Usaha pendokumentasian dan penerbitan Buletin IMPAK NGO Malaysia akan menjadi sangat signifikan dalam membantu sektor organisasi bukan kerajaan (NGO) berdepan dengan cabaran yang semakin kompleks apabila membabitkan isu pembiayaan, tadbir urus, ketelusan serta keperluan untuk membina kepercayaan awam menuntut pendekatan yang lebih tersusun dan profesional.

Dr Mohd Ali Rustam melakukan gimik pelancaran Buletin IMPAK NGO Malaysia sambil diperhatikan Dr Abdul Latiff Abu Bakar(dua dari kanan).
Pelancaran
Buletin IMPAK NGO Malaysia dengan tema Suara Komuniti, Inspirasi Negara
merupakan satu langkah yang tepat pada masa sekarang, kerana buletin itu bukan
sekadar platform laporan, tetapi satu rekod sejarah sosial.
Pengerusi Jawatankuasa Anugerah Perdana NGO Malaysia, Tan Sri Profesor Datuk Wira Dr Abdul Latiff Abu Bakar, berkata buletin itu akan merakamkan perjalanan cabaran dan pencapaian NGO secara berfakta serta berwibawa dengan memberi pengiktirafan kepada kerja lapangan yang sering tidak kelihatan, tetapi amat bermakna.

Majlis Anugerah Perdana NGO Malaysia 2025 serta pelancaran Buletin IMPAK NGO Malaysia pada 23 Disember 2025.
Menurutnya, dia melihat penerbitan itu sebagai satu sumber rujukan bernilai tinggi yang boleh dimanfaatkan pelajar dan penyelidik, membantu pembuat dasar memahami realiti di lapangan di samping memberi keyakinan kepada sektor korporat untuk menjalin kerjasama lebih strategik supaya mampu mendidik masyarakat untuk lebih menghargai peranan NGO.
Tambahnya, beliau berharap buletin itu akan terus berkembang sebagai platform penyatuan suara NGO dari seluruh negara, menjadi jambatan antara NGO,
kerajaan, sektor swasta dan institusi pendidikan, menjadi pemangkin kepada kerjasama lebih tersusun serta berkesan dalam menangani isu sosial yang semakin mencabar.
“Lebih penting, saya berharap inisiatif ini mampu mencetus minat dan kesedaran dalam kalangan generasi muda, membudayakan kesukarelawanan serta kepimpinan sosial perlu dipupuk sejak awal kerana generasi inilah yang akan meneruskan kesinambungan kerja kemasyarakatan dengan pendekatan lebih segar dan berdaya tahan.

Dato' Seri Siti Nurhaliza Tarudin mewakili Yayasan Nurjiwa untuk menerima Anugerah Yayasan Terbaik (Kebajikan Komuniti).
“Saya amat menyambut baik kerjasama strategik antara Yayasan Generasi Malaysia dan Penerbit Universiti Putra Malaysia (UPM) kerana menggabungkan pengalaman lapangan dengan kekuatan akademik serta kepakaran penerbitan profesional.
“Gabungan ini penting untuk memastikan kandungan yang dihasilkan berkualiti, berintegriti dan boleh dijadikan rujukan dalam jangka panjang,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Anugerah Perdana NGO Malaysia 2025 serta pelancaran Buletin IMPAK NGO Malaysia oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia, Dr Mohd Ali Mohd Rustam, di Sunway Resort Hotel, Petaling Jaya, Selangor, pada 23 Disember 2025.
Dr Abdul Latiff berkata, majlis itu bukan sekadar meraikan pencapaian, tetapi satu pengiktirafan terhadap pengorbanan, keikhlasan dan ketekunan penggerak NGO yang
bekerja tanpa mengharapkan pujian atau publisiti.
Tambahnya, NGO memainkan peranan amat penting dalam membentuk masyarakat yang seimbang dan berperikemanusiaan kerana organisasi berkenaan bergerak rapat dengan rakyat, mereka hadir ketika masyarakat memerlukan sokongan.
Ketua Polis Negara, Dato' Seri Mohd Khalid Ismail menerima Anugerah Khas Kepimpinan Terbilang.
Jelasnya, mereka memahami cabaran sebenar pada peringkat akar umbi selain dalam banyak keadaan, NGOlah yang paling awal turun ke lapangan dan paling akhir meninggalkan komuniti.
Menurutnya, dalam bidang kebajikan, pendidikan, kesihatan, pemerkasaan belia, alam sekitar serta pembangunan komuniti, NGO menunjukkan bahawa kerja kemasyarakatan yang dilakukan dengan penuh empati mampu membawa perubahan berpanjangan, usaha itu juga melengkapkan dasar kerajaan dan menguatkan ekosistem sokongan sosial negara.
“Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua penerima Anugerah Perdana NGO Malaysia, pengiktirafan ini adalah amanah dan teruskan khidmat dengan penuh integriti, keikhlasan dan bertanggungjawab,” ujarnya.

Sebahagian wakil NGO, agensi kerajaan dan swasta turut hadir pada majlis berkenaan.
Pada majlis itu Dr Abdul Latiff turut merakamkan penghargaan kepada Pengarah Pusat Penerbit UPM, Profesor Ir. Ts. Dr. Mohamed Thariq Hameed Sultan kerana kesediaan dan keterbukaan beliau menyokong kerjasama strategik berkenaan.
Sokongan kepimpinan akademik Dr Mohamed Thariq yang berwawasan seperti itu amat penting dalam mengangkat kerja kemasyarakatan ke tahap lebih diyakini dan dihormati.
Pendekatan dwibahasa yang diketengahkan juga sangat wajar kerana akan memperluaskan capaian pembaca di dalam dan luar negara yang membuka ruang perkongsian pengalaman dengan komuniti antarabangsa di samping mengangkat imej NGO Malaysia sebagai sektor yang matang, berakauntabiliti serta berdaya saing.

Muhammad Syafiq Mohiadin merakamkan kenangan bersama Dr Mohd Ali.
Sementara itu, penerima Anugerah Tokoh NGO Belia (Kepimpinan Rumah Kebajikan) yang juga Penolong Setiausaha Pertubuhan Gabungan Rumah Kebajikan Perpaduan Negeri Selangor (PAKAR), Muhammad Syafiq Mohiadin, berkata anugerah itu sudah pasti menyuntik semangatnya untuk terus berbakti dan menyantuni golongan yang kurang bernasib baik.
Jelasnya, anugerah itu juga dedikasikan kepada semua pengusaha pusat kebajikan yang sanggup berkorban kewangan, masa dan tenaga demi kebajikan masyarakat serta semua rakan sukarelawan yang terus berjuang demi membantu golongan berkenaan.
“Kerja kebajikan merupakan kerja berpasukan dan saya akan meneruskan misi mewujudkan platform bagi golongan belia menceburi bidang kesukarelawanan dan kerja amal secara bersama serta terima kasih kepada penganjur kerana melihat peranan belia dalam industri kebajikan di negara ini,” ujarnya yang juga Penyampai Peduli Radio iaitu Radio Kebajikan Pertama Malaysia.

Muhammad Hanafi Jalalludin (dua dari kanan) dan Muhammad Syafiq diraikan kejayaan oleh Pengerusi Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Cheras, Selangor, Azman Rasman; serta Pengerusi Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH), Beranang, Selangor, Mohiadin Bahado (kiri).
Penerima Anugerah Penggerak Cemerlang Gabungan NGO Belia Malaysia, Muhammad Hanafi Jalalludin, berkata dia akan terus berazam melahirkan barisan pelapis pemimpin NGO belia yang boleh menjadi jambatan kepada penyatuan dengan NGO besar untuk membela nasib masyarakat di samping belia mesti bersatu sebagai satu suara, bukan bergerak bersendirian.
“Anugerah ini bukan penamat, tetapi permulaan tanggungjawab yang lebih besar untuk membina belia mampu berdaya saing, menyatukan gerakan NGO dan membina
legasi kepimpinan berintegriti untuk negara,” katanya. - KitaReporters

Dr Mohd Ali (kanan) melihat buku cerpen bertajuk 'Terkulai Di Senja Hari' mengenai kisah benar warga emas di PJMM dan PJNH hasil tulisan Mohiadin Bahado dan Aidah Jaamat yang menjadi sumber dana operasi pusat jagaan berkenaan.