"Kami seperti adik beradik, sebuah keluarga besar. Jika ada pengumuman program memberi sumbangan di luar, ada sahaja ahli yang memberi infak sama ada wang ringgit atau barangan.
"Begitu juga jika ada majlis keramaian, masing-masing membawa makanan yang dimasak di rumah untuk dikongsi.

Mesyuarat AGM Pertubuhan Amal dan Kebajikan Insaniah Selangor 2025 diadakan secara santai dalam semangat kekeluargaan di ibu pejabat Misi Amal di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi, Selangor.
"Dalam pertubuhan pun, mereka sanggup berkongsi jawatan, bukan memegang kuasa selama-lamanya. Jika merasakan sudah terlalu lama, mereka memberi peluang kepada ahli baharu untuk mendapat pengalaman dan bekerja sebagai pasukan.
"Sepanjang memimpin, tiada masalah dengan barisan ahli jawatankuasa (AJK) malah mereka memberi kerjasama penuh dan bekerja tanpa menunggu arahan," kata Pengerusi Pertubuhan Amal dan Kebajikan Insaniah Selangor (Misi Amal), Ustaz Roslan Abdullah selepas Mesyuarat Agung Tahunan Ke-4 Tahun 2025 (AGM 2025) di Seksyen 8 Bandar Baru Bangi, Selangor.
Beliau mengekalkan jawatan pengerusi untuk penggal kedua selepas mesyuarat bersetuju ia tidak dipertanding termasuk beberapa jawatan pengurusan tertinggi Misi Amal lain, antaranya Penasihat, Timbalan Pengerusi, Setiausaha, Timbalan Setiausaha, Bendahari dan Timbalan Bendahari.
Bagaimanapun, tiga ahli AJK lama menarik diri disebabkan beberapa komitmen lain dan mesyuarat bersetuju ahli mencalonkan tiga nama baharu untuk dimasukkan dalam senarai ahli jawatankuasa Misi Amal sesi 2026-2028.

Ustaz Roslan Abdullah
Ustaz Roslan berkata, Misi Amal bukan hanya tertumpu kepada aktiviti kebajikan dan memberi sumbangan tetapi turut memberi ilmu melalui program Kuliah Dhuha setiap Ahad minggu kedua yang dikendalikan Ustaz Mohd Rijal Sajiman untuk pengajian Tafsir dan Kitab Fekah.
"Misi Amal juga akan mengadakan kelas Talaqqi al-Quran setiap Rabu, dua kali sebulan di bawah biro Ilmu. Ia kaedah pembelajaran al-Quran secara bersemuka di mana pelajar membaca al-Quran dengan guru dan guru membetulkan bacaan, sebutan (makhraj), dan intonasi (tajwid) pelajar," katanya.
Walaupun sibuk bersama pengurusan Maahad Tahfiz Ribath Thullab Jeel As Salamah di Lenggeng, Negeri Sembilan, beliau menerima tanggungjawab untuk terus memimpin Misi Amal bagi memastikan pertubuhan itu menjalankan bakti kepada masyarakat terutama golongan asnaf, anak-anak yatim dan ibu tunggal.
"Saya berterima kasih kepada Timbalan Pengerusi, Tukinah Wardi dan Bendahari, Ustazah Norhayati Sulaiman yang banyak membantu Misi Amal menjalankan aktiviti kebajikan dan memberi sumbangan sepanjang dua tahun saya menuntut ilmu dalam pengajian agama di Kedah.
"Untuk sesi ini pun, saya tidak dapat bersama selalu bersama barisan AJK atau turun ke padang menjalankan aktiviti memberi sumbangan tetapi akan sentiasa memberi pandangan selain nasihat bagi memastikan program dilaksanakan, manakala derma orang ramai dimanfaat sepenuhnya untuk kerja-kerja kebajikan.
"Cuma, saya berharap lebih ramai golongan muda dapat ditarik masuk sebagai ahli kerana Misi Amal amat memerlukan khidmat mereka apatah lagi kebanyakan ahli berusia 40 tahun ke atas," katanya.

AJK Misi Amal untuk sesi 2026-2028 bersedia untuk menjalankan amanah yang diberikan ahli sempena AGM ke-4 2025.
Sementara itu, bagi Ustazah Norhayati Sulaiman, pelbagai program sudah diatur untuk 2026 selain bersedia dengan aktiviti sepanjang Ramadan yang akan hadir beberapa bulan lagi.
Beliau berkata, bermula Januari 2026, Misi Amal akan mengadakan aktiviti kebajikan di Kemboja di tiga kempung membabitkan 150 keluarga Islam yang sudah dikenal pasti untuk diberi bantuan barangan selain meraikan kanak-kanak dengan jajan bagi memberi kegembiraan kepada mereka.
"Program kemanusiaan di Kemboja bermula 24 hingga 27 Januari 2026, diikuti aktiviti menyampaikan sumbangan kebajikan sempena Ramadan 1447H kepada golongan asnaf, anak-anak yatim dan ibu tunggal di beberapa lokasi yang dikenal pasti di Selangor pada 21 hingga 28 Februari dan Program Iftar dijangka sebelum Aidilfitri 2026.
"Aktiviti seterusnya ialah program korban sempena Aidiladha 1447H di Pahang pada hari raya ketiga, kemungkinan 29 dan 30 Mei 2025, diikuti pemberian sumbangan di Kedah (4 Julai), Sabah (5 September) dan perjalanan kemanusiaan ke China pada 6 November 2026.

Ustazah Norhayati Sulaiman
"Semua aktiviti itu memerlukan sumbangan kewangan terutama daripada ahli-ahli atau mereka yang mahu mencari pahala akhirat, justeru saya meminta ahli terus menunaikan tanggungjawab melunaskan yuran ahli RM10 sebulan atau RM120 setahun bagi memudahkan kami menjalankan kerja-kerja kebajikan," katanya.
Orang ramai boleh mengikuti kerja-kerja amal Misi Amal melalui FB Pertubuhan Amal dan Kebajikan Insaniah Selangor atau datang sendiri ke ibu pejabatnya di Seksyen 8, Bandar Baru Bangi, Selangor untuk melihat aktiviti perkebunan yang dilakukan ahli-ahli bagi menambah dana pertubuhan itu.
Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Pertubuhan Amal dan Kebajikan Insaniah Selangor, bernombor 562263560241 (Maybank). - KitaReporters
Berikut adalah senarai AJK yang akan menerajui Misi Amal untuk tempoh tiga tahun bagi sesi 2026-2028.
Penasihat: Ustaz Raffii Ghalil Abbas
Pengerusi: Ustaz Roslan Abdullah
Timbalan Pengerusi: Tukinah Wardi
Setiausaha: Wan Amisha Wan Mahmud
Timb SU: Siti Hawa Md Noh
Bendahari: Ustazah Norhayati Sulaiman
Timbalan Bendahari: Zuridah Kasan
AJK-AJK:
1. Hj Rohani Shadan
2. Wan Reozmawanza Wan Mohamed
3. Ustaz Shamsul Bahri Ahmad
4. Cikgu Norlia Ali
5. Fauziathum Hanif
6. Sarifah Khamis
7. Kanariah Daud

Ahli bergambar kenangan selepas selesai AGM Misi Amal 2025.