Insan & Komuniti 11 Nov, 2025

Keselamatan Online| Hati-hati semua! Juruelektrik rugi RM118,400! Ditipu scammer menyamar polis!

Share this

Scammer zaman kini mencari seribu satu cara untuk memperolehi keuntungan secara haram dengan menipu orang ramai. Modes operandi mereka kini semakin berani dengan menyamar sebagai pegawai polis. 



Seorang juruelektrik telah diperdaya sehingga kerugian wang sebanyak RM118,400 miliknya selepas diperdaya oleh scammer atau penipu yang menyamar sebagai pegawai polis dan menuduhnya terlibat dengan aktiviti penggubahan wang haram.

Menurut Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, kejadian berlaku ketika mangsa yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia 53 tahun menerima panggilan melalui aplikasi Whatsapp pada 1 Oktober 2025 lalu.

"Mangsa menerima panggilan daripada seorang individu yang memperkenal diri sebagai pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.

"Suspek mendakwa mangsa terlibat dalam kegiatan penggubahan wang haram serta menerima rasuah di Sabah.

"Suspek kemudiannya mengarahkan mangsa membuka akaun bank baharu di sebuah bank dan mendaftar akaun tersebut menggunakan nombor telefon yang diberikan suspek.

"Semua yang diarahkan suspek itu sebenarnya helah bagi membolehkannya mengakses akaun baharu milik mangsa," katanya.



Tambah Raiz Mukhliz, suspek mengarahkan mangsa memindahkan semua wang simpanan miliknya ke dalam akaun baharu tersebut atas alasan untuk tujuan siasatan. 

"Mangsa kemudiannya menyemak akaun baharunya dua hari lalu dan mendapati terdapat pemindahan wang keluar daripada akaun baru tersebut sebanyak RM118,400 tanpa pengetahuannya.

"Kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, jika disabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara satu hingga 10 tahun dengan sebatan dan juga denda," ujarnya. 

Sehubungan itu. pihak polis meminta orang ramai supaya membuat semakan nombor telefon dan akaun bank melalui portal Semak Mule di semakmule.rmp.gov.my. sebelum membuat transaksi dalam talian bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan atas talian. - KitaReporters


 

12
15
0
8
0
You will be interested