Mesyuarat Penyelarasan Strategik Serantau Tahunan Persekutuan Antarabangsa Persatuan-Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) di Kuala Lumpur berakhir pada 29 Januari 2026 lalu dengan satu mesej yang jelas: Solidariti merentasi seluruh rangkaian Palang Merah dan Bulan Sabit Merah IFRC tidak pernah lagi setepat masanya seperti sekarang.

Alexander Matheou, Pengarah Serantau untuk Asia Pasifik berkata, Asia Pasifik kekal sebagai rantau yang paling kerap dilanda bencana di dunia. Komuniti di serata rantau berdepan dengan banjir, taufan, dan gelombang haba yang kian kerap dan teruk, peningkatan kes perpindahan penduduk, serta kerentanan yang bertindih.
Pada masa yang sama, keperluan kemanusiaan terus meningkat ketika sumber pembiayaan semakin menyusut.
Katanya, jurang yang kian melebar antara keperluan dan sumber daya ini memberikan tekanan yang belum pernah berlaku sebelum ini kepada para responden tempatan dan komuniti yang dibantu.
"Sepanjang tiga hari mesyuarat ini, Persatuan-persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah telah berkumpul untuk menghadapi realiti tersebut dan merancang masa hadapan.
"Kami membincangkan risiko serantau, keperluan kemanusiaan yang semakin mendesak, serta keutamaan bersama untuk tahun ini (2026).
"Kami meneliti bagaimana Persatuan-persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah dapat memperkukuh persediaan dan tindak balas bencana, bagaimana kesan krisis iklim mengubah bentuk tindakan kemanusiaan, serta bagaimana rangkaian kami semakin menerajui respons pada peringkat dalam negara dan sokongan kepada persatuan saudara di negara lain," jelas beliau.

Menurut Matheou, apa yang jelas terhasil daripada perbincangan ini adalah persefahaman bersama bahawa tiada satu organisasi pun yang dapat menangani cabaran kemanusiaan masa kini secara bersendirian:
Kita, katanya, harus mengukuhkan kerjasama dalam rangkaian global Persatuan persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah, di samping bekerjasama rapat dengan rakan kongsi yang berfikiran sama.
"Solidariti dari segi praktikal, operasi dan kewangan adalah asas kekuatan kolektif kita. Membantu jiran anda bukanlah tindakan kemanusiaan: Ia adalah tanggungjawab asas kemanusiaan.
"Tindakan kemanusiaan bermaksud membantu orang yang tidak dikenali. Semangat sokongan bersama merentasi sempadan inilah yang mendefinisikan jati diri Palang Merah dan Bulan Sabit Merah, dan semangat ini akan terus menyokong dan menguatkan kita pada tahun-tahun yang akan datang," tambah beliau.
Walaupun menghadapi tekanan yang semakin meningkat, rangkaian IFRC tetap komited untuk berada pada peringkat tempatan, di mana-mana jua.
Beliau berkata, dalam kebanyakan krisis, para sukarelawan dan kakitangan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah adalah antara yang pertama memberi respons dan yang terakhir berundur.
Kini semakin kerap, mereka adalah satu-satunya petugas kemanusiaan yang masih kekal apabila pihak lain mengurangkan skala operasi.
"Realiti ini menuntut kita bekerja dengan lebih bijak, berkoordinasi dengan lebih baik dan memastikan sumber yang terhad digunakan di tempat yang boleh memberi impak terbesar.
"Pelan Global IFRC untuk tahun 2026 mencerminkan pendekatan ini. Dengan keperluan pembiayaan sebanyak 3.4 bilion franc Swiss (RM17.26 billion), ia mengutamakan tindakan yang diterajui oleh komuniti tempatan, memperkukuh kepimpinan Persatuan Kebangsaan dan menyalurkan kebanyakan sumber yang digerakkan pada peringkat antarabangsa ke peringkat negara.
Pelaburan dalam kapasiti tempatan bukan sahaja lebih efektif dari segi kos, malah ia merupakan elemen penting untuk menjamin kelestarian dalam tindakan kemanusiaan," tegas Matheou.

"Apa yang memberi saya harapan adalah kekuatan Persatuan-persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah di rantau ini.
"Beberapa Persatuan Kebangsaan yang pernah menerima bantuan antarabangsa kini menerajui tindak balas di negara mereka sendiri dan menghulurkan sokongan kepada negara jiran merentasi sempadan.
"Solidariti ini melangkaui rantau, dengan rakan kongsi lama daripada kalangan Persatuan Kebangsaan terus membuktikan nilai sejati persahabatan dengan menyokong organisasi saudara mereka pada saat-saat yang paling diperlukan.
"Inilah intipati kemanusiaan -- bukan sebagai penyelamat, tetapi demi tujuan bersama, berasaskan maruah, sokongan bersama dan rasa hormat terhadap kepimpinan tempatan," katanya lagi.
Menurut Matheou, ketika mengakhiri mesyuarat ini, para peserta Mesyuarat Penyelarasan Strategik Serantau Tahunan IFRC melakukannya dengan tekad yang diperbaharu.
"Cabaran yang menanti amat besar, begitu juga kekuatan kolektif keluarga Palang Merah dan Bulan Sabit Merah kami.
"Pada masa sumber yang semakin berkurangan dan keperluan kemanusiaan yang kian meningkat, solidariti bukan sekadar komitmen -- tetapi bagaimana kami akan terus berkhidmat untuk komuniti di seluruh Asia Pasifik.
"Kami menyeru rakan kongsi yang berfikiran sama menyertai kami dalam usaha bersama ini, supaya bantuan terus sampai kepada mereka yang paling memerlukannya," ujar beliau. - KitaReporters/Kenyataan Media