Insan & Komuniti 20 Jul, 2025

Gotong-royong kutip sampah! Program SULAM Titian Kasih @ Komuniti Bandar Behrang 2020! Bersama UPSI!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Peserta program bekerjasama mengasingkan sisa buangan dan memasukkan bahan kitar semula dalam beg khas.


Program SULAM Titian Kasih @ Komuniti Bandar Behrang 2020 bukan setakat memperkukuh ukhuwah penduduk malah meninggalkan impak positif kepada usaha memulihara alam sekitar yang menepati untuk dipupuk dalam kalangan generasi muda.

Program anjuran pelajar kursus Kuliah Penulisan Kreatif dan Deskriptif (BSK3103), Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak itu mendapat kerjasama Masjid Al-Hidayah Bandar Behrang 2020, Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Jiran Wanita KRT dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Behrang 2020.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) berkenaan, Kamarul Beharim Lasa menzahirkan penghargaan kepada pihak penganjur kerana berjaya mengadakan program yang bukan sahaja menyemai semangat kesukarelawanan, tetapi turut memperkukuhkan ikatan persaudaraan komuniti.

Menurutnya, program anjuran pelajar UPSI itu sesuatu yang memberi banyak manfaat serta menjadi contoh kepada generasi muda termasuk pelajar sekolah di kawasan KRT berkenaan untuk berganding bahu dengan penduduk dalam kegiatan kemasyarakatan.

“Malah saya berasa kagum apabila program ini dapat berlangsung dengan penuh semangat dan komitmen tinggi tanpa mengira usia dan kaum selain boleh menjadi model kolaboratif terbaik antara pelajar institut pengajian tinggi dengan komuniti untuk masa depan,” ujarnya ketika berucap pada majlis perasmian program itu 14 Jun 2025. 


Mahasiswa UPSI berganding bahu membersihkan kawasan sekitar sekolah dalam usaha menceriakan persekitaran komuniti.


Dalam program itu, mahasiswa menjayakan aktiviti gotong-royong Kutip Sampah Sambil Riadah (KUDAH) di tujuh zon iaitu Teratai, Melati, Kemboja, Bourgainvilla, Bunga Raya, Orkid dan Lavender.

Sempena program itu juga diadakan pertandingan kumpulan mengutip sampah terberat yang diraih pasukan mahasiswa dari Zon Orkid sebagai johan dengan kutipan 28.8 kilogram sampah, diikuti Zon Bunga Raya (25.6 kilogram) dan Zon Lavender (18.8 kilogram).

Pengerusi Masjid Al-Hidayah, Shamuri Agus, berkata program itu bukan sahaja meninggalkan impak positif kepada alam sekitar, tetapi juga berjaya memupuk semangat perpaduan dan kesedaran sivik dalam kalangan mahasiswa dengan komuniti.

Beliau berkata, aktiviti seumpama itu diharap dapat dilaksanakan lagi pada masa akan datang sebagai agenda berterusan untuk memartabatkan nilai murni dalam masyarakat kerana aktiviti bergotong-royong merapatkan ukhuwah di samping sikap bertegur antara satu sama lain terutamanya apabila hidup dalam komuniti berjiran.  

“Pihak masjid sentiasa bersedia untuk berkerjasama dengan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam melaksanakan program atau aktiviti yang boleh menjurus ke arah memupuk hubungan baik dan ukhuwah,” katanya lagi.


Pasukan Zon Orkid menerima hadiah pertandingan timbangan barangan kitar semula paling berat daripada Ketua Muslimah Masjid Al- Hidayah, Rokiah Othman sebagai penghargaan atas usaha dan komitmen dalam menjayakan program sambil disaksikan oleh Shamuri Agus (kiri) dan Dr Ghazali Din (kanan).


Pengurus Divisyen Komuniti Lestari, Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation, Muhd Muhtazam Noor Din, pula berkata menerusi program itu, mahasiswa disemai semangat menghargai barangan terbuang seperti botol plastik untuk dikitar semula. 

Sementara itu, Penasihat Program, Prof. Madya Dr. Ghazali Din, berkata program yang berlangsung di pekarangan Masjid Al-Hidayah itu menghimpunkan 277 mahasiswa kursus berkenaan bersama lebih 50 penduduk setempat serta pelajar sekolah dalam aktiviti gotong-royong mega dan kitar semula.

Katanya, objektif utama program adalah untuk mengukuhkan hubungan silaturahim antara institusi pendidikan dengan masyarakat, menggalakkan kerjasama dalam aktiviti kitar semula serta memupuk nilai keprihatinan, tanggungjawab sosial dan kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa.

“Saya berasa bangga dengan komitmen mahasiswa dalam menjayakan program berimpak tinggi ini, malah menekankan kepentingan nilai prihatin terhadap alam sekitar yang harus dipupuk sejak di bangku sekolah lagi,” terangnya. - KitaReporters


Peserta program SULAM Titian Kasih@Komuniti Bandar Behrang 2020 bergambar kenangan bersama komuniti setempat di hadapan Masjid Al-Hidayah Bandar Behrang 2020 sebagai simbolik kejayaan program itu. 

13
8
0
10
0
You will be interested