Insan & Komuniti 01 Sep, 2020

Anak terlantar koma! Yussery, Rozita rayu derma dan bantuan!

@haris fadilah ahmad
Pernah bertugas sebagai 'stringer' Utusan Malaysia dan Utusan Melayu (Jawi) mulai 1987 hingga Oktober 2019.

Share this

SEPASANG suami isteri yang tinggal di Felda Kota Gelanggi Dua, Jerantut, di Pahang, Yussery Ismail, 50, dan Rozita Hamzah, 47, sebelum ini mereka menjalani kehidupan yang bahagia apabila lima orang cahaya mata menjadi penyeri rumah tangga. Namun kebahagiaan itu tiba-tiba diuji Allah dan kehidupan keluarga itu bertukar menjadi suram. : KitaReporters

Pemandangan depan perkampungan Felda Kota Gelanggi Dua, Jerantut, Pahang


Lagi cerita-cerita berkaitan usaha Bantu Kami:

https://kitareporters.com/search?search=bantu+kami


Kebahagiaan itu diuji apabila salah seorang daripada anaknya terbabit dengan kemalangan jalan raya dan kesudahannya terlantar koma di atas katil sehingga ini.

Sejak kejadian itu, pasangan berkenaan hanya menumpukan sepenuh masa berada di tepi katil menjaga kebajikan anak malang itu, malahan pada masa yang sama mereka tidak dapat bekerja mencari wang.  

Lantaran itu, tidak terungkap dengan kata-kata betapa perasaan sedih dan risau yang ditanggung oleh Yussery dan Rozita apabila anaknya, Muhammad Yusshah Danish, 17, cuma terlantar di katil akibat koma setelah terlibat dengan kemalangan jalan raya.

Kediaman keluarga  Muhammad Yusshah Danish di Felda Kota Gelanggi Dua, Jerantut 


Akibat kemalangan pada 1 Jun 2020 membabitkan dua buah motosikal di laluan Felda Kota Gelanggi Dua ke Felda Tekam Utara, Muhammad Yusshah Danish mengalami kecederaan pada bahagian dalam kepala, patah tulang leher, pergelangan bahu, tangan dan jari menyebabkan remaja itu terlantar koma.

Muhammad Yusshah Danish dalam keadaan koma akibat kemalangan jalan raya.


Keadaan yang dialami remaja anak ketiga daripada lima beradik yang juga seorang pelajar Tingkatan Lima, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Kota Gelanggi Dua, Jerantut itu menyebabkan dia tidak dapat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini, sekali gus memadamkan harapan keluarganya untuk melihat Muhammad Yusshah Danish belajar sehingga ke peringkat yang lebih tinggi dan mempunyai pekerjaan.

SMK Felda Kota Gelanggi Dua, Jerantut tempat Muhammad Yusshah Danish belajar dan menghadapi peperiksaan SPM tahun ini. - Kredit foto: FB SMK Kota Gelanggi Dua. 


Malahan, rakan kelasnya di SMK Felda Kota Gelanggi Dua juga mengharapkan Muhammad Yusshah Danish kembali sembuh dan dapat mengkuti pembelajaran semula untuk  persiapan menghadapi peperiksaan SPM tidak lama lagi.    

Dugaan tersebut juga memberi kesan besar kepada ekonomi (pendapatan) keluarga apabila Yussery dan Rozita terpaksa memberhentikan perniagaannya sebagai perunding perkahwinan (wedding planner) kerana memberikan tumpuan penuh penjagaan kebajikan anak mereka.   

"Paling sedih dan merunsingkan kami, malah tidak tahu berbuat apa-apa lagi sekadar cuma mampu berdoa apabila anak ini masih koma selepas beberapa kali menerima rawatan di Hospital Sultan Ahmad Shah (Hosas), Temerloh," kata Yussery.

YUSSERY ISMAIL


Bercerita lanjut, Yussery yang merupakan generasi kedua Felda Kota Gelanggi Dua berkata, anaknya mendapatkan rawatan selama 22 hari selepas kemalangan tiga bulan lalu. 

"Anak saya mengalami kecederaan teruk pada bahagian dalam kepala dan lanjutan itu saya dan keluarga amat sedih setelah mendapati dia koma dan tidak bergerak langsung.

"Pada peringkat awal, doktor cuma merawat anggota bahu, leher, tangan dan jari yang patah sebelum dibenarkan pulang. Kami masih menanti panggilan pihak hospital untuk saringan dan pemeriksaan bahagian dalam kepala Muhammad Yusshah Danish bagi pihak hospital membuat rawatan selanjutnya," katanya di Felda Kota Gelanggi Dua dekat Jerantut.

Menurut Yussery, keadaan anaknya kini terlantar di atas katil dan tidak bergerak, manakala makanannya cuma susu yang dimasukkan melalui hidung dan perut dengan menggunakan tiub dan pembuangan najis menggunakan lampin pakai buang.

Rozita Hamzah (kiri) dan Yussery Ismail hanya mampu melihat keadaan Muhammad Yusshah Danish (berbaring) akibat koma selepas kemalangan jalan raya tiga bulan lalu di Felda Kota Gelanggi Dua, Jerantut.


Katanya, tekanan yang mereka hadapi bukan sahaja berdepan dengan penderitaan anak yang masih koma, malahan masalah kewangan untuk menyara kebajikan keluarga, persekolahan dan kos perubatan serta rawatan Muhammad Yusshah Danish.

"Sejak tiga bulan ini, kami sudah berhabis wang untuk rawatan anak ini sebanyak RM12,000 termasuk membeli susu khas, lampin pakaian buang dan dua kali menyewa kenderaan ambulans swasta bernilai RM1,600 membawa 

Muhammad Yusshah Danish ke Hosas, Temerloh untuk pemeriksaan dan rawatan.

Susu khas yang dibelanjakan dengan harga yang mahal untuk makanan Muhammad Yusshah Danish menggunakan saluran tiub melalui mulut dan perut. 


"Malah, ketika mula mendapat rawatan tiga bulan lalu, kami terpaksa mengeluarkan belanja sendiri sebanyak RM2,900 untuk membeli peralatan pendakap di bahagian leher setelah anak saya mengalami kecederaan teruk di bahagian anggota berkenaan," katanya.

Katanya, Muhammad Yusshah Danish akan dipanggil beberapa kali lagi ke Hosas untuk rawatan di leher, bahu dan saringan di bahagian dalam kepala dalam tempoh terdekat ini dan dia terpaksa mengeluarkan belanja menyewa ambulans swasta untuk perjalanan pergi balik ke Temerloh sejauh 100 kilometer.  

Yussery berkata, dia dan isterinya tidak lagi dapat melakukan rutin harian untuk memperoleh pendapatan sebagai perunding perkahwinan dengan menyediakan secara sewa (memasang) peralatan pelamin dan busana pengantin di sekitar Felda Kota Gelanggi dan Wilayah Jengka setelah anaknya terlantar koma.

"Kami kehilangan pendapatan perniagaan sewa ini bermula sejak ancaman COVID-19 dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu dan bertambah perit lagi serta tekanan kewangan selepas anak ini terbabit dengan kemalangan jalan raya dan menderita koma," katanya.

Rozita bersama anaknya, Muhammad Yusshah Danish yang masih koma sehingga ini akibat kemalangan jalan raya. - Kredit foto: FB Ita Andaman 


Dalam pada itu, Rozita, ibu kepada lima orang anak berusia antara empat hingga 23 tahun itu berkata, dia dan suami reda dengan dugaan Allah serta bersabar menempuh ujian itu sambil berharap Muhammad Yusshah Danish mampu sedar dari koma dan bergerak supaya mereka dapat mencari rezeki semula.

"Saya menyediakan kelengkapan peralatan pelamin dan busana pengantin secara sewaan sejak 15 tahun lalu dan inilah pendapatan kami menyara kehidupan keluarga dan persekolahan anak. Setelah kemalangan menimpa Muhammad Yusshah Danish semua wang simpanan untuk modal pusingan perniagaan dan membeli peralatan pengantin habis dibelanjakan untuk rawatannya anak kami," katanya.

Rozita berkata, dia tidak dapat keluar bekerja ketika menerima tempahan majlis perkahwinan dalam tempoh PKPP ini kerana siang dan malam hanya menumpukan penjagaan dan kebajikan Muhammad Yusshah Danish.

"Saya berharap kerajaan dan dermawan boleh membantu kami untuk kos belanja susu, ubat dan kebajikan lain untuk anak ini hampir RM2,000 sebulan dan itupun tidak termasuk menyewa ambulan swasta berulang alik ke hospital.

"Diharap ada dermawan yang boleh membantu pembelian katil hospital (electric hospital bed) untuk kemudahan anak ini ketika mandi dan mengubah kedudukan badan serta tempat sewaktu mandi dan rawatan di rumah," ujarnya.

Rozita bersyukur dan berterima kasih kepada rakan perniagaan dan kenalannya di sekitar Felda Kota Gelanggi, Wilayah Jengka dan luar yang tidak putus-putus memberikan kata semangat dan menghulurkan bantuan derma untuk membantu merawat Muhammad Yusshah Danish.     

Kata semangat daripada rakan perniagaan dan kenalan Rozita supaya bersabar dan tabah berdepan ujian berkenaan. - Kredit foto: FB Ita Andaman


Bagi guru remaja berkenaan, Mashuran Hussain menerusi posting laman sosial FB miliknya turut menitip perasaan terharu dan sebak ketika menziarahi Muhammad Yusshah Danish.

"...... anak didik yang kini terlantar akibat kemalangan jalan raya. Rasa sebak bila melihat keadaannya sekarang. Rapat dengannya . Sepatutnya kini dia sedang bertungkus-lumus membuat persediaan menghadapi peperiksaan SPM pada tahun ini. 

"Keadaan ini menjadi bertambah sukar kerana ibu bapanya yang tidak mempunyai pendapatan yang tetap terpaksa menanggung kos perubatan yang tinggi," tulis hantarannya dalam laman sosial FB tersebut.

Cikgu Mashuran Hussain (kanan) ketika menziarahi Muhammad Yusshah Danish dan bersimpati dengan nasib malang anak didiknya. - Kredit foto: FB Mashuran Hussain.


Orang ramai dan para dermawan yang ingin beramal jariah untuk membantu Muhammad Yusshah Danish Yussery boleh menghubungi Yussery Ismail melalui talian 014 5321433 atau Rozita Hamzah (0199102731) dan menyumbang terus ke akaun Bank Rakyat bernombor 220304322791 (Muhammad Yusshah Danish). - KitaReporters

Gambar fail 2019 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri... Muhammad Yusshah Danish (berdiri belakang, kiri) bersama ahli keluarganya di Felda Kota Gelanggi Dua, Jerantut. - Kredit foto: Rozita Hamzah 

0
0
7
0
0
You will be interested