Raja Awang Raja Ahmad (kanan) memantau ahli KRT memasak ikan patin tempoyak di dapur PJMM.
“KAMI terpanggil dan berasa prihatin untuk menceriakan warga emas yang diabaikan oleh keluarga, hidup sebatang kara di samping uzur dengan hidangan original ikan patin masak tempoyak kerana mungkin bagi mereka sudah lama teringinkan menu itu.
“Jarak hampir 100 kilometer dari kediaman Taman Paya Taram,
Kerdau, Temerloh, Pahang ke Kampung Sungai Purun, Semenyih, Selangor, bukan
satu bebanan atau penghalang walaupun terpaksa menempuh kesesakan di jalan raya
namun kesabaran menguatkan semangat bagi menyempurnakan hajat itu,” kata
Bendahari Kawasan Rukun Tetangga (KRT) taman berkenaan, Jalilah Saparri.
Bagi tujuan itu, beliau bersama 18 ahli KRT yang mengikuti Program Ziarah Kasih ke Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, membawa lebih 20 ikan patin untuk dimasak tempoyak original Paya Taram, ulam-ulaman dan ayam goreng berempah menggunakan dapur pusat berkenaan pada 1 Jun 2024.
Ahli KRT bekerjasama untuk menghidangkan ikan patin masak tempoyak kepada warga emas di PJMM.
Jalilah berkata, program yang sudah lama dirancang itu mendapat
kata sepakat daripada ahli untuk memasak serta menyediakan menu berkenaan
kepada warga emas dan petugas PJMM kerana sering menjadi hidangan lauk utama
apabila ada pelawat berkunjung ke taman mereka serta mendapat pujian rasanya
enak berbanding di tempat lain.
Menurutnya, dia bersama ahli-ahli wanita ikhlas memasak untuk
warga emas itu dan berasa amat terharu melihat gelagat mereka yang seronok
dapat menikmati hidangan ikan patin masak tempoyak dan tidak kurang juga
meminta untuk ditambah nasi serta ikan patin dalam pinggan.
“Bergenang air mata kami apabila melihat ada sesetengah warga emas ini baik lelaki atau wanita tanpa segan silu menghirup lebihan kuah ikan patin masak tempoyak dan tidak kurang juga meminta dimasukkan dalam mangkuk plastik untuk dihirup menggunakan sudu,” ujarnya.
Ahli KRT Taman Paya Taram, Kerdau, Temerloh, Pahang merakamkan kenangan bersama-sama pengurusan PJMM dan ahli Kelab Sukarelawan Mahmudah selepas menjamu warga emas dengan ikan patin masak tempoyak pada 1 Jun 2024.
Turut serta dalam program itu, Pegawai Perpaduan Daerah
Temerloh selaku pegawai pengiring, Raja Awang Raja Ahmad dan Pengerusi KRT
Taman Paya Taram, Nordin Mohd Shariff. Turut menyambut kedatangan rombongan KRT
berkenaan, Pengerusi PJMM, Azman Rasman; Penasihat PJMM, Mohiadin Bahado; dan
Ahli Kelab Sukarelawan Mahmudah (KESUMA ’24).
Nordin yang bertindak selaku penyelaras program itu pula,
berkata program berkenaan juga umpama kunjungan balas bagi menghargai jasa dan
pengorbanan PJMM bersama sukarelawan ke Taman Paya Taram dua tahun lalu (2022) membantu serta menghulurkan sumbangan kepada 130 mangsa banjir.
Menurutnya, kunjungan PJMM bersama sukarelawan pada ketika itu amat menyentuh perasaan hati mereka yang menjadi mangsa banjir besar kerana dapat meringankan bebanan bagi mendapatkan barangan keperluan harian makanan asas dan pakaian terpakai selepas rumah digenangi banjir sedalam antara 0.9 meter dan 1.2 meter.
Nordin Mohd Shariff.
Jelasnya, selepas berbincang dengan ahli jawatankuasa KRT
kami bersetuju untuk mengadakan program itu dengan mengambil daya usaha untuk
memasak ikan patin tempoyak yang sememang sudah lama popular di Kerdau kerana
kelazatannya.
“Selain itu kami turut menghulurkan sumbangan barangan
keperluan makanan asas untuk PJMM supaya dapat dinikmati warga emas dan akan
turut mengambil langkah menguar-uarkan bantuan yang diperlukan kepada penduduk
setempat serta bertindak sebagai tempat mengumpul sebelum dihantar ke pusat
jagaan ini.
“Beberapa jiran muda mengikuti program ini juga akan
digerakkan untuk menjadi penyebar maklumat mengenai PJMM juga menasihati
generasi muda di taman untuk lebih bertanggungjawab menjaga serta mengurus ibu
bapa di rumah terutama yang uzur.
“Apa yang mereka lihat didepan mata dan mendengar keluhan warga emas di pusat ini diharap mampu menjadi ikhtibar supaya menjadi jiran muda menghormati orang yang lebih tua serta bijak untuk menyantuni mereka,” ujarnya.
Raja Awang yang menyampaikan ucapan pada program itu tidak dapat menahan sebak mengenangkan nasib warga emas di PJMM.
Sementara itu, Raja Awang yang berucap pada program
berkenaan, melahirkan rasa kagum dengan pengurusan PJMM yang begitu baik
mengurus pusat jagaan berkenaan apabila keadaan persekitarannya yang bersih dan
susun atur kemudahan sempurna kerana memberi keselesaan kepada warga emas
berlindung di situ.
Menurutnya, walaupun tiada peruntukan khas disumbangkan
setiap bulan kepada mereka, pihak pengurusan PJMM tetap gigih berusaha
mendapatkan dana serta sentiasa bersikap terbuka kepada pelbagai pihak yang
ingin membuat amal kebajikan atau tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi
menampung kos operasi.
Tambahnya, apabila dimaklumkan KRT Taman Paya Taram ingin
membuat program itu, dia memberi sokongan penuh dan bersedia untuk menjadi
pegawai pengiring supaya dapat menyebarkan maklumat pusat jagaan berkenaan
kepada penduduk di Temerloh.
“Paling terharu saya tidak dapat menahan sebak apabila
mengetahui keadaan warga emas di sini yang rata-rata mengharapkan belas insan
untuk meneruskan kehidupan selepas disisih oleh ahli keluarga dan dilayani serta
disantuni dengan baik petugas PJMM.
“Saya berharap apa yang dilihat di depan mata ini melahirkan keinsafan kepada kami yang menyertai program itu kerana nasib kita pada depan belum tahu kesempurnaannya terutama apabila nilai kasih sayang diabaikan,” ujar beliau. - KitaReporters
Ahli KRT turut menyantuni warga emas yang uzur dan terlantar di atas katil.