Mustafa Abdul Moin (kanan)
Epilog Cinta Dari Bromley
Kau tersenyum manja
Menyatakan hasrat di hatimu
Kau kata kau cinta
Cinta pertama kepadaku
Kuhampir tergoda
Bergelora dalam kalbu
Kau bukan untukku
Kau dan aku tak mungkin berpadu
Nun di sana beribu batu
Kau kutinggalkan bersama hatiku
Nun di sana kau meratap pilu
Satu masa nanti
Kau akan mengerti
Apa maksudku
Kini kau menanti
Harapanmu abadi terhadapku
Kau coretkan lagi
Rahsia hatimu kepadaku....
Mustafa Abdul Moin dan penulis (kanan)
ANDA pernah dengar lagu nyanyian Sohaimi Mior Hassan tentang sebuah kisah cintanya yang tertinggal dalam lagu`Epilog Cinta Dari Bromley` kerana sebenarnya pengalaman pahit itu dilalui seorang anak Malaysia yang jatuh cinta, berkahwin dan berpisah dengan seorang gadis dari Amerika Syarikat (AS).
Mustafa Abdul Moin, 64, dari Kuang, Selangor pernah berkahwin dengan seorang gadis Amerika tetapi terpisah kerana suratan takdir ekoran tanggungjawab kepada ibu yang sedang sakit, sebelum meninggal dunia.
Akibatnya, mereka sekeluarga terputus hubungan kerana anak-anaknya tidak tahu alamatnya di Malaysia dan dia pula `malas` untuk menghubungi mereka.
Sebabnya, dia bukan saja sakit, miskin tetapi juga terpaksa hidup menumpang di pusat jagaan.
Sebahagian derma yang disalurkan.
Mustafa tidak menafikan sangat merindui anak-anaknya dan teringin bertemu mereka sebelum berakhir hayatnya.
Dia meninggalkan seorang isteri, Rebecca Chouinald, 61, dan tiga anaknya, Eric, Noly dan Nemesia yang kini dipercayai menetap di North Bend, Oregon.
Mustafa juga memiliki kad hijau AS tetapi masalah kewangan menjejaskan hasratnya untuk kembali ke sana.
Mereka terpisah selepas dia kembali ke negara ini untuk menjaga ibunya yang sakit sehingga meninggal dunia.
Sejak itu juga dia tidak dapat balik ke tanah air kelahiran anak-anaknya sebabnya, selain duit tambang, dia juga terbabit dengan isu perundangan di Amerika.
Bertemu dengan lelaki ini, di Pusat Jagaan Al-Fikrah Malaysia di Kampung Sungai Sekamat, Jalan Cheras di Kajang, Selangor, Mustafa berkata selama tempoh dua dekad itu, dia tidak pernah mendapat khabar daripada keluarganya dan dia sendiri sudah`tidak ada hati` untuk pulang kepada mereka.
"Isteri saya, Rebbeca dan anak-anak juga tidak tahu alamat saya di Selangor. Dia ingat saya mahu pulang bercuti dan menjenguk ibu.
"Sebaik di kampung, saya terus mencari kerja dan menjadi pengawal keselamatan, sehinggalah adik saya menghantar ke sini dua tahun lepas." katanya yang pernah bekerja sebagai penyelia di majlis perbandaran di Lake Side.
Seorang pesakit buta akibat kencing manis di Pusat Jagaan Al-Fikrah Malaysia di Kampung Sungai Sekamat, Kajang.
Mustafa berhijrah dan menetap di Amerika selepas dia menjadi kelasi kapal ketika berusia 22 tahun.
Selama 10 tahun `keluar masuk` ke negara itu dan merantau ke seluruh dunia, akhirnya dia memilih menetap di Amerika selepas bertemu, jatuh cinta dan berkahwin dengan isterinya yang ketika itu berumur 19 tahun.
"Saya ada mengajak anak-anak pulang ke sini. Tetapi mereka tak mahu. Akhirnya bila ibu minta pulang kerana tiada siapa yang menjaganya. Pada mulanya, isteri berat hati mahu melepaskan.
"Dia ingat saya balik ke KL untuk menjenguk ibu yang waktu itu sedang sakit, " katanya.
Mustafa bekerja selama 10 tahun di majlis perbandaran di Lake Side, AS. Bila balik ke Malaysia, dia bukan setakat bekerja sebagai pengawal keselamatan malah pernah menjadi penjaga lembu.
Dia masih boleh bertutur dalam bahasa Inggeris yang baik.
Ditanya, takkan tak rindukan anak-anak, Mustafa berkata dia hanya berdoa mereka boleh menjaga isterinya.
"Untuk saya kembali ke sana sangat sukar kerana ada masalah perundangan dan hati juga sudah tertutup. Malaslah, nak ambil tahu dah," katanya seolah sudah berputus arang, berkerat rotan dengan keluarganya itu.
Tambahan Mustafa lagi, dia serik tinggal di negara yang kehidupan yang sangat bebas sehinggakan kelahiran anak haram menjadi satu amalan biasa. Apalagi dengan amalan harian yang dia sendiri pernah terbabit.
"Orang putih ni sangat sukakan orang Melayu kerana kulit sawo matang dan saya pernah juga terlibat dalam banyak kegiatan negatif termasuk ada ramai kekasih.
"Akhir sekali bila terjerat dengan kesalahan undang-undang, terus saya diharamkan menjejak kaki ke negara itu," katanya.
Pada usia tua ini, Mustafa disahkan mengalami diabetes, darah tinggi dan dia percaya, sekiranya pulang ke pangkuan keluarganya di sana dalam kesihatannya teruk itu, sudah tentu akan membebankan anak-anaknya untuk menjaganya.
"Tambahan pula saya sudah tidak ada wang tambang. Saya pun ada simpanan dalam tabung kerajaan ketika bekerja di Lake Side tu. Tapi tak tahu pula macam mana untuk mendapatkan wang berkenaan," katanya sesekali mengesat mata, menggambarkan betapa rindunya seorang ayah pada anak-anaknya.
Sementara itu seorang lagi warga pusat itu, Khairi Mohd Isa (gambar atas) dari Ampang berkata, dia meminta isteri menghantarnya ke pusat itu selepas diserang stok dua tahun lalu.
Bekas pegawai bank itu berkata dia berkahwin lewat dan mempunyai sepasang anak yang sedang belajar di tingkatan 3 dan 5. Dia memberikan wang persaraannya kepada anak-anak untuk membolehkan mereka meneruskan pengajian.
"Bila isteri saya sibuk dan tidak dapat menjaga saya. Terus saya meminta dia hantarkan ke sini. Biarlah saya di sini supaya tidak membebankan mereka untuk menguruskan makan minun dan jagaan kerana sudah lumpuh," katanya.
Mohamad Osman.
Seorang bekas askar, Mohamad Osman pula berkata dia dihantar ke pusat itu selepas isterinya lari kerana tidak mahu mengurus dirinya. Dia juga tidak dapat berjalan kerana patah kaki.
Beliau yang juga bekas peneroka di Johor mempunyai enam anak yang bekerja di merata tempat termasuk di Kuala Lumpur.
Sebelum ditempatkan di pusat itu, dia sibuk menguruskan kebun dan ladang kelapa sawit. Kini sudah dua tahun berada di pusat itu dan bersyukur kerana ada kawan dan orang yang menjaganya.
Ditanya petua kelihatan cergas, Mohamad yang baru saja menjalani rawatan pembedahan mata memberitahu, rahsianya untuk kekal sihat adalah menjaga makanan. - KitaReporters
Sebahagian orang yang dijaga di Pusat Jagaan Al-Fikrah, Kajang.