Insan & Komuniti 04 Feb, 2021

Video| Jamali Shadat: Dari berkebun kepada komediri! Hidup berhemat demi kesenangan keluarga!

@fauzan uda ahmad
Bekerja dengan Utusan Malaysia dari 1985 hingga 1996. Menjadi wartawah hiburan, koresponden di Jakarta, Indonesia dan Ketua Meja Hiburan. juga bertugas dengan beberapa media lain

Share this


Falsafah dan pegangan hidup pelawak veteran, Datuk Jamali Shadat perlu dicontohi insan seni. Setelah berjaya dalam bidang yang diceburi, jangan lupa akan pekerjaan asal dalam menghidupkan keluarga dan pendapatan yang diterima daripada hasil seni perlu dikongsi bersama keluarga untuk berkat.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan Jamali Shadat:

https://kitareporters.com/search?search=jamali+shadat



Kerana berpegang kepada falsafah hidup itu membuat Jamali mampu hidup selesa hingga penghujung hayatnya. 

Dari hasil berlawak Jamali mampu membeli beberapa hektar tanah, membina beberapa buah rumah dan menjalankan beberapa perniagaan bagi menyambung keberkatan melawak yang dilaluinya sekitar 50 tahun.


Salah satu kulit piring hitam sketsa komedi Jamali Shadat



Tahun 1971 adalah detik bermulanya kehidupannya sebagai pelawak yang mengubah kehidupannya dan keluarga daripada sebagai tukang kebun ketika berusia 29 tahun.

Jamali mendapat tempat kedua dalam pertandingan Bakat TV anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang diadakan di Dewan Tuanku Abdul Rahman (kini MATIC), Jalan Ampang, Kuala Lumpur.


Jamali (kanan) ketika mendapat tempat kedua Bakat TV 1971.

Walaupun hanya mendapat tempat kedua, namun Jamali lebih menonjol sebagai penghibur pentas berbanding dengan juaranya, pemain klarenet kecil, Razak Rahman sebagai pelawak komedi berdirI atau komedirinya (stand-up comedian) diterima baik oleh masyarakat.

Pada tahun 1975, Jamali mencuba sekali lagi menyertai Bakat TV dan berjaya sebagai juara.

Gambar kenangan Jamali bersama isterinya, Lela

Setelah menjadi pelawak komediri dia membawa unsur perpaduan dan keluarga dengan suara berbilang kaum iaitu Cina (Mandarin), India (Tamil) , Sikh, Jawa, wanita Melayu dan watak kanak-kanak, Atan.


Jamali terpaksa disuap oleh kaum keluarga apabila kesihatannya memburuk.

Daripada banyak watak yang dibawanya, watak Atan yang sinonim dengannya sehingga ada masyarakat memanggilnya sebagai ‘Atan’.

Tidak lama kemudian Jamali bergabung dengan rakannya Hamid Gurkha (kini berusia 87 tahun) sebagai gabungan ‘atan dan atuk’.

Jamali dan Hamid adalah rakyat Malaysia yang pertama  diberi peluang merakamkan beberapa album komedi oleh sebuah syarikat rakaman pada pertengahan tahun 1970-an.

Salah satu album sketsa komedi Jamali



Melalui jenakanya, Jamali cuba membawa bidang lawak jenaka sebaris dengan bidang seni lain terutama lakonan dan nyanyian. Dalam tahun 1970-an dan 1980-an, bidang persembahan pentas cukup berkembang di Malaysia.


Jamali ketika masih sihat mengadakan persembahan

Insan seni seperti Jamali mempunyai show hampir setiap malam, malah ada hari mempunyai dua show. Bintang seni kategori A seperti Jamali mampu mengutip sekitar RM50,000 sebulan iaitu jumlah yang cukup besar ketika itu.

Jamali tidak berbelanja boros dan menyimpan sebahagian besar pendapatannya untuk membeli puluhan ekar tanah, membina beberapa rumah dan menjalankan beberapa perniagaan untuk meneruskan keberkatan kerjaya seninya. 

Ia mampu memberikan keluarganya keselesaan hidup daripada kegiatan seninya. 


Jamali ketika sudah kurang sihat.

Jamali hanya berlakon dalam lima filem. Cuma dalam filem pertamanya, ‘Aku Yang Berhormat’ Jamali memegang watak utama iaitu sebagai wakil rakyat.

Selepas membintangi filem ini, Jamali pernah ditawar menjadi wakil rakyat. Namun Jamali menolak dan cuma menjadi ahli biasa.

Setelah beberapa tahun menjadi tukang kebun, Jamali ditawar sebagai Penyelia Kemas (Kemajuan Masyarakat) daerah Kelang.

Kejayaan seorang lelaki banyak dibantu oleh si isteri. Lela Yacob menjadi orang paling banyak memberi sokongan atas kejayaan Jamali dalam bidang seni. 

Jamali adalah pelawak pertama yang menerima gelaran Datuk pada tahun 1990-an.

Hidup susah dan senang bersama memberi pasangan ini lapan anak dan 39 cucu. Setelah lama tinggal di Jalan Kapar, Klang, Jamali berpindah ke Kampung Sungai Pinang, Pulau Indah, Pelabuhan Klang dengan membina banglo untuk dia dan isteri dengan salah satu kediamannya di sebelah banglonya diduduki anak ketiganya, Fauzi dan keluarganya.


Jamali bersama sebahagian cucunya.

Bagi mengisi masa lapang dan meneruskan minatnya kepada tanaman, Jamali membuat pusat nurseri di tanah berhampiran banglonya.

Namun sekitar tiga tahun lalu, Jamali diserang strok dan isterinya setia merawatnya. Namun tidak lama kemudian, isterinya jatuh sakit juga akibat strok dan meninggal dunia pada 15 Jun 2016.

Kepergian sang isteri tersayang menyebabkan Jamali menjadi pemurung, pelupa dengan banyak mendiam diri. Dengan sakit stroknya semakin serius.

Selepas kematian isteri, Jamali dijaga oleh keluarga anak ketiganya, Fauzi hingga meninggal dunia. Jamali yang meninggal dunia kira-kira jam 9.30 pagi, Rabu, 3 Februari, 2021 yang disemadi kira-kira jam 4.30 petang.

Kepergian Jamali akan diingati sebagai pelawak terbaik negara yang dianugerah bakat semula jadi. - KitaReporters


3
0
2
0
0
You will be interested