereka sudah tua dan uzur yang amat memerlukan perhatian serta kasih sayang khususnya daripada seorang anak.

Dato’ Penghulu Dagang Lenggeng, Negeri Sembilan, Dr Faridwan Abdul Ghafar, berkata sesibuk macam mana sekalipun, seseorang itu harus memberi perhatian yang sempurna kepada ibu bapa kerana mereka sudah banyak berkorban untuk seorang anak.

Justeru itu, menurutnya, sebagai anggota masyarakat kita juga harus menghormati warga emas dan menyantuni mereka seumpama ibu bapa sendiri walaupun tidak mempunyai ikatan persaudaraan dan sebagainya.

Tambahnya, bukan suatu perkara merugikan untuk seseorang itu melayani atau bertanya khabar warga emas  ditemui kerana mungkin tindakan itu dapat mengubati hati mereka yang merindui anak atau saudara mara.


Sebahagian warga emas PJNH hadir pada majlis berkenaan menunggu persiapan hidangan berbuka puasa.


“Kita hendaklah berlapang dada dalam menyantuni warga emas ini dan buang perasaan syak wasangka terhadap mereka termasuk yang terdampar tanpa waris, uzur, hidup sebatang kara, dibuang anak dan sebagainya yang kini berlindung di pusat jagaan,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Iftar Perdana 1445H/2024M di Surau Kampung Tengah, Lenggeng, Negeri Sembilan, anjuran bersama Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH), Beranang, Selangor dan Kelab Sukarelawan Mahmudah, Sungai Purun, Bangi, Selangor, pada 23 Mac 2024. 

Turut hadir pada majlis itu, Dato’ Dato’ Adat; wakil Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lenggeng, iaitu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Lenggeng, Azran Afziz Yazid; Pengerusi PJNH, Mohiadin Bahado; Pengerusi Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Azman Rasman; pengerusi surau berkenaan, Saffarudin Darwis; penduduk kampung; dan warga emas PJNH.


Dr Faridwan (duduk tiga dari kanan) dan Dato'-Dato' Adat (berdiri belakang tengah) merakam kenangan bersama sebahagian warga emas PJNH sempena Majlis Iftar Perdana di Surau Kampung Tengah, Lenggeng, Negeri Sembilan pada 23 Mac 2024.


Dr Faridwan berkata, di samping itu warga emas yang menjadi penghuni pusat jagaan perlu didedahkan dengan aktiviti keilmuan serta ilmiah termasuk menggalakkan untuk membaca setakat mampu bahan-bahan bacaan yang disediakan.

Jelasnya, langkah itu dapat membantu mencergaskan otak dan minda selain meredakan tekanan perasaan dan jangan pula menganggap sudah berusia tidak dapat melakukan apa-apa terutama bagi mengekalkan kesihatan. 

“Saya percaya pusat jagaan mungkin sudah melakukan perkara ini dan perlu dipraktikan setiap masa malah mungkin ada tenaga sukarela untuk membantu warga emas melakukan seniman ringan kecergasan dan sebagainya,” katanya.


Dr Faridwan dan Dato'-Dato' Adat (kiri) mendengar penerangan Azman Rasman serta Mohiadin Bahado mengenai keperluan pusat jagaan warga emas.


Sementara itu, Azran Afziz yang berucap mewakili Adun Lenggeng, Mohd Asna Amin, menasihatkan warga emas dan penduduk kampung untuk memperbanyak amalan sepanjang Ramadan di samping mengekalkan ukhuwah dengan melakukan solat sunat tarawih.

“Bagi warga emas yang uzur tunaikanlah amalan sunat setakat termampu supaya dapat terus berada dalam keadaan tenang, buangkan perasaan stres untuk tidak mengangggu kesihatan dan kita sama-sama berdoa semoga ada waris atau saudara mara datang ziarah nanti,” katanya.

Saffarudin pula menzahirkan rasa terharu serta tersentuh hati dapat menganjurkan majlis itu bagi menyantuni warga emas PJNH serta penduduk kampung sebagai satu amalan membantu mereka yang ditimpa musibah pada bulan Ramadan.

“Ini juga membuka peluang kepada kami kariah surau untuk sama-sama membantu PJNH yang beroperasi dengan hanya mengharapkan infak serta sumbangan pelbagai pihak menerusi amalan bersedekah supaya dapat terus membela nasib warga emas yang berlindung di situ,” ujarnya. - KitaReporters


Azran Afziz Yazid berucap mewakili Adun Lenggeng pada majlis iftar berkenaan.

18
20
0
16
0
You will be interested