Insan & Komuniti 05 Sep, 2025

Darah lebih pekat! 60 waris To'ki Salleh bertemu pada hari keluarga! Kukuhkan kembali silaturahim!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Penganjuran program hari keluarga menjadi platform kepada sesetengah orang untuk mengeratkan hubungan silaturahim atau ukhuwah bersama ahli keluarga, adik-beradik dan waris keturunan yang amat berkesan serta menghiburkan.


Sebahagian ahli keluarga waris To'ki Salleh Temerloh berbual mesra sebaik sahaja sampai di homestay berkenaan.


Dengan menggunakan kemudahan media sosial yang semakin canggih sekarang, maka tidak susah bagi sesetengah mereka untuk menghubungi atau memaklumkan program itu kepada saudara mara yang sudah lama tidak bertanya khabar untuk hadir pada tarikh dan lokasi ditetapkan. 

Inisiatif itu turut digunakan oleh 60 waris dengan membabitkan 16 keluarga keturunan To’ki Salleh Temerloh selepas sekian lama tidak berjumpa untuk berkumpul di Homestay Villa Baiduri, Temerloh, pada 23 dan 24 Ogos 2025 lalu.

Ketua program itu, Mohd Nazri Abdul Latif, berkata inisiatif dilakukan berikutan menerima cadangan daripada ahli keluarga dan waris supaya diadakan hari keluarga berkenaan berikutan sudah lama tidak bertemu mata dan untuk mengenali antara satu sama lain dekat lebih rapat.

Menurutnya, sejurus membuat panggilan video dengan beberapa waris yang tinggal berdekatan mereka memberi persetujuan dan serentak itu ditubuhkan jawatankuasa kecil untuk mengurus serta mencari lokasi yang sesuai bagi tujuan berkenaan.


Majlis tahlil dan doa selamat turut diadakan pada program itu.


Jelasnya, beberapa orang saudara pula sanggup memikul tugas mengesan serta menghubungi waris yang berada seluruh negeri dengan meminta memaklumkan maklumat ahli keluarga dari keturunan To’ki Salleh Temerloh supaya tidak berlaku kekeliruan.

“To’ki Salleh ini meninggal dunia ketika usia 90 pada tahun 1975 merupakan guru mengaji, guru silat dan kebolehan dalam perubatan tradisional di daerah Temerloh yang amat disegani serta dihormati penduduk berikutan sikapnya merendah diri disamping rajin membantu orang.

“Walaupun diadakan secara santai dalam kawasan homestay berkenaan namun ia memberi makna yang amat besar kepada kami semua waris keturunan To’ki Salleh apabila dapat mengekalkan hubungan silaturahim adik-beradik dan ukhuwah dengan saudara mara sebagaimana yang selalu diingati arwah ibu bapa kami,” ujarnya lagi.


Sukaneka membabitkan kanak-kanak turut diadakan bagi memupuk hubungan mesra antara cucu dan cicit To'ki Salleh Temerloh.


Hari keluarga itu menghimpunkan waris To’ki Salleh termasuk dari Temerloh sendiri, Jerantut, Chenor, Pekan di Pahang; Subang, Gombak, Balakong di Selangor; Putrajaya; Teluk Intan di Perak dan Sungai Petani di Kedah.  

Pada program itu diadakan pelbagai aktiviti membabitkan orang dewasa serta kanak-kanak seperti sesi suai kenal ahli waris keluarga, majlis tahlil serta doa selamat, BBQ, sukaneka seperti berlari junjung telur dalam cawan, baling bola pingpong dalam baldi dan kutip kacang menggunakan chopstick.


 

Ahli waris dewasa turut terbabit dalam acara sukaneka yang diadakan.


Sementara itu seorang cucu, Faezah Md Adam dari Sungai Petani, Kedah, menganggap program hari keluarga amat bersesuaian dalam menyuburkan kembali hubungan kekeluargaan waris To’ki Salleh kerana kepada anak-anak mereka langsung tidak tahu.

Tambahnya, apabila dapat berjumpa dengan semua saudara mara kami ibu bapa akan berceritakan kepada anak-anak mengenai hubungan dengan waris berkenaan seperti mereka itu bapa atau ibu saudara, sepupu, dua pupu dan sebagainya.

“Dalam zaman moden yang penuh cabaran dan dugaan ini kita seharusnya untuk menyemai serta mendidik anak-anak untuk mengenali saudara mara atau waris supaya saling mengenali antara satu sama lain disamping silaturahim terus berkekalan,” katanya.


Seramai 60 waris To'ki Salleh Temerloh merakamkan kenangan selepas mengadakan program hari keluarga.


Bagi Ghazali Abdul Latif dari Teluk Intan, Perak pula, walaupun beliau sekeluarga berkelana mencari rezeki di tempat orang namun selalu memikirkan untuk mengeratkan hubungan dengan waris serta saudara mara yang jauh berpisah.

Menurutnya, kadang-kadang dapat berjumpa pada Hari Raya Aidilfitri namun tidak semua saudara mara mengambil kesempatan untuk berkunjung ke rumah waris kerana kesuntukan masa apabila terpaksa balik ke rumah keluarga isteri atau suami.

“Pada program ini, sudah tentu kami semua dapat berkumpul dalam tempoh masa yang agak panjang untuk berbual mengenai salasilah keluarga khusus daripada waris To’ki Salleh dan mengeratkan hubungan silaturahim serta uhkuwah dalam aktiviti diadakan,” ujarnya. - KitaReporters

14
11
1
9
0
You will be interested