Insan & Komuniti 28 May, 2024

Inilah kuasa viral! Sekeluarga mangsa kebakaran di Kpg Sungai Sekamat Luar terima bantuan masyarakat!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Sebahagian rumah keluarga Norizan yang musnah dijilat api dalam kejadian kebakaran berkenaan.


SEBUAH keluarga yang menjadi mangsa kebakaran di Kampung Sungai Sekamat Luar, Kajang, Selangor melahirkan rasa amat terharu apabila kuasa ‘viral’ dalam media sosial yang diibaratkan sekelip mata sahaja ramai yang datang menghulurkan pelbagai sumbangan.

Anak kedua mangsa kebakaran Mad Nor Lasai, 43, iaitu Norizan Mad Nor, berkata dia dan keluarga yang tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka musnah semuanya selepas dijilat api dalam kejadian kebakaran pukul 7.30 pagi, 20 Mei 2024 lalu.

Menurutnya, selepas di tempatkan di Balai Raya Batu 13, Jalan Sekamat, Kajang, tidak putus-putus dia sekeluarga dikunjungi orang ramai yang datang bertanya khabar dan menghulurkan sumbangan pelbagai barangan untuk meringankan bebanan yang ditanggung di samping menzahirkan rasa simpati.


Norizan Mad Nor (dua dari kiri) menceritakan kejadian kebakaran yang menyebabkan keluarganya tinggal sehelai sepinggang kepada Rozita Yaakob dan Azman Rasman (kanan).


Tambahnya, dia bersama-sama keluarga termasuk ayah dan ibunya menyambut mereka dengan tangan terbuka dan mengucapkan ribuan terima kasih kerana sudi datang untuk membantu walaupun tidak mengenali antara satu sama lain.

“Apabila bertanyakan macam mana mengetahui berita dia sekeluarga menjadi mangsa kebakaran, mereka memaklumkan kejadian ini tersebar dan diviralkan dalam media sosial dan sesetengah daripada yang datang melawat itu mewakili pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Saya dan keluarga memang tidak menyangka sama sekali nasib kami ini mendapat perhatian sebegitu rupa dan menunjukkan bahawa masyarakat kita yang berada di luar sana sentiasa prihatin terhadap mereka yang ditimpa musibah apabila ia diviralkan,” ujarnya. 

Beliau ditemui ketika menerima kunjungan Kelab Sukarelawan Mahmudah (KESUMA ’24) untuk menghulurkan bantuan pelbagai barangan keperluan asas seperti pakaian terpakai, bantal, selimut, cadar, tilam serta barangan dapur iaitu beras, minyak masak, kicap, susu, bihun, gula, tepung gandum dan sebagainya pada 21 Mei 2024.

Turut hadir menzahirkan simpati serta suntikan semangat sebagai motivasi, Pengerusi Persatuan Kebajikan Mahmudah Malaysia, Azman Rasman; Yang Dipertua Badan Didikan Islam (BADIM), UDA Holdings Berhad, Azhar Yop; Pengerusi Pusat Jagaan Nur Hasanah, Beranang, Selangor, Mohiadin Bahado; Ahli Jawatankuasa Surau Ittifaqiah Taman Delima, Batu 13, Cheras, Kajang, penceramah bebas dan Guru al-Quran, Ustaz Alias Ahmad; Setiausaha KESUMA ’24, Rozita Yaakob; dan Ahli Jawatankuasa KESUMA ’24.


Setiausaha KESUMA '24, Rozita Yaakob menyerahkan sumbangan wang kepada mangsa kebakaran Mad Nor Lasai sambil diperhatikan oleh Azman (kiri), Azhar Yop (kanan), Mohiadin Bahado dan Ustaz Alias Ahmad di Balai Raya Batu 13, Jalan Sekamat, Kajang, Selangor pada 21 Mei 2024. 


Norizan berkata, dalam kejadian itu api marak dengan begitu cepat dan mereka tidak dapat membawa keluar barangan dalam rumah, manakala dia hanya sempat menyelamatkan beberapa dokumen penting seperti geran tanah dan surat beranak serta kad pengenalan ahli keluarga.

Jelasnya, perabot di ruang tamu, dalam bilik tidur, peralatan di dapur serta pakaian hangus dijilat api menyebabkan mereka semua tinggal sehelai sepinggang sahaja apabila terpaksa bergegas untuk keluar menyelamatkan diri.

Menurutnya, dia kini bersama ahli keluarga berusaha mencari rumah sewa untuk diduduki sementara menunggu proses membaik pulih dan membina rumah baharu dilakukan kerana balai raya berkenaan didiami hanya sementara sahaja.

“Saya pun faham balai raya ini penting kepada penduduk sekitar untuk menjalankan aktiviti kemasyarakatan di samping akan digunakan pihak berkenaan bagi pelbagai urusan seperti yang diamanahkan kerajaan,” katanya.


Sebahagian AJK KESUMA '24 merakam kenangan bersama Norizan dan bapanya Mad Nor selepas menerima sumbangan daripada pelbagai pihak.


Sementara itu, Rozita berkata KESUMA ’24 terpanggil untuk turun padang bagi mengumpul dana apabila dimaklumkan sebuah keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran.

Tambahnya, atas sokongan daripada ahli KESUMA ’24 berjaya mengumpul dana untuk membeli pelbagai barangan keperluan asas, mengumpul pakaian terpakai serta wang infak orang ramai sebanyak RM1,960 untuk diserahkan kepada keluarga berkenaan.

“KESUMA ’24 baharu ditubuhkan dua bulan lalu akan terus bergerak aktif dalam kerja amal kebajikan bagi meringankan bebanan mereka ditimpa musibah, membantu pusat jagaan, rumah anak yatim, pusat tahfiz dan sebagainya terutama yang beroperasi hanya bergantung kepada sokongan serta infak orang ramai.

“Kepada pelbagai pihak yang ingin bersama KESUMA ’24 membantu mereka ini boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun Agro Bank bernombor 100 7621 0000 1228 2 atas nama ‘Kelab Sukarelawan Mahmudah’ dan maklumat lanjut boleh menghubungi saya menerusi nombor telefon 013 447 3585,” ujarnya. - KitaReporters

23
11
0
13
0
You will be interested