Insan & Komuniti 16 May, 2024

Opah Ngomel| Video| PERTAMA terus maju! Opah dipilih jadi AJK lagi! Cik Kompang janji buat terbaik!

@kartini mohd noor
Pernah berkhidmat sebagai 1. Stringer Berita Harian 2. Wartawan Berita Harian 3 . Penyunting Harian Metro 4. Grup Editor Majalah IBUBAPA

Share this


CERITANYA, Opah Ngomel diberi gelaran baharu iaitu Cik Kompang (macam pegawai perhubungan awam) oleh Presiden Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (PERTAMA) dalam Mesyuarat Agung ke-52 pada 5 Mei 2024. Sekali lagi, Opah dilantik menjadi ahli jawatankuasa bagi penggal 2024-2026. 

Agak lucu juga kerana Opah ingat nak pass lah kepada orang muda selepas dua tahun diberi peluang menjadi barisan kepimpinan PERTAMA yang sudah diwujudkan pada 1971 ketika Opah berumur lapan tahun.

Presiden PERTAMA, Sariha Ali @ Seha mengumunkan begitu, ketika penamaan calon Ahli Jawatankuasa (AJK) baru yang hendak dibentuk, "Kita pilihlah semula ya, Kak Tini (Opah Ngomel ). Dia bagus. Kita panggil dia "Cik Kompang" sebab bila minta war-warkan kegiatan PERTAMA laju jer dia  buatnya," 

Haa... masa pemilihan itu sebenarnya Opah tengah elok menyelinap masuk tempat mesyuarat secara diam-diam sambil menundukkan kepala tak bagi orang nampak. Sebab takut dipilih semua. Bagi pada orang muda yang banyak idea menarik itu. Selama ini pun, Opah bukanlah banyak cakap pun dalam mesyuarat AJK. Tapi sentiasa tunjuk muka sebagai sokongan moral kepada pihak tertinggi yang mengatur macam-macam program.



Seha sedang membentangkan laporan perubahan perlembagaan.


Sebaik saja mesyuarat itu dibubarkan untuk pemilihan baharu, Opah terus "lari" ke tandas - Alih-alih bila masuk dalam dewan itu, nama "naik" dalam senarai dan Opah tepuk dahi sambil angkat tangan untuk undurkan diri. Kawan-kawan lama dalam AJK beri isyarat, hooo mana mahu lari. Confirmed. Ramai-ramai, pakat setuju.

Tujuan Opah sebarkan kegiatan PERTAMA kerana mahu memberitahu "dunia" meskipun media cetak sudah semakin kecil dan tumpuan lebih kepada media alternatif (media baharu khususnya media sosial) tapi peranan wartawan masih penting dan sangat diperlukan oleh kerajaan untuk memaklumkan kepada rakyat terutama di luar bandar tentang projek yang dirancang dan sedang berjalan.

Kerana media cetak, televisyen dan radio serta sesetengah portal dalam talian yang masih diuruskan oleh bekas-bekas wartawan yang hebat suatu ketika itu masih berteraskan laporan mesti beretika dan petikan sumber berita yang betul. Wartawan bertauliah jarang melaporkan berita palsu atau berunsur fitnah kerana risiko disaman berjuta-juta ringgit itu serta nilai etika yang ditanam.


Azah Aziz pengasas PERTAMA.


PERTAMA ditubuhkan pada tahun 1971, diasaskan oleh Azah Aziz. Matlamat pertama penubuhan persatuan ini adalah 

1. Menyatupadukan semua wartawan wanita dan memajukan kepentingan profesional, intelektual dan sosial ahlinya.

2. Mempertingkat kewibawaan dan kebebasan akhbar, dan memelihara etika kewartawanan.

3. Menyokong ideal dan konsep kebebasan akhbar.

4. Berusaha memperbaiki taraf kedudukan kaum wanita Malaysia umumnya melalui tugas ahli dalam bidang media massa.

5. Bekerjasama dengan pertubuhan wartawan dan penulis profesional, pertubuhan wanita serta badan-badan sukarela yang diiktiraf di Malaysia untuk mencapai tujuan persatuan.

Macam kata Sehalah, wartawan menggunakan PERTAMA untuk menyuarakan pandangan dan suara daripada pelapor perlu diberi perhatian kerana masih banyak kebajikan wanita yang menjadi wartawan ini diberi perhatian. 

Tidak hairanlah hasil perjuangan wartawan awal seperti Adibah Amin dan Azah Aziz, kerajaan sudah banyak menambah baik dengan menjadikan ramai wanita menduduk posisi kerja yang lebih tinggi dalam agensi berita tempatan. Malah kata Seha lagi, sebahagian besar agensi berita dianggotai kaum wanita.

Opah menjadi AJK selama dua penggal ini pun secara kebetulan. Bak kata takdir yang indah apabila Opah kembali menjadi wartawan pada 2019 selepas  "berehat" membesarkan lapan putera dan menjadi suri rumah.

Opah bermula sebagai wartawan sambilan di Kota Bharu pada 1982 dan jawatan terakhir adalah Editor Kumpulan Majalah Ibu Bapa. Lebih 30 tahun membabitkan diri dalam bidang itu, banyak sungguh dugaan lebih-lebih bila berumah tangga dan beranak pinak. 



Waktu dulu, masa kerja tidak selaras dengan waktu pejabat (8-5 petang) menyebabkan banyak kekalutan berlaku. Bila ada wartawan lelaki yang menyindir gaji hendak sama, maka editor telah menghantar Opah membuat liputan Menteri Besar Kelatan, Tan Seri Mohamad Yaakob melawat Kampung Orang Asli di Jeli ketika hamil lapan bulan.

Teruk lagi waktu malam Opah menginggau, menjerit-jerit minta tolong sebab ada makhluk hitam berbulu (hantu raya) "mengikut" Opah pulang. Tu kenangan paling ngeri yang dilalui Opah selain pengalaman hendak dipukul oleh beberapa penagih dadah ketika membuat liputan di Stesen Bas Klang yang lama.

Paling menakutkan dalam sejarah hidup sebagai wartawan apabila Opah nyaris kehilangan nyawa apabila jurugambar Berita Harian "ditetak" dengan pedang samurai ketika temu bual dengan wanita pembunuh nombor 10 paling ganas dalam sejarah negara, Mona Fandey. 

Opah fikir ketika itu, Mona terbalikan mata pedang dan menetak dari arah belakang. Pedang itu sangat tajam masa dia mula-mula tunjukkan dan sekiranya terbelah belakang jurugambar itu, sudah tentulah Opah turut ditetak. Mana boleh tinggalkan saksi.


Inilah barisan kita. Ahli-ahli pertama sangat teruja merakamkan kenangan bersama sahabat lama dan baharu.


Apapun bidang media ini sebenarnya sangat seronok dan jika anda mencari landasan untuk maju dalam kerjaya, media adalah tempat membentuk "networking" yang baik. 

PERTAMA 100 peratus keahliannya wanita kini antara pertubuhan yang diminta kerajaan bagi penyumbang idea dan memeriahkan Hari Wartawan Nasional (HAWANA). PERTAMA berkampung di Melaka, Ipoh dan akan datang di Sarawak pada 24 hingga 27 Mei 2024.


MERAIKAN hari jadi ahli-ahli dan Hari Ibu 2024. Tahun ini mesyuarat agung bersama dengan meraikan Aidilfitri yang dimeriahkan dengan cabutan bertuah, pakaian terbaik dan karaoke.


Opah melihat banyak manfaatnya PERTAMA buat. Ahli-Ahli walaupun sudah usia warga emas memberi sambutan menggalakkan dan semua jenis spontan. Ramai yang memberi sokongan apabila kami mengadakan perjumpaan antara wartawan muda dan otai. Jamuan raya, hari jadi, sukaneka termasuk mendaki bukit (hiking) karaoke, bengkel digital dan pertandingan bowling.

PERTAMA juga memberi saguhati kepada ahli-ahli menunaikan haji, kematian, rawatan hospital dan sumbangan kepada pertubuhan lain dengan persetujuan ahlinya. Kami turut membuat rombongan melawat rakan yang sakit dan menyerahkan nama-nama yang memerlukan bantuan kepada pihak kerajaan.

Bayangkan seronoknya warga emas bila PERTAMA mengadakan bengkel digital - menggunakan telefon untuk membuka TikTok, Facebook. Ramai yang hadir tu. Malah paling membanggakan ada peserta belajar digital itu untuk menguar-uarkan kegiatan dan menawarkan khidmat kumpulan marhaban kepada  golongan elite.

Sebahagian otai wartawan adalah berkelulusan dari menara gading. Bahasa Inggeris sangat tajam dan indah susunan. Ada yang menjadi penerbit, pengacara dan bekas penulis hebat ketika Opah belum pun mengenal dunia wartawan. 

Di sinilah Opah bertemu otai yang menjayakan program radio termasuk program paling popular tahun 70-an ketika Opah remaja, Rumah Nombor 5 Persiaran 1.

Sebenarnya program itu mempopularkan penempatan baru masyarakat Melayu tinggal di taman-taman perumahan kerana sebelum ini ada yang menjadi setinggan dan penempatan di kampung-kampung saja. - KitaReporters


Opah dengan Kak Tengku Shamsiah


20
6
0
9
0
You will be interested