Insan & Komuniti 22 Jul, 2020

Jom undi Luqman Hakim! Jadi 20 calon Budak Emas Tuttosport!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

BAYANGKAN jika nama Luqman Hakim Shamsudin diletakkan sebaris Wayne Rooney, Lionel Messi, Cesc Fabregas, Raheem Sterling dan Paul Pogba atau Kylian Mbappe? Siapa yang tidak kenal dengan bintang-bintang England, Argentina, Sepanyol dan Perancis itu yang pernah dinobatkan sebagai ‘Budak Emas’. : KitaReporters

LUQMAN Hakim Shamsudin (nombor 12) pintar menghidu peluang dan memiliki rembatan deras lagi tepat. - Kredit foto FAM


Anugerah Budak Emas anjuran sebuah akhbar Itali, Tuttosport kembali dalam edisi ke-18, 2020 dengan undian secara dalam taliannya dibuka sejak 15 Jun 2020.    

Rooney memenanginya pada 2004, Messi (2005), Fabregas (2006), Pogba (2013), Sterling (2014) dan Mbappe (2017).  

Luqman, 18, ‘Budak Ajaib’ Malaysia kelahiran Kota Bharu, Kelantan turut tercalon dalam senarai 100 pemain yang berusia di bawah 21 tahun dari seluruh dunia. 

Nama seseorang pemain belia ini hanya akan dicalonkan para wartawan sukan selaku jurinya jika dia beraksi dalam mana-mana liga utama negara Eropah.

ANUGERAH Budak Emas Tuttosport, sebuah akhbar Itali turut dibuka kepada juri kalangan wartawan sukan dari sembilan negara Eropah. - Kredit foto Tuttosport


AKHBAR sukan terkemuka Itali, Tuttosport menganjurkan Anugerah Budak Emas sejak 2003. - Kredit foto Tuttosport


Penjaring terbanyak Kejohanan Bawah 16 Tahun AFC 2018 ini bakal menyarung jersi kelab Liga Jupiler Belgium, KV Kortrijk milik saudagar Malaysia, Tan Sri Vincent Tan, tahun ini. 

Kini sebagai penyerang Selangor 2 dalam Liga Perdana 2020, dia turut membantu Harimau Remaja layak ke pusingan akhir Kejohanan B19 AFC di Uzbekistan, Oktober ini selepas menjuarai Kumpulan G kelayakan di Phnom Penh, November lalu.

Rembatan lambung Luqman sejauh 50 meter juga menyumbangkan kejayaan mereka membenam Kemboja 5-4 ketika itu malah mempunyai merit untuk dicalonkan bagi Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA). 

Namun laluannya terlalu getir kerana turut dicalonkan bagi Budak Emas Tuttosport ialah bintang muda Borussia Dortmund, Erling Braut Haaland dan Jadon Sancho serta Mason Greenwood dari Manchester United. 

Calon-calon lain yang tidak kurang handalnya termasuk jagoan Bayern Munich, Alphonso Davies, Ansu Fati (Barcelona) dan gandingan Real Madrid, Vinicius Junior dan Rodrygo Goes. 

Terdapat juga calon dari Asia seperti Takefusa Kubo (Jepun/Real Mallorca, Sepanyol), Lee Kang-in (Korea Selatan/Valencia, Sepanyol) dan Yukinari Sugawara (Jepun/AZ Alkmaar).

LUQMAN (tengah), pertaruhan terbaik Harimau Remaja merebut slot Piala Dunia Bawah 20 FIFA, 2021 menerusi Kejohanan B19 AFC di Uzbekistan, Oktober ini. - Kredit foto FAM


Luqman disenarai di kedudukan ke-32 di antara 80 calon itu dengan para peminat bola sepak Malaysia mampu membantunya dengan mengundi pada pautan laman sesawang berikut: 

https://m.tuttosport.com/sondaggi/calcio/golden-boy/2020/07/14-71771469/vota_il_golden_boy_2020_le_80_nomination/ 

Undian pusingan awal umum akan menyenaraipendekkan 20 calon sebelum panel yang mengandungi 40 wartawan dari pelbagai negara dan penerbitan, memilih pemenang keseluruhan.

Tuttosport menubuhkan pengundian Anugerah Budak Emas ini pada 2003. 

Akhbar-akhbar Eropah yang turut menyertai pengundian itu termasuk Bild (Jerman), Blick (Switzerland), A Bola (Portugal), l'ÉquipeFrance Football (Perancis), Marca, Mundo Deportivo (Sepanyol), Ta Nea (Greece), Sport Express (Rusia), De Telegraaf (Belanda) dan The Times (United Kingdom).  

Setiap juri dibenarkan mencalonkan lima pemain dengan masing-masing diperuntukkan 10 mata bagi pemain yang dinilai paling menyerlah, tujuh mata bagi yang kedua, lima (ketiga), tiga (keempat) dan satu mata (kelima). 

Pemenang Anugerah Budak Emas Tuttosport 2019 ialah Joao Felix, pemain Portugal dan kelab La Liga Sepanyol, Atletico Madrid.

Luqman juga pernah mendapat perhatian ramai apabila sebuah akhbar terkemuka United Kingdom, The Guardian menyenaraikannya di antara 60 pemain terbaik dunia, tahun lalu. - KitaReporters 

LUQMAN (depan, dua dari kiri) ketika bersama skuad Bawah 22 Tahun Malaysia pada Sukan SEA Filipina 2019. - Kredit foto FAM

12
0
0
0
0
You will be interested