Keadaan rumah sewa yang menjadi tempat berteduh Nor Hamizah Abd Aziz bersama anak-anaknya.
SEORANG ibu tunggal di Perumahan Awam Labis, Johor mengakui sudah terbiasa dan mampu bertahan dengan kesempitan hidup yang datang silih berganti dalam hidupnya, namun dia tidak tegar untuk membiarkan nasib tiga orang anaknya untuk terus keciciran dalam pelajaran disebabkan desakan hidup.
Nor Hamizah Abd. Aziz, 36, yang juga berstatus orang kurang upaya (OKU) berkata, dia buntu apabila memikirkan nasib anak-anaknya yang berusia lima hingga 13 tahun bermungkinan tidak dapat menyambung persekolahan kerana dia kini tidak mempunyai sumber pendapatan dan hanya mengharap belas ihsan jiran-jiran.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan OKU
Nor Hamizah bersama tiga orang anaknya ketika ditemui di rumah sewanya di Perumahan Awam Labis, Johor.
"Anak-anak saya bukan sahaja belum mempunyai kelengkapan sekolah, malah saya juga tidak dapat menguruskan urusan pertukaran sekolah mereka yang belajar di negeri Perak sebelum ini ke Johor disebabkan saya tidak faham prosedur untuk memohon pertukaran sekolah.
“Saya harap ada pihak yang mampu membantu saya untuk urusan pertukaran sekolah anak-anak saya kerana saya sememangnya tidak mampu untuk melakukannya tambahan lagi dalam keadaan saya yang masih belum mula bekerja dan tidak mempunyai pendapatan yang turut membataskan pergerakan saya,” katanya.
Menurutnya, anak sulungnya, Siti Sarah Md.Daud berusia 13 tahun sebelum ini bersekolah di Sekolah Menengah Kabangsaan (SMK) Datuk Kamaruddin, Batu Kurau, Perak sementara anak keduanya, Siti Hajar,tujuh tahun belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Toh Sajak, Batu Kurau, Perak dan anak bongsunya, Muhammad Izat lima tahun juga sudah didaftarkan untuk memasuki tahun satu nanti di sekolah sama.
Dia yang juga merupakan penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat di Perak sebelum ini turut berhasrat untuk mendapatkan bantuan sama di Labis memandangkan dia merupakan seorang pemegang kad OKU.
Nor Hamizah memasak makanan untuk anak-anaknya dalam keadaan kekurangan peralatan dapur.
“Saya mengalami masalah pada kaki kiri akibat jangkitan kuman dan mendapatkan rawatan di hospital kerajaan sejak berusia lima tahun, namun kini kaki kanan saya pula turut mengalami masalah sama dan situasi tersebut membataskan pergerakan saya selain tidak mampu untuk melakukan kerja berat serta berdiri lama.
“Sejak kebelakangan ini saya tidak dapat menjalani rawatan. Saya bimbang jika saya tidak mendapatkan rawatan mengikut jadual dalam tempoh yang lama, penyakit ini akan menjadi lebih teruk dan menjejaskan kesihatan saya nanti,” katanya.
Menurutnya, dia juga belum berkesempatan berkenalan dengan jiran terdekat serta penduduk setempat kerana baru beberapa minggu berpindah ke Labis dari Taiping, Perak selepas menerima panggilan telefon dari bekas majikannya yang menawarkan kerja sebagai pembantu kedai runcit.
Dia sebelum ini pernah bekerja di kedai runcit tersebut sebelum ini, namun tidak lama selepas itu terpaksa mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan pulang ke Taiping kerana perlu menjaga ibunya yang tiba-tiba jatuh sakit ketika itu.
Serba kekurangan.... Anak-anak Nor Hamizah hanya tidur beralaskan toto nipis sahaja.
Melalui tinjauan yang dilakukan mendapati anak-anak Nor Hamizah terpaksa tidur beralas toto nipis selain keluarga tersebut tidak mempunyai keperluan lain seperti peralatan dapur seperti pinggan mangkuk jika ada pun hanya beberapa biji yang diberikan oleh tuan rumah tidak mencukupi dan tidak mencukupi untuk kegunaan seharian.
“Saya hanya sempat membawa beberapa pasang pakaian sendiri dan anak-anak selain tidak sempat menguruskan urusan pertukaran sekolah mereka dan bantuan JKM memandangkan ketika kebanyakan pejabat ditutup berikutan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.
“Namun saya bersyukur pemimpin setempat dan jiran di sini tidak membiarkan saya dan anak-anak dalam kesusahan, mereka datang menghulurkan bantuan berupa barangan makanan walaupun kami masih baharu di sini (Labis),” katanya.
Orang ramai yang simpati dengan nasib keluarga ini dan berhasrat inigin membantu bolehlah menyalurkan bantuan mereka ke nombor akaun 08237-41-00008499-6 Bank Simpanan Nasional atas nama Nor Hamizah Abd. Aziz. - KitaReporters
Penduduk setempat yang bersimpati dengan keluarga Nor Hamizah datang menghulurlan barangan makanan kepada keluarga tersebut,