Sebanyak 148,929 laporan polis telah dibuat oleh orang ramai di negeri Kedah dari bulan Januari sehingga Jun 2025 dan daripada jumlah itu hanya 9,426 laporan dikesan mengandungi unsur jenayah hingga dirujuk ke Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ). Bagaimanapun, untuk tempoh yang sama pada tahun 2024 pula, sebanyak 139,614 laporan telah diterima dan sebanyak 11,347 kes mempunyai unsur jenayah untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut. - KitaReporters

Adzli Abu Shah (tengah) turut manyampaikan hadiah kepada orang pemenang pertandingan sempena Majlis Perasmian Taman Angkat Amanita 2025.
Sebanyak 148,929 laporan polis telah dibuat oleh orang ramai di negeri Kedah dari bulan Januari sehingga Jun 2025 dan daripada jumlah itu hanya 9,426 laporan dikesan mengandungi unsur jenayah hingga dirujuk ke Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ).
Bagaimanapun, untuk tempoh yang sama pada tahun 2024 pula, sebanyak 139,614 laporan telah diterima dan sebanyak 11,347 kes mempunyai unsur jenayah untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut.
Ini menunjukkan laporan kejadian berkaitan jenayah di negeri Kedah ada penurunan iaitu sebanyak 1,921 bersamaan 16.93% di mana kes samun berkawan turut berlaku dari 66 kes turun kepada 53 kes.
Kes rogol di negeri Kedah juga menunjukkan pengurangan sebanyak 25% iaitu dari 80 kes pada tahun 2024 turun kepada 60 kes pada tahun 2025.
Kes kecurian motosikal turun dari 446 kes kepada 348 kes dan kes kecurian kereta dari 88 kes kepada 79 kes.
Ketua Polis Kedah, Adzli Abu Shah berkata, penurunan kes ini adalah hasil dari kerjasama yang baik antara Pasukan Polis Kontinjen Kedah dengan masyarakat yang berganding bahu dalam melaksanakan pencegahan jenayah melalui usaha seperti program-program seumpama anjuran Taman Desa Bidara yang menjadi Taman Angkat Skuad Aman Wanita (Amanita) ini.
Beliau berkata demikian ketika melakukan Majlis Perasmian Taman Angkat Amanita 2025 berlangsung di Surau Al-Muttaqin Taman Desa Bidara, Kuala Ketil, Baling, Kedah pada 2 Ogos 2025 lalu.

Adzli Abu Shah menyampai sijil perlantikan Taman Desa Bidara sebagai Taman Angkat Amanita kepada Abdul Lazim Abdul Hamid (kiri).
"Walaupun statistik menunjukkan penurunan dalam kes-kes jenayah, saya ingin mengingatkan semua agar terus berwaspada kerana kita masih berdepan dengan pelbagai masalah sosial seperti penyalahgunaan dadah," katanya.
Menurutnya, masalah dadah itu boleh mencetuskan pelbagai pelakuan jenayah lain seperti keganasan rumah tangga, rogol dan kecurian.
"Amanita telahpun diwujudkan pada tahun 1912 lagi, namun ada sebahagian penduduk tidak tahu ada unit Amanita itu.
"Unit ini mula diperkenal di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan atau National Blue Ocean Strategy (NBOS) pada masa itu (2009)," katanya lagi.
Inisiatif Amanita oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertujuan mengiktiraf peranan penting wanita khususnya suri rumah tangga dalam usaha memperkasakan keselamatan komuniti.
Adzli menegaskan, Amanita turut digerakkan untuk menemui komuniti di setiap taman perumahan bagi mewujudkan komunikasi berkesan secara dua hala dalam mengurangkan tahap kebimbangan masyarakat terhadap jenayah serta dapat mengubah persepsi negatif masyarakat kepada PDRM.

Bergambar kenangan bersama ahli jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Desa Bidara, Kuala Ketil, Baling selepas majlis perasmian itu.
Sementara itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Desa Bidara, Abdul Lazim Abdul Hamid berkata, melalui majlis itu, komuniti tempatan di 1,480 buah rumah berpeluang menyaksikan pelbagai pameran daripada agensi kerajaan di negeri Kedah.
Turut hadir Timbalan Ketua Polis Kedah, Baderulhisham Baharudin; dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Ketil, Mejar (B) Mansor Zakaria. - KitaReporters