Insan & Komuniti 03 May, 2023

Impak Maksima| Beri peluang kepada bekas penagih! Dapat pinjaman berniaga! Kembali jadi profesional!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com.

Share this


Sempena Hari Pekerja tahun ini yang diraikan sebagai hari percutian umum hari ini,  Kak Fas tertarik dengan kiriman emel daripada Majlis Penyalahgunaan Bahan Malaysia atau ringkasnya MASAC.

Kak Fas yakin ini satu perkongsian yang pasti disambut dengan hati lapang khususnya oleh bekas penagih dadah yang telah lima tahun bebas daripada bahan terlarang itu waima impaknya mampu menyahut semangat Malaysia Madani yang dilaungkan Kerajaan Perpaduan terkini.

MASAC mencadangkan agar Tabung Kewangan Asia (AMF) sekiranya menjadi satu realiti,  membuka peluang kepada bekas penagih dadah yang telah 5 tahun bebas daripada dadah untuk turut ditawarkan kemudahan pinjaman kecil bagi kemudahan mereka memulakan perniagaan dalam skala kecil

Sekiranya perkara ini dijadikan salah satu teras kecil AMF, ia akan mampu mewujudkan peluang pekerjaan kepada bekas penagih dadah yang lain kerana tuan punya perniagaan ialah juga merupakan bekas pengguna bahan terlarang.



Walau serata dunia telah maju dan mempunyai pelbagai perundangan yang tidak mendiskriminasi bekas penagih dadah secara terus untuk diambil bekerja dipelbagai sektor swasta, namum stigma majikan merupakan sesuatu yang tidak boleh dihakis apabila bekas penagih dadah memohon sesuatu pekerjaan.

Dan akhirnya mereka ini hanya boleh bekerja di sektor yang tidak menawarkan gaji yang lumayan walau bekas penagih dadah ini ada pengalaman atau kelayakan yang sesuai. 

‘Sekiranya AMF membantu bekas penagih untuk menjadi majikan, maka peluang bekas penagih yang lain untuk bekerja di entiti korporat atau perusahaan yang dimiliki komuniti yang sama akan lebih cerah untuk mereka," ujar Raja Azizan Suhaimi, Setiausaha Agung MASAC dalam satu kenyataan yang dikeluarkannya pada 30 April 2023.

Menurutnya, dengan keterbukaan tersebut bekas penagih mampu mendapat pekerjaan yang sesuai dengan kelayakan dan pengalaman seterusnya mendapat pendapatan yang lumayan untuk menyara keluarga mereka.

“Pinjaman dengan kadar yang sesuai ini boleh memberikan faedah kepada semua negara Asia dalam mengurangkan kes relapse dadah dan memberikan mereka ini peluang kehidupan lebih baik atas kesilapan menghisap dadah,” tambah beliau.


Raja Azizan Suhaimi


MASAC turut mencadangkan agar Akta Profesion pelbagai bidang profesioal di negara ini dipinda bagi membolehkan bekas penagih dadah yang ada kelulusan berkait dibenarkan mengamalkan profesion mereka setelah berjaya bebas daripada dadah 5 tahun dan ke atas, seperti contoh doktor atau peguam atau jurutera yang telah bebas najis dadah lebih 5 tahun dibenarkan kembali beramal atas kelulusan badan yang mengawal profesion tersebut.

Sambung kenyataan itu, sempena Hari Pekerja 2023 ini, Kerajaan boleh mula membuat kajian lanjut kepada keberkesanan cadangan ini bagi meningkatkan jumlah tenaga kerja professional negara.

Pada tahun yang barakah ini juga, MASAC turut mencadangkan diwujudkan jawatan Penasihat Mahkamah bagi Permasalahan Dadah di mahkamah seluruh negara bagi mereka yang dituduh kali pertama kes dadah yang diambil dalam kalangan bekas guru, bekas warder penjara, bekas peguam, bekas hakim, bekas polis, bekas pengguna bahan terlarang yang telah berubah, bekas PTD, bekas JKM, bekas AADK untuk membantu menasihati mahkamah akan hukuman yang sesuai dalam kes dadah agar ia mampu memberikan impak yang lebih baik seperti kesan kebaikan Penasihat Mahkamah bagi Kanak-Kanak sempena Hari Pekerja tahun 2023 ini.

MASAC turut menyeru Kerajaan mewujudkan satu skim subsidi sebanyak RM100 yang dibayar kepada KWSP setiap bulan kepada majikan yang menggajikan bekas penagih dadah di seluruh negara dengan semangat madani yang ada kini oleh Kerajaan.

Skim subsidi rahmah pekerja dadah ini hanya terbuka kepada pesalah dadah kali pertama sahaja supaya mereka mampu diberikan peluang menjana pendapatan yang baik selepas berjaya pulih daripada permasalahan dadah mereka. 

Orang ramai boleh menghubungi talian helpline MASAC di 017-322 6380 jika memerlukan maklumat lanjut berkait dadah.

MASAC turut mempelawa lebih banyak NGO menjadi ahli gabungan MASAC dan mendapat pelbagai faedah dalam usaha bersama membantu negara.

Begitu pandangan MASAC, bagaimana pula pandangan anda? Kita tunggu dan dengar apa agaknya respons dari Kerajaan yang menjunjung teras Malaysia Madani kini ya…


12
10
0
10
0
You will be interested