Pasukan BRL dari Perlis yang banyak membuat hantaran sepakan tajam dalam gelanggang semasa bermain di Kejohanan Sepak Raga Tuju 2025 menggondol hadiah pertama sebanyak RM2,000.

Pemain pasukan sepak raga tuju sedang beraksi dalam gelanggang semasa kejohanan itu berlangsung.
Ramai penonton begitu kagum melihat teknik pemain pasukan itu dan akhirnya menerima hadiah lumayan RM2,000 bersama piala dan medal setelah berlangsung di Pekarangan Padang Awam BizPark, Ambangan Height di Sungai Petani pada 31 Ogos 2025 lalu.
Pengarah teknikal kejohanan itu, Mohd Hasbi Abdullah berkata, sebenarnya, ada seni permainan dan tidak begitu mudah bagi setiap pasukan untuk menang dalam acara penuh cabaran itu.
Hanya pasukan yang biasa menang sahaja boleh mendapat hadiah lumayan yang disediakan oleh pihak penganjur.

Shaiful Hazizi Zainol Abidin (tiga dari kiri) menunjukan piala yang disediakan sempena kejohanan tersebut.
"Sebanyak 61 pasukan dari beberapa negeri telah ambil bahagian dalam kejohanan sepak raga tuju anjuran UMNO Bahagian Merbok di Sungai Petani bagi memastikan sukan tersebut terus diminati generasi muda, terutama dalam kalangan orang Melayu," katanya.
Turut sama memberi kerjasama bagi menjayakan kejohanan itu, termasuk Belia 4B Merbok serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Merbok.
Kejohanan ini disertai pemain-pemain dari negeri Selangor, Perak, Pulau Pinang, Perlis dan Kedah.
"Pemain-pemain dari Titiwangsa, Puchong, Taiping, Pantai Remis juga membuat sepak raga tuju yang hebat dalam kejohanan diadakan itu," katanya lagi.
Naib johan dimenangi Pasukan Kay End dari Kuala Nerang, Kedah menerima hadiah RM1,000 dan medal, manakala ketiga, Pasukan Permatang Rawa (A) Pulau Pinang menerima hadiah RM700 dan medal.
Manakala pasukan ke-4 sehingga ke-8 melibatkan pemain pasukan dari Yan (A), Tok Pon 2.0, Rimba A, Tajura A Dan Permatang Rawa (B) masing-masing menerima hadiah RM150 sahaja serta medal.

Mazrul Nizam Abdullah (tiga dari kiri) memakai medal kepada seorang pemain.
"Melalui kejohanan begini, pemain ada wawasan hidup dan mereka tidak mudah terjebak dengan perkara yang boleh merosakkan diri sendiri," kata Mohd Hasbi lagi.
Hadiah kepada semua pemenang disampaikan oleh Setiausaha Agung Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Datuk Mazrul Nizam Abdullah pada kejohanan bagi merebut piala Ketua UMNO Bahagian Merbok, Datuk Shaiful Hazizi Zainol Abidin. - KitaReporters

Pemenang pertama, kedua dan ketiga bergambar kenangan dengan jawatankuasa penganjur Kejohanan Sepak Raga Tuju 2025 di Pekarangan Padang Awam BizPark, Ambangan Height di Sungai Petani, Kedah.
Tags: