Tiada ungkapan lain dari seluruh rakyat jelata yang cukup teruja dengan keperibadian mulia Yang di-Pertuan Agong apabila melihat beberapa foto yang dikongsi oleh Istana Negara menerusi laman sosialnya. Gambar-gambar tersebut dilihat benar-benar menjadi manifestasi makna "Raja Berjiwa Rakyat"!! : KitaReporters
Rata-rata netizen bagaikan terpukau walau hanya melihat gambar Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah sendirian menikmati santapan roti tempayan ketika keberangkatan baginda di daerah Pekan, Pahang pada Isnin, 15 Jun 2020.
Al-Sultan Abdullah ketika itu berkenan berangkat ke Program Ziarah Kurniaan Ampun Kasih di Kompleks Asnaf, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip), Sungai Soi, Kuantan, Pahang telah bertitah untuk singgah menikmati hidangan roti tempayan yang cukup popular di Bandar Diraja, Pekan.
Baginda bercemar duli singgah di kedai tersebut di Jalan Rompin Lama, Pekan, Pahang bagi menikmati santapan sendirian sama seperti pelanggan yang lain.
Tanpa sebarang protokol, baginda kelihatan cukup berselera menikmati santapan roti tempayan berserta kuah kari kambing.
Tampak segak dan bersahaja apabila baginda mengenakan kemeja daripada fabrik Tenun Pahang Diraja yang cukup menjadi kebanggaan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Bagi pemilik kedai dan pelanggan yang sedang menjamu selera ketika itu pastinya menjadi kenangan terindah apabila 'rezeki' mereka dapat makan ketika keberangkatan Seri Paduka Baginda.
Jika sebelum ini rakyat Pahang sudah cukup peka dengan keprihatinan Al-Sultan Abdullah dalam menyantuni rakyat jelata dan kini sentuhan kasih sayang itu mula dirasai segenap lapisan rakyat Malaysia.
Dirgahayu Tuanku, Daulat Tuanku. - KitaReporters