Insan & Komuniti 18 Aug, 2025

Wujudkan masyarakat Madani harmoni, terangkum! Penduduk kampung merewang untuk masak bubur asyura!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Kaum wanita berehat seketika selepas selesai memasak bubur asyura.


Walaupun menetap jauh di pedalaman, tetapi tidak penjadi penghalang khususnya kepada penduduk dalam kalangan kaum wanita di Kampung Bendang Nering, Batu Kurau, Taiping, Perak untuk turut mendokong usaha kerajaan mewujudkan masyarakat madani yang terangkum dan harmoni.

Berbekalkan semangat itu mereka sering mengadakan pelbagai program kemasyarakatan membabitkan pelbagai peringkat umur termasuklah merewang (bergotong royong) untuk menjayakan majlis perkahwinan anak jiran sekampung yang disulami dengan semangat muhibah serta ukhuwah dalam kerja gotong-royong dilakukan. 

Pada program terkini penduduk kampung terbabit berganding bahu mengadakan majlis memasak bubur asyura walaupun bulan Muharam sudah berlalu, namun mereka tetap menganjurkannya supaya dapat menyantuni komuniti bagi merasai keenakan masakan berkenaan yang diadakan pada 7 Ogos 2025.


Norisah Ja'ai (tiga dari kiri) bersama-sama rakan wanita gembira melihat bubur asyura yang siap dimasak dan dimasukan dalam bekas plastik untuk diagihkan kepada penduduk kampung.


Aktivis masyarakat di kampung itu, Norisah Ja’ai, berkata penganjuran majlis berkenaan membabitkan ramai aktivis masyarakat dan sukarelawan dalam kalangan penduduk dari Kampung Jelai, Selama, Batu 16, Pecah, Changkat Perah dan Bendang Nering sendiri.

Menurut beliau yang mengetuai majlis berkenaan, sejak awal pagi penduduk terbabit sudah berkumpul di pekarangan rumah dia bagi menyediakan bahan untuk membuat bubur asyura seperti beras, tepung beras, kacang kuda, kacang merah, kacang hijau, serai, lengkuas, jintan manis, jintan putih, santan dan sebagainya.

Tambahnya, penduduk kampung sama ada kaum lelaki atau wanita bergotong-royong melakukan kerja pembersihan bahan berkenaan sebelum meletakan kawah di atas dapur untuk memulakan tugasan memasak bubur asyura terutama mengacau sehingga tengah hari.

“Dengan satu kawah ini kami dapat menyediakan lebih 100 bekas plastik bubur asyura untuk diagihkan kepada penduduk kampung terbabit bagi sama-sama menikmati juadah hasil kerja gotong-royong penuh ukhuwah.


Maizatul Azura (kiri) turut membantu mengisi bubur asyura dalam bekas plastik sebelum diagihkan kepada penduduk.


“Sebagai meraikan hasil kesepakatan ini, sebahagian daripada penduduk pula membawa pelbagai lauk pauk untuk dijamah bersama nasi sebagai hidangan makan tengah hari sekali gus mengeratkan lagi hubungan harmoni serta muhibah antara kami semua yang terbina sekian lama,” ujarnya. 

Mengenai penyediakan bahan membuat bubur asyura itu, Norisah berkata, pembelian yang dibuat adalah hasil sumbangan dana pelbagai pihak termasuk dalam kalangan pemimpin organisasi serta aktivis masyarakat yang sering membantu penduduk kampung.

Tambahnya, kejayaan mengadakan majlis itu juga hasil sokongan serta kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Rakan Wanita Prihatin LMS (Daerah Larut, Matang dan Selama) yang sering memberi galakan kepada penduduk kampung supaya mengadakan program bercorak kemasyarakatan dalam usaha mengekalkan keharmonian.

“Saya berasa amat teruja apabila pekarangan rumah sentiasa menjadi pilihan sebagai tapak melaksana program membabitkan penduduk apabila terletak di tepi jalan utama kampung di samping keadaanya luas dan mudah untuk dikunjungi,” ujarnya lagi.


Kaum lelaki turut hadir bagi membantu tugasan menyiapkan bahan untuk membuat bubur asyura.


Sementara Pengerusi Rakan Wanita Prihatin LMS, Maizatul Azura yang turut hadir pada majlis berkenaan, melahirkan rasa kagum melihatkan semangat kesepakatan penduduk kampung terbabit dalam terus mengekalkan amalan kerja bergotong-royong dan ukhuwah.

Menurutnya, majlis atau program yang memberi manfaat kepada keharmonian hidup dalam komuniti pelbagai kaum dia akan memberi kerjasama sebaik mungkin kerana usaha itu mampu menjadi contoh kepada generasi muda.

“Kita lupa seketika perselisihan pendapat atau fahaman apabila terbabit dalam aktiviti kemasyarakatan seperti memasak bubur asyura ini dan diikuti menikmati hidangan makan tengah hari bersama-sama kerana memberi peluang untuk bertanya khabar serta mengekalkan hubungan baik yang sekian lama terbina,” katanya. - KitaReporters


Pemimpin masyarakat, Mohd Fairus Shaari menyampaikan agihan bubur asyura kepada seorang penduduk kampung sambil diperhatikan oleh Norisah (kanan).

13
10
0
15
0
You will be interested