Insan & Komuniti 11 May, 2025

Sepanjang Jalan Kenangan| Permintaan terakhir ibu! Buatkan emak air penawar! Eh! Saya bukan bomoh!

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this

 

PENULIS sempat menjaga ibu seminggu sebelum pemergiannya.


SEJUJURNYA penulis tidak pernah meraikan Hari Ibu. Tapi, itu bukan bermakna penulis tidak menghargai jasa seorang yang bergelar ibu. Bagi penulis, ibu itu tiada galang gantinya. Kasihnya membawa ke syurga. Dan dialah ratu di hati!

Sepanjang 53 tahun menikmati kasih ibu, penulis menyimpan banyak kenangan pahit manis bersamanya. Namun, detik-detik terakhir bersama ibu akan terpahat dalam sanubari sebagai kenangan paling berharga dalam hidup penulis.

Sempena sambutan Hari Ibu pada Ahad, 11 Mei, 2025, penulis ingin mengimbas kembali kenangan itu untuk tatapan pembaca KitaReporters.


IBU dan ayah penulis.


“HANG dah nak balik KL (Kuala Lumpur)?” tanya emak.

Ketika itu penulis sedang mengemas pakaian, memasukkan ke dalam beg. Penulis terhenti seketika dan memandang ke arah emak yang duduk di atas katil. Wajahnya nampak sayu.

“Minggu depan sekolah dah buka mak, chek (saya) kena balik, tak ada orang nak urus budak-budak (anak-anak),” kata penulis.

Emak mengangguk tapi pada matanya jelas terpancar kesedihan. Penulis bangun, meninggalkan seketika baju yang belum dikemas sepenuhnya lalu mendapatkan emak.

Penulis genggam erat tangan emak, kemudian memeluknya. Tiba-tiba hati penulis berasa hiba, berat rasanya hendak meninggalkan emak.

Terasa seminggu menemani emak di kampung terlalu cepat berlalu. Belum puas rasanya memanjakan emak, memandikannya, menyisir rambutnya dan membedakkan mukanya -- perkara yang penulis dapat lakukan sepanjang menjaga emak di kampung.

Mungkin apa yang dirasai penulis itu, juga dirasai emak. Mungkin dia belum puas bermanja dengan penulis apatah lagi sejak dia sakit, inilah pertama kali penulis menyantuninya sebegitu. 


EMAK terpaksa bergantung kepada alat bantuan oksigen.


Kesibukan dengan tugasan dan tanggungjawab terhadap keluarga terutama menguruskan anak-anak menyebabkan penulis alpa dan terlupa akan tanggungjawab sebagai seorang anak.

Sejak sakit (masalah paru-paru) yang memerlukan emak memakai alat bantuan oksigen sepanjang masa, emak dijaga secara bergilir-gilir oleh adik-beradik penulis terutama adik kelima di Ipoh. Nampak emak amat selesa di situ.

Penulis pernah mengajak emak tinggal bersama penulis di Kuala Lumpur tapi emak menolak dengan alasan tidak mahu menyusahkan penulis yang sibuk, tambahan pula isteri penulis juga bekerja.

Lazimnya, penulis hanya menjenguk emak sebulan dua kali, itupun paling lama dua malam dan kembali ke Kuala Lumpur.

Nasib baik juga Allah menjentik hati penulis, membuka minda, seolah-olah ada satu bisikan pada telinga yang mengingatkan penulis bahawa selama ini penulis tidak pernah menjaga emak membuat diri berasa sangat bersalah.


SEPANJANG seminggu menjaga emak, penulis mandikan, sisir rambut dan bedakkan emak.


Justeru, cuti sekolah selama seminggu itu penulis mengambil keputusan untuk membawa emak pulang ke kampung. Emak nampak gembira, maklumlah, lama dia tidak pulang ke kampung, sudah dia rindu dengan saudara-mara, jiran tetangga dan kawan-kawannya. 

Sepanjang seminggu itu, penulis manfaatkan betul-betul masa bersama emak. Selain memandikan, menyikat rambut dan membedak muka, penulis melayannya makan. Apa yang ingin dimakannya penulis cuba penuhi.

Malam, sebelum tidur, emak suka mengajak penulis berbual-bual. Selalunya emak suka menyingkap kembali kisah zaman kanak-kanak penulis. Ada cerita suka duka yang dapat kami rasai bersama dan ada ketika ketawa bersama.

Seminggu itu penulis sangat bahagia kerana dapat menggembirakan emak. Terasa ikatan kasih sayang seorang ibu dengan seorang anak begitu kukuh.

Kalau diberi pilihan, penulis mahu terus menjaga emak di kampung tapi tanggungjawab penulis menunggu di Kuala Lumpur. Apabila sekolah kembali dibuka, penulis perlu kembali ‘bertugas’ menghantar dan menjemput anak ke sekolah.

Mahu tak mahu, suka tak suka, penulis perlu pulang ke Kuala Lumpur. Penulis terpaksa berpisah lagi dengan emak.


GAMBAR hiasan... Mohonlah pertolongan daripada Allah.


Memandangkan ketika itu Hari Raya Aidiladha tinggal kira-kira dua minggu lagi hendak menjelang, kami adik-beradik mengambil keputusan untuk emak terus menetap di kampung dengan tugas menjaganya diserahkan kepada salah seorang adik yang memang menetap di kampung.

“Sebelum hang balik, buatkan emak ayaq penawaq (air penawar),” tiba-tiba perkataan itu terpacul daripada mulut emak.

Penulis terkejut mendengar permintaan emak itu. Pada masa sama, rasa kelakar pun ada. Mengapa emak minta penulis buatkan air penawar untuknya?

Selalunya, jika emak mahukan air penawar, emak akan minta kami mendapatkan daripada seorang pengamal perubatan tradisional di kampung itu tapi kali ini mengapa dengan penulis?

“Chek tak reti la nak buat. Chek bukan bomoh,” ujar penulis sambil ketawa. “Pi saja la ambil kat bomoh tu,” sambung penulis.

Tapi, emak tetap berkeras mahu penulis membuat air penawar untuknya membuatkan penulis serba salah.

“Ala, hang jampi la apa yang hang tau. Tak kan baca Fatihah pun tak reti,” kata emak.

“Awat (mengapa) yang emak nak chek ayaq penawaq ni? Pasai apa?” tanya penulis.


GAMBAR hiasan... Air penawar.


Menurut emak, sejak beberapa malam kebelakangan, dia tidak dapat melelapkan mata walaupun terasa amat mengantuk. Malah, jiwanya berasa tidak tenang walaupun dia sendiri tidak memikirkan apa-apa.

“Mungkin kalau hang buat ayaq penawaq, emak boleh tenang sikit,” kata emak.

Kata-kata emak itu membuatkan penulis akhirnya mengalah apatah lagi apabila mengadu hal itu kepada Ustaz Fahmi yang mengajar penulis mengaji Quran, beliau meminta penulis menunaikan permintaan emak.

“Itu permintaan emak, kena tunaikan,” kata Ustaz Fahmi. ”Bacalah waima hanya Al-Fatihah, doa dan tiupkan pada air itu. Buat dengan Ikhlas. Insya-Allah, Allah akan makbulkan,” kata Ustaz Fahmi.

Walaupun permintaan itu pada awalnya penulis anggap sesuatu yang kelakar namun ketika melakukannya, hati benar-benar tersentuh sehingga tanpa sedar air mata penulis mengalir deras menuruni ke pipi.

Selepas meminum segelas air penawar itu, emak meminta penulis memandikannya dengan baki air berkenaan yang dicampur sebaldi air biasa. Ketika memandikan emak, penulis tidak dapat menahan air mata yang penulis sendiri tidak dapat tafsirkan apa sebabnya. Cuma, ketika itu penulis berasa terlalu sayang kepada emak.


KINI hanya pusara menjadi tempat melepaskan rindu pada emak.


Seminggu selepas penulis pulang ke Kuala Lumpur, tepatnya pada 25 September, 2014, emak kembali ke rahmatullah. Ketika penulis menatap wajahnya yang kaku, terpancar ketenangan dan seolah-olah sedang tidur dalam senyuman.

Penulis segera teringat permintaan terakhir emak, air panawar daripada air tangan penulis. Rupa-rupanya itu petanda emak hendak pergi. Ya, wajahnya sangat tenang, setenang hati penulis menerima takdir pemergiannya.

Sempena Hari Ibu, penulis hadiahkan Al-Fatihah untuk emak, Allahyarham Aishah Mohd Desa dan semua yang bergelar ibu.-KitaReporters

 

 

14
13
0
18
0
You will be interested