Insan & Komuniti 26 Mar, 2023

Barang antik terapi minda! Mama Mila kumpul barangan lama! Berasa puas walaupun disalah anggap!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Sebahagian alat muzik yang masih boleh digunakan dijaga dengan baik oleh Mama Mila.


“DALAM usia warga emas ini, saya berasa tenang apabila berada di rumah dengan dikelilingi pelbagai barangan antik yang dikumpul sejak 38 tahun lalu.

“Saya tidak pernah bekerja tetap, saya lebih tumpukan kepada menjadi seorang sukarelawan dengan membantu banyak pihak khusus hospital sekitar Lembah Kelang. Saya suka membantu orang dan setiap kerja dilakukan dengan niat ikhlas,” kata Zamila Majlis atau mesra dipanggil Mama Mila.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan kumpul barang antik

Beg berbentuk kotak seakan besi yang disebut beg KTM Malaya turut menjadi koleksi antik Mama Mila.


Daripada situ hobi Mama Mila sejak kecil mengumpulkan barangan lama atau antik semakin berputik tanpa didorong sesiapa pun dan dia tidak berasa malu untuk menyelongkar tempat pembuangan sampah apabila ternampak barangan lama dibuang.

Beliau berkata, dalam satu ketika dia menebalkan muka bertanyakan serta meminta izin dengan sesiapa sahaja apabila mengetahui ada timbunan sampah dibuang di depan rumah untuk diselongkar bagi mencari barangan lama yang boleh dijadikan koleksi antik.

Menurutnya, kebiasaan nasib menyebelahi beliau apabila terjumpa barangan lama yang dibuang oleh pemiliknya dengan alasan tidak dapat digunakan lagi atau rosak tetapi mempunyai nilai kerana barangan itu sukar untuk dijumpai sekarang ini.

“Saya tidak pernah membeli barangan lama yang dikumpul ini, semua saya cari sendiri atau disumbangkan oleh kenalan apabila mereka mengetahui saya menjadi pengumpul barangan lama sebagai koleksi.

“Secara tidak langsung juga sebagai sukarelawan saya mengenali ramai orang dan sesetengah mereka pula menjadi pemberi maklumat di mana boleh saya dapatkan barangan lama yang dibuang dan sebagainya,” kata Mama Mila yang ditemui di rumahnya di Ampang, Selangor.


Mama Mila menunjukkan pelbagai barangan antik yang tersusun rapi di atas rak di bahagian halaman depan rumahnya di Ampang, Selangor.


Beliau yang kini berganjak usia 63 tahun, berkata selepas memiliki rumah sendiri kediamannya itu tidak ubah seperti mini muzium yang tersimpan lebih 500 koleksi pelbagai barangan antik seperti dacing, seterika besi dan tembaga termasuk yang unik berkepala ayam, radio, telefon, peralatan muzik seperti gitar, biola, trumpet, pinggang mangkuk tembikar, wang, pakaian lama, beg berbentuk kotak seakan besi yang disebut beg KTM Malaya dan sebagainya. 

Menurutnya, ramai yang berkunjung ke rumah dia atau menghubungi menerusi telefon apabila mengetahui beliau ada menyimpang barangan lama dan mereka itu berminat untuk membeli dengan menawarkan harga tinggi bagi satu-satu barang berkenaan.

Jelasnya, yang datang ke rumah beliau, dia izinkan mereka untuk melihat secara dekat barangan yang menarik minati untuk dimilik di samping bertanya pelbagai soalan khusus bagaimana boleh menemui barangan itu kerana mempunyai nilai antik yang mahal.


Seterika antik berkepala ayam sering menjadi tumpuan mereka yang berminat untuk membelinya.


Katanya, mereka itu agak terkejut apabila mendengar cerita dia barangan itu dicari sendiri dengan menyelongkar tempat pembuangan sampah termasuk tong sampah depan rumah orang apabila ternampak barangan lama ada dibuang. 

“Perasaan malu malah disalah anggap sesetengah orang adalah perkara biasa ketika itu asalkan hati saya berasa puas apabila terjumpa barangan lama yang mempunyai nilai antik jika disimpan dan dijaga dengan sempurna.

“Paling melucukan ada kaki judi nombor ekor datang ke rumah saya untuk membeli seterika berkepala ayam ini untuk tujuan pemujaan dan mereka hampa apabila saya bertegas tidak menjualnya apatah lagi bagi tujuan tidak baik,” katanya.


Mama Mila bersama deretan telefon lama dan antik yang sering menjadi pilihan sebagai 'prop' filem atau drama berlatar belakangkan kisah 60-an atau 70-an.


Mama Mila berkata, semakin lama barangan itu disimpan terasa nilai sentimentalnya dan menjadi tempat terapi minda dia mengingati kisah silam seperti pada tahun 60-an dan 70-an ketika itu dia muda remaja serta masih cergas. 

Bagaimanapun, setakat ini beliau berkata, banyak barangan antik itu disewakan untuk menjadi ‘prop’ kepada syarikat perfileman yang membuat drama atau filem lama bagi tempoh tertentu bersesuaian dengan skrip serta jalan cerita mereka.

“Kebetulan anak saya yang bercimpung dalam bidang ini turut membantu memastikan barangan itu dipulangkan semula dalam keadaan sempurna sebaik sahaja rakaman selesai dibuat. Hasil sewaan ini menjadi sumber pendapatan tambahan,” ujarnya. - KitaReporters


Alat timbangan lama atau dacing tersimpan elok di mini muzium Mama Mila.

30
12
0
10
0
You will be interested