Insan & Komuniti 13 Feb, 2022

Gila Hindustan| Hidupnya penuh kejayaan, kegemilangan! Tapi kisah cinta Lata putus di tengah jalan!

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this


“BUKAN semua perkara atau kisah hidup harus dikongsi dengan orang lain. Ada kisah peribadi yang wajar harus terus tersimpan di dalam hati.”

Ini luahan rasa artis legenda India, Lata Mangeshkar, dalam satu wawancara apabila ditanya isu sensitif mengenai kisah peribadinya, iaitu kenapa dia tidak berumah tangga dan hidup bahagia bersama suami dan anak-anak?

Ketika terlantar di Hospital Breach Candy, Mumbai akibat Covid-19, tiada suami atau anak di sisi untuk menemani. Ketika menghembuskan nafas terakhir pada pagi Ahad, 6 Februari 2022, juga tiada suami dan anak untuk meratapi.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Lata Mangeshkar

Kredit foto: Hindustan Times


Hidupnya penuh kejayaan dan kegemilangan sebagai artis yang dikenali bukan sahaja di India tetapi seluruh dunia di mana lagu Hindi berkumandang. Namun hidupnya hanya ditemani empat orang adik, Meena, Asha, Usha dan Hridaynath.

Lebih 30,000 lagu telah dirakam dalam lebih 36 bahasa sejak pertama kali menjadi penyanyi latar pada usia 13 tahun dalam filem Marathi, Kithi Hasaal. Mendiang juga merakam lagu dalam bahasa Benggali. Namun terasa lagi mendiang ialah dalam bahasa Hindi.


Kredit foto: The News Minute


Sejak penampilan pertama, Lata tidak lagi menoleh ke belakang. Kerjayanya sebagai penyanyi latar terus merangkak naik sehingga meletakkan dirinya sebagai penyanyi latar sukar ditandingi. Mendiang menyanyi latar untuk lebih 1,000 buah filem Hindi.

Kerana terlalu banyak, sukar disenaraikan satu persatu lagunya atau filem yang mendiang menjadi penyanyi latar. Namun antara yang popular ialah dalam filem Pyar Ka Mausam, Jhuk Gaya Asman, Do Badan, Haseena Maan Jayegi, Geet, Bobby, Anjaana, Tumse Achah Kaun Hari, Brahmachari, Talash, Caravan dan lain-lain.



Dalam kalangan adik-adiknya, hanya Asha Bhosle, 88, turut mencipta kejayaan dalam sebagai penyanyi. Dia mengikuti jejak kakaknya menyanyi latar untuk banyak filem Hindi.

Jika Allahyarham Mohamad Rafi (meninggal 1980) dan mendiang Kishore Kumar (meninggal 1987), dianggap penyanyi latar filem lelaki yang hebat, Lata setara hebatnya. Penyanyi lain, termasuk adiknya Asha, juga Sharda atau Suman Kalyanpur, tidak dapat menandingi Lata.

Ribuan lagu dirakam oleh Lata dengan suara gemersik, merdu mendayu-dayu, bersesuaian dengan suara kebanyakan artis yang ‘meminjam’ suaranya di dalam filem. Kerana itu di dalam filem nampak ‘sebati’ paduan nyanyian pelakon dengan lagu latar.

Nama-nama besar dalam industri daripada era dahulu hingga masa kini meminjam suaranya. Antaranya Asha Parekh, Waheeda Rehman, Sharmila Tagore, Babita, Mala Sinha, Vyjayanthimala, Mumtaz, Leena Chandavarkar, Hema Malini, Dimple Kapadia, semua meminjam suaranya.

Dalam lagu duet, Lata sering berpasangan dengan Rafi dan Kishore. Gandingannya dengan Rafi dianggap mantap. Tidak banyak lagu yang mendiang rakam secara duet dengan penyanyi lain seperti Mukesh atau Mahendra Kapoor.


Lata Mangeshkar (kanan) dan Asha Bhosle. - Kredit foto: Bollywood Hungama


Kehebatan Lata diakui dengan pemberian pelbagai anugerah. Antara yang utama ialah Bharat Ratna, yang merupakan anugerah tertinggi kerajaan India untuk orang awam. Mendiang juga menerima anugerah Padma Vibhushan, Padma Bushan dan Dadasahe Palka.

Malah Lata juga diakui di luar negara dengan menerima anugerah Legion of Honour, anugerah tertinggi kerajaan Perancis kepada orang awam. Mendiang juga mencipta nama menjadi artis India pertama mengadakan persembahan di Royal Albert Hall, London.

Namun di sebalik kegemilangan dan kilauan hidup yg dilalui, Lata memilih untuk membujang sehingga ke akhir hayat. Adakah tiada langsung bibit cinta tersemai di hati?

Walau pun tidak mahu berkongsi kisah peribadi, ramai tahu Lata pernah mencintai dan dicintai. Namun ikatan cinta yang berpadu tidak sampai ke hujung lantaran perbezaan kasta. Kerana itulah Lata tidak terdetik lagi untuk jatuh cinta selepas putus di tengah jalan.


Lata Mangeshkar dan Raj Singh Dungarpur tetap berkawan baik walaupun cinta putus di tengah jalan. - Kredit foto: The Quint


Insan yang berjaya mencuri hati Lata ialah Raj Singh Dungarpur, keturunan raja dari Rajashtan. Raj Singh, bekas pemain kriket dan Presiden Badan Kawalan Kriket India (BCCI) sangat mencintai Lata. Begitu juga perasaan Lata terhadapanya. Impian mereka adalah untuk mendirikan istana Bahagia.

Namun apabila Raj Singh memaklumkan kepada bapanya, Maharwal Lakshman Singhji, untuk mengahwini Lata, hasratnya ditolak. Puncanya kerana Raj berketurunan raja sedangkan Lata orang kebanyakan. Namun mereka kemudian tetap terus berkawan baik.

Putus cinta membawa kesan mendalam kepada Lata dan Raj Singh. Kedua-duanya tidak mencari ganti. Raj Singh juga membujang sehingga akhir hayatnya pada 2009 akibat penyakit Alzheimer.

Lata sudah tiada, membawa bersamanya cinta tak sampai. Pemergiannya bagai padamnya sebutir bintang yang sukar dicari ganti.

Namun mendiang meninggalkan legasi seni yang sangat berharga dan akan terus dikenang zaman berzaman. Lagu-lagunya tetap segar bertakhta di hati peminat. - KitaReporters


8
16
0
17
0
You will be interested