NOBBY Stiles, seorang daripada wira pasukan England yang menjuarai Piala Dunia 1966 di tanah air mereka, menghembuskan nafas terakhirnya pada Jumaat, 30 Oktober 2020. Bekas perantara bertahan yang terkenal dengan gigi barisan atas hadapannya yang rongak ketika meraikan kemenangan trofi Jules Rimet keagungan bola sepak antarabangsa itu, pergi buat selama-lamanya pada usia 78 tahun. : KItaReporters
NOBBY Stiles (kanan) mengamalkan corak permainan keras sebagai perantara bertahan England dalam Piala Dunia 1966. - Kredit foto Sports Desk.
Lagi cerita=cerita berkaitan England:
https://kitareporters.com/search?search=England
Media dalam talian The Guardian melaporkan, Norbert Peter Patrick Paul Stiles (nama sebenarnya) meninggal dunia selepas menderita sekian lama dengan penyakit barah prostat dan dementia (hilang daya berfikir dan ingatan).
England menewaskan Jerman Barat 4-2 dalam perlawanan akhir di Stadium Wembley, London untuk muncul juara dunia - yang pertama dan satu-satunya kejayaan besar sehingga hari ini.
Anak kelahiran Collyhurst, Manchester, England pada 18 Mei 1942 ini turut pernah membantu Manchester United merangkul Piala Eropah pada 1968 selepas menewaskan Benfica (Portugal) 4-1.
BERDIRI (dua dari kiri) bersama skuad England, juara Piala Dunia (Jules Rimet) 1966 di tanah air mereka. - Kredit foto FIFA.
Peraih 28 penampilan antarabangsa bersama The Three Lions dari 1965 hingga 1970, pernah berkata kepada The Guardian pada 2002, “(menang Piala Dunia 1966) masih peristiwa terbesar yang berlaku pada saya. Anda akhirnya menjadi kepunyaan semua orang.
“Ke mana sahaja saya, bukan orang sebaya saya sahaja bahkan kanak-kanak seusia cucu saya datang dan bertanya, kamukah pemain yang tidak bergigi yang menari sekitar Wembley itu?,” katanya.
Keluarga Stiles dilaporkan berkata, “mendiang meninggal dunia dengan tenang dikelilingi keluarganya selepas sakit berpanjangan.”
Kematiannya disambut dengan kedukaan dan sanjungan tinggi daripada seorang rakan sepasukan England yang juga penjaring hatrik final Piala Dunia 1966 itu, Geoff Hurst. “Dialah jiwa raga pasukan,” katanya dalam laman Twitter.
“Amat sedih mendengar Nobby telah meninggal dunia. Kami bermain bersama dalam pasukan Bawah 17, 23 Tahun dan pastinya England. Pada penampilan sulung sayalah, Nobby menjaringkan gol. Watak yang hebat. Mendiang akan sentiasa dirindui.”
STILES (berdiri, dua dari kiri) mengakui berdepan cabaran perit menjadi pemain pro seperti saiz tubuh kecil dan masalah rabun dekatnya. - Kredit foto Sports Desk.
Anggota lain kesebelasan utama perlawanan akhir itu termasuk Gordon Banks, George Cohen, Ray Wilson, Jack Charlton, Bobby Moore, Alan Ball, Martin Peters, Bobby Charlton dan Roger Hunt.
Gary Neville, bekas kapten Manchester United yang pernah dilatih oleh Stiles pada peringkat belia sekitar 1989, berkata, “terima kasih atas segala yang anda buat untuk kami. Anda mengajar kami bagaimana berjuang buat segala-galanya dengan jersi merah itu.”
Stiles, seorang perantara yang mahir dan kreatif malah tidak teragak-agak membuat bentesan sehingga gaya permainan kerasnya dikritik oleh ramai ketika Piala Dunia 1966.
Taktik keras itu turut mengakibatkan perancang permainan Perancis, Jacques Simon terkeluar daripada pertandingan namun pengurus England ketika itu, (mendiang Sir) Alf Ramsey, pernah dirujuk oleh Stiles sebagai berkata, “saya akan letak jawatan pada pertengahan Piala Dunia jika tidak dapat pilihnya (Stiles).”
Mendiang sudah hampir botak ketika berusia 24 tahun selain bertubuh kecil dan mengalami rabun dekat.
Dalam buku autobiografi kedua Stiles pada 2003 berjudul ‘After The Ball’, akuinya, “saya terpaksa mengharungi pelbagai halangan untuk menjadi seorang pemain bola sepak profesional (bersama Manchester United dari 1959 hingga 1971).
“Saya telah dilahirkan sebagai seorang kerdil yang separuh buta yang telah dibom oleh (tentera Jerman dalam serangan udara Perang Dunia Kedua) dan dilanggar bas troli ketika berusia setahun.”
STILES (kanan) memaparkan gigi rongaknya ketika meraikan kejayaan menjuarai Piala Dunia 1966 dengan kapten, Bobby Moore (tengah) dan Alf Ramsey. - Kredit foto The Guardian.
Seperti bekas rakan sepasukan England lain, dia pernah menjual pingat dan memorabilia bola sepaknya bagi mengutip wang menyara keluarganya. Satu lelongan pada 2010 berjaya meraih 425,000 pound.
Manchester United membayar sejumlah 209,000 pound bagi pingat-pingat kejuaraan Piala Dunia 1966 dan Piala Eropah 1968 miliknya.
Dia turut memenangi gelaran liga 1965 dan 1967 bersama United selain berhijrah untuk menyarung jersi Middlesbrough selama dua musim dan mengakhiri karier di Preston juga sebagai pengurus dari 1977 hingga 1981.
Stiles turut dianugerahkan Ahli Dewan Terbilang Bola Sepak England pada 2007. - KitaReporters
MEMAKAI gigi palsu barisan atas hadapan ketika usia 20-an lagi. - Kredit foto