Insan & Komuniti 28 Feb, 2021

Video| 6 pelajar Jelebu harumkan Malaysia! Dijemput ke final dunia F1 in Schools 2021 di London

@sarfarizmal saad
Penulis merupakan pemimpin pelajar IPTA suatu ketika dulu. Pernah bertugas di 4 kementerian dan beberapa pasukan komunikasi strategik. Mula menulis di akhbar sejak 2009. Bekas Ahli Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan dan bekas Pegawai Khas YBM.

Share this


AMAT sukar untuk kita mencipta nama pada peringkat antarabangsa pada kala kita berhadapan konflik pandemik Covid-19 ini. Pelbagai acara, pertandingan dan penganugerahan yang menjadi kelaziman kita terpaksa diberhentikan atau ditunda gara-gara virus yang tidak nampak itu.

Namun siapa sangka, ketika seluruh dunia berhadapan situasi pertama kali seumpama ini, terdapat enam orang pelajar dari kawasan Jelebu, Negeri Sembilan telah dijemput ke Kota London untuk menyertai sebuah pertandingan berprestij kepada para pelajar seluruh negara.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan pelajar:

https://kitareporters.com/search?search=pelajar



Pada Jun 2021 depan, pusingan akhir peringkat dunia (world final) F1 in Schools 2021 telah mendapat izin untuk dianjurkan pada kadar tertinggi pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP).

Menariknya, enam pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Undang Musa Al Haj (SMK DUMA) terpilih mewakili Malaysia dalam pertandingan berkenaan.

Mereka akan mempersembahkan replika kereta lumba F1 yang dicipta sendiri bagi menilai dan mengadaptasi hukum-hukum fizik yang dipelajari mereka di dalam kelas ke dunia realiti.

Walaupun masih belum terbang ke Kota London, mereka telah diraikan bagai sang juara oleh Pengerusi Jawatankuasa Khas Pendidikan, Parlimen Malaysia, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jelebu hadir ke Majlis Road To London, F1 in School yang berlangsung di Jelebu pada 26 Februari 2021.



Menurut Jalaluddin, kualiti yang ada pada para pelajar luar bandar ternyata amat memberangsangkan jika ia digilap, didorong dan mendapat garaban sokongan pelbagai pihak berkepentingan.

"Biarpun pelajar ini menuntut di sekolah luar bandar, namun kita kagum dengan semangat mereka untuk melakar kejayaan sekali gus menaikkan nama sekolah sehingga ke persada antarabangsa menerusi pertandingan ini," katanya ketika turun bertemu enam pelajar tersebut.

Tidak cukup sekadar pada majlis, Jalaluddin turut menghantar dua posting di laman Facebook miliknya 'Jalaluddin Alias' dengan menzahirkan rasa bangga beliau terhadap kejayaan anak-anak Jelebu itu.



“Apa lagi kata-kata yang boleh saya sebut melainkan rasa penuh syukur, gembira dan tahniah atas kejayaan amat cemerlang para pelajar SMK Dato’ Undang Musa Al-Haj (SMK DUMA), Kuala Klawang, Jelebu kerana berjaya jadi wakil Malaysia ke International F1 in Schools World Final 2020/21.

“Kumpulan pelajar SMK DUMA telah membuktikan kesungguhan dan istiqomah dalam berusaha sehingga mereka berjaya. Bukan tempoh masa yang singkat, 12 tahun itu sebenarnya cukup lama dan menggambarkan betapa tekun, sabar dan bersungguhnya mereka untuk terus berjuang hingga menang.

“Saya ingin zahirkan ucapan syabas buat Pengetua SMK DUMA, Cikgu Norazman Mohd Amin, guru pembimbing, Cikgu Mohd Faizal Mohd Deris dan enam ahli kumpulan FABULOUS9 ini, iaitu Anis Aliah binti Basri (Ketua Pasukan), Kon Shihuei Illuti, Ju Ee Sen, Vishwanath A/L Kanasenmurthi, Nur Naqiyah binti Jalil dan Mirza Rusyaidi bin Rahamat,” katanya.

Kumpulan pelajar yang menggelar diri mereka sebagai FABULOUS9 itu turut berpeluang menerima kata-kata semangat dan dorongan daripada Jalaluddin ketika bertemu di Jelebu pada pagi Jumaat, 26 Februari 2021.

“Saya berdoa agar FABULOUS9 SMK DUMA dapat memecah rekod dunia dan membawa pulang kejayaan lebih hebat dari Kota London nanti. Percayalah, dengan acuan yang betul, sikap istiqomah dan disiplin yang tinggi, kalian mampu membawa pingat kejuaraan dunia ke Jelebu. Insya-Allah, saya tunggu kalian bawa pulang kejayaan nanti ya.

“Berita ini juga saya harap dapat menjadi suntikan motivasi buat para pelajar dan cikgu-cikgu sekolah lain dalam Jelebu khususnya dan negara ini amnya untuk kita terus berusaha bersungguh-sungguh mencari dan mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa,” tulisnya dalam Facebook. - KitaReporters


0
2
0
0
0
You will be interested