Insan & Komuniti 28 Nov, 2025

Sihat Itu Malaysia! Agenda Nasional Malaysia Sihat inisiatif KKM! Program Moh Kita Sihat meriah!

@ahmad syahir kassim
Dulu wartawan kini moJo. Boleh emel ke [email protected]

Share this
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menzahirkan penghargaan kepada 18,357 sukarelawan MyChampion yang berdaftar melalui aplikasi MySejahtera dan menjadi penggerak utama usaha memperkukuh pendidikan kesihatan serta perubahan tingkah laku komuniti di seluruh negara. 

Informasi berkaitan sukarelawan kesihatan.
Sumbangan mereka diperkasa melalui Geran Projek Promosi Kesihatan MyChampion berjumlah RM1.86 juta merangkumi 179 projek komuniti yang menyokong pelaksanaan intervensi hidup sihat secara lestari.
MyChampion adalah satu inisiatif KKM menerusi Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) untuk menggerakkan sukarelawan komuniti sebagai ejen kesihatan awam. 
Ia melibatkan sukarelawan daripada pelbagai latar -- kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta -- yang dilatih untuk menyampaikan info kesihatan, mempromosikan gaya hidup sihat serta membantu pendidikan dan advokasi kesihatan di peringkat akar umbi. 
Terbaharu, program ANMS menerusi slogan 'Moh Kita Sihat' berlangsung meriah di Bagan Datuk, Perak pada 23 November 2025.

Ahmad Zahid Hamidi (empat kiri) menyampaikan Geran Projek Promosi Kesihatan MyChampion sempena Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) di Bagan Datuk. - Kredit Foto: KKM.
Program tersebut dimeriahkan dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kabinet ANMS, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Turut hadir Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad yang menegaskan bahawa komitmen KKM untuk terus memperkukuh agenda kesihatan preventif dan kesejahteraan rakyat melalui pendekatan seluruh negara (whole-of-society).

"Program ini menghimpunkan pelbagai kementerian, agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan serta komuniti setempat dalam membina ekosistem kesihatan komuniti, selaras aspirasi 'Sihat itu Saya, Sihat itu Kita, Sihat itu Malaysia,” katanya.
Program tersebut melibatkan tiga komponen utama iaitu MyChampion bersama 'Wellness on Wheels (WoW) Zoomers'.
Aktiviti tersebut merangkumi pendidikan kesihatan dari rumah ke rumah serta aktiviti komuniti. 
Setakat ini, 622 lokaliti di 190 kawasan Parlimen telah dilawati dengan penglibatan hampir 100,000 ahli komuniti. 

"Aktiviti hari ini (23 November 2025) diteruskan di Kampung Bagan Ikan bersama sukarelawan MyChampion," ujar KKM.


Sebahagian peserta yang menyertai Larian Jambatan Sultan Nazrin Shah. - Kredit foto: KKM.

Program di Bagan Datuk itu turut melibatkan Larian Jambatan Sultan Nazrin Shah yang disertai hampir 2,000 peserta yang menyertai larian sejauh 21 kilometer (km), 10km dan 5km, sekali gus mencerminkan komitmen masyarakat terhadap gaya hidup aktif.

Turut diadakan ialah gotong-royong mega perangi Aedes 2.0 peringkat kebangsaan yang melibatkan lebih 400 sukarelawan, termasuk MyChampion, pelajar institusi pendidikan dan komuniti setempat melaksanakan pembersihan, pemeriksaan tempat pembiakan Aedes dan pendidikan komuniti bagi membendung denggi dan chikungunya.
Selaras dengan transformasi sistem kesihatan negara daripada penjagaan berasaskan penjagaan berasaskan penyakit (sick care) kepada penjagaan berasaskan kesihatan (health care), KKM membangunkan Wellness Hub (Hab Kesejahteraan) sebagai pusat sehenti perkhidmatan preventif dan promosi kesihatan bagi memperkukuh pembudayaan hidup sihat secara bersasar. 


Sebagai rekod, sehingga November 2025, sejumlah 33 Wellness Hub telah beroperasi di seluruh Malaysia.

Inisiatif ini mendekatkan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat dan memupuk tanggungjawab kendiri, sejajar prinsip Malaysia Madani, khususnya nilai Kesejahteraan dan Daya Cipta dalam membina komuniti yang sihat dan berdaya tahan. - KitaReporters

16
13
0
15
0
You will be interested