Kerajaan sudah mengaktifkan ‘care economy’ atau 'ekonomi penjagaan' dalam meningkatkan sasaran penjagaan mereka yang menagihkan keperluan penjagaan khas termasuk dalam kalangan warga emas yang perlu disantuni dan dijaga dengan baik.

Norhasliana Hashim dan Masnah Mazlan merakamkan kenangan bersama-sama sebahagian 16 warga emas PJAAI.
Kewujudan
persatuan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mengurus dan menjaga warga
emas khususnya amat bertepatan malah anak-anak yang mengurus ibu bapa uzur di
rumah perlu diberi perhatian melaksanakan tugas itu dengan menepati ‘Care
Economy’
Pengerusi Majlis
Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) Pahang, Datuk Masnah
Mazlan, berkata mereka yang berjuang tanpa mengenal penat lelah menjaga warga
emas itu wajar diberi imbuhan di samping latihan bagi meningkatkan kualiti
tugasan atau tanggungjawab dilakukan.
Menurutnya, langkah itu amat penting supaya mereka terbabit dalam menjaga warga emas atau ibu bapa di rumah mengetahui cara betul dan keperluan khas yang patut diberi perhatian supaya dapat melakukan tugas dengan potensi kejayaan penjagaan sempurna dengan kemampuan dimiliki.

Gerai pemeriksaan kesihatan turut dibuka pada Hari Terbuka dan Sambutan Hari Warga Emas Sedunia, PJAAI.
Sehubungan
itu, tambahnya, NCWO sedang berbincang dengan Persatuan Fisioterapi Malaysia
(PFM) untuk mengadakan latihan kepada mereka termasuk sukarelawan, ahli NGO dan
anak-anak mengenai cara atau kaedah betul menjaga warga emas di pusat jagaan
atau ibu bapa di rumah.
“Dengan
pembabitan tenaga sukarelawan fisioterapi ini mereka dapat memberi bimbingan
dan tunjuk ajar tugasan menjaga orang tua kerana asas penjagaan amat perlu
diketahui supaya tidak melakukan kesilapan atau mengabaikan keperluan yang
perlu disediakan,”ujarnya ketika berucap merasmikan Hari Terbuka dan Sambutan
Hari Warga Emas Sedunia, Pusat Jagaan Aisyah Al-Iman (PJAAI), di Pekan, Pahang,
pada 25 Oktober 2025.
Turut hadir pada majlis itu, Pengurus PJAAI, Norhasliana Hashim; Pengerusi Pusat Jagaan Nur Hasanah, Beranang, Selangor, Mohiadin Bahado; dan Setiausaha Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, Muhammad Syafiq Mohiadin.

Pengunjung melakukan pemeriksaan dan mendapatkan khidmat nasihat kesihatan daripada kakitangan pusat kesihatan dan farmasi bertauliah.
Masnah yang
juga Timbalan Presiden NCWO Malaysia, berkata sukarelawan atau mereka yang
bertugas di pusat jagaan perlu memberi perhatian kepada potensi seseorang warga
emas terutama masih mampu aktif untuk melakukan tugasan harian supaya tidak
berasa stres.
Tambahnya,
kerana itu mereka perlu juga ambil peduli kesihatan mental warga emas yang
disantuni supaya berada dalam keadaan sihat dan seimbang untuk mengelak daripada
melakukan perkara tidak diingini apabila berasa tertekan dan sebagainya.
Menurutnya, petugas atau sukarelawan di pusat jagaan boleh melakukan pemantauan termasuk dengan melihat persekitaran didiami warga emas supaya tiada unsur-unsur yang mendorong melakukan perkara diluar kawalan atau menganggu rakan sebilik.

Masnah menyampaikan ucapan pada majlis perasmian Hari Terbuka dan Sambutan Hari Warga Emas Sedunia, Pusat Jagaan Aisyah Al-Iman (PJAAI), di Pekan, Pahang.
Jelasnya, adalah amat berkesan jika dapat membabitkan warga emas dengan aktiviti yang boleh mendatangkan suasana ceria, gembira di samping memulih kesihatan supaya mereka berasakan nasib diri diambil peduli dan dilayani penuh kasih sayang.
“Saya berasa kagum dengan mereka yang terbabit dalam menjaga warga emas ini kerana tugas itu amat mulia dan satu amal jariah kerana tidak semua orang dapat melakukannya terutama apabila terpaksa melayani orang tua bukan ibu bapa sendiri.
“Semoga PJAAI ini terus maju dan menjadi contoh dalam pengurusan menjaga warga emas manakala masyarakat atau komuniti berdekatan wajar bekerjasama dengan memberi sokongan serta sumbangan untuk membantu meringankan bebanan operasi,” ujarnya.

Mohiadin Bahado (tengah) menyampaikan hadiah cabutan bertuah kepada seorang pengunjung sambil diperhatikan oleh Norhasliana.
Sementara itu, Norhasliana berkata, PJAAI yang beroperasi sejak setahun lalu menawarkan kepada mereka khusus warga emas yang memerlukan tempat berlindung kerana keuzuran menghidap pelbagai penyakit serta diabaikan waris termasuk ahli keluarga sendiri.
Menurutnya, pusat jagaan itu mendapat kerjasama serta sokongan pelbagai pihak terutama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sekali gus dapat membantu menyelesaikan masalah warga emas terbiar sendirian di samping hilang tempat bergantung bagi meneruskan kelangsungan hidup.
Tambahnya,
semoga PJAAI dapat terus beroperasi dan mendapat sokongan daripada masyarakat
dan komuniti setempat selain menerima sumbangan daripada pelbagai organisasi seperti
NGO, agensi korporat dan individu prihatin bagi meringankan bebanan operasi
“Program hari terbuka dan sambutan hari warga emas ini diharapkan menjadi wadah untuk orang ramai di Pekan mengenali dengan lebih dekat PJAAI di samping memahami fungsi pusat jagaan itu diwujudkan yang bukan bertujuan perniagaan sebaliknya memikul tanggungjawab sosial,” katanya. - KitaReporters

Muhammad Syafiq Mohiadin memberi penerangan mengenai isu penjagaan dan masalah menimpa warga emas dalam forum yang diadakan.