Insan & Komuniti 19 Dec, 2025

Hati terasa pilu! Memori menggamit perasaan! Pawagam Federal kini restoran! Tiada lagi midnight show!

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this

 

MELINTASI bekas pawagam Federal ketika menyusuri Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur pada 16 Disember 2025 lalu, hati terasa pilu.


Pawagam Federal Kuala Lumpur yang dibuka pada 1959 berdiri megah jadi tumpuan ramai di zaman kegemilangannya.


Bangunannya masih berdiri tetapi bukan lagi sebagai  pawagam. Ia telah diubah suai dan diubah guna jadi restoran dan kafe, juga ‘mall’ menjual manisan dan roti, rempah, produk tenusu serta makanan sejuk beku.

Ia tidak lagi berdiri sebagai sebuah pawagam hebat tumpuan ramai, terutama sekitar tahun 60-an hingga 90-an. 

Pawagam ini mempunyia tempat duduk bawah dan atas atau 'circle seats'. Dibuka pada 1959, pawagam ini ditutup sepenuhnya beberapa tahun lalu.  

Di sebelahnya ialah pawagam Capitol yang banyak menayangkan filem Mandarin. Pawagam ini juga sudah lama melabuhkan tirai.


Pawagam Federal kini yang telah diubah suai serta ditukar guna jadi restoran dan kedai menjual pelbagai jenis makanan serta manisan. Gambar dirakam pada 16 Disember 2025.


Pawagam Federal menerima nasib sama seperti banyak panggung di seluruh negara yang berkubur apabila pawagam tidak lagi dikunjungi ramai.

Ini akibat serangan pelbagai bentuk tontotan filem lain seperti stesen TV berbayar, rangkaian TV kabel atau satelit yang menawarkan variasi filem dari seluruh dunia. Semua ditonton dalam keselesaan suasana di rumah.

Seiring kemajuan teknologi, pawagam Federal dipinggir dan dilupakan. Yang tinggal kini hanya memori indah yang tetap tersimpan di hati.


Kredit foto: https://cinematreasures.org/


Melihat bangunan pawagam Federal yang sudah bertukar guna, mengembalikan kenangan penulis sekitar pertengahan tahun 70-an dan 80-an.

Ketika itu pawagam Federal, berhampiran Chow Kit, jadi tumpuan peminat filem Hindustan, termasuk penulis, terutama pada hujung minggu.

Setiap hari Sabtu pukul 11.30 malam, pawagam Federal mengadakan tayangan tengah malam, atau ‘c’  filem Hindustan.

Pada pagi Ahad pukul 10 pagi diadakan tayangan pagi filem sama. Ini untuk memberi peluang kepada peminat yang tidak berkesempatan menonton filem tersebut pada Sabtu tengah malam.

Tayangan umum filem (general secreenings) diadakan beberapa minggu selepas tayangan tengah malam Sabtu atau tayangan pagi Ahad. 

Pawagam Federal juga menayangkan filem Melayu, Indonesia, Inggeris dan Tamil.


Filem box-office 'Bobby' (1973) menampilkan dua bintang remaja, Rishi Kapoor dan Dimple Kapadia pernah ditayangkan di pawagam Federal.


Penulis selalunya menonton tayangan tengah malam Sabtu. Jika terlepas, barulah menonton pada pagi Ahad.

Masa itu masih bujang, tinggal menyewa rumah di Jalan Raja Uda, Kampong Bharu bersama tiga rakan lain. Sewa ketika itu murah. Satu unit apartment tiga bilik hanya RM350 sebulan.

Rumah sewa dekat dengan pawagam Federal. Waktu tengah malam ketika rakan serumah sudah masuk tidur, penulis meredah malam menaiki motosikal ‘kapcai’ Honda menuju ke pawagam.

Apabila sampai, di luar pawagam orang sudah ramai, bersesak-sesak hendak membeli tiket. Ada yang kecewa kerana tiket habis.

Ketika inilah ulat tiket berkeliaran menjual tiket gelap. Mereka membeli secara pukal dan menjual semula dengan harga berganda. Jika hendak menonton terpaksa beli tiket gelap.

Pada pagi minggu pun situasi sama. Kerana itu penulis membuat tempahan awal tiket, atau ‘advance booking’.

Perlu datang ke pawagam untuk buat tempahan dan mendapat ‘hard copy’ tiket, tidak seperti sekarang boleh dibuat ‘online’. Boleh pilih tempat duduk dikehendaki dan ini ditulis tangan pada tiket.


Filem hits 'Caravan' (1971) dibarisi bintang utama Jeetendra dan Asha Parekh juga pernah ditayangkan di pawagam Federal.


Keadaan kini jauh berubah. Pawagam Federal yang suatu ketika gah sebagai salah sebuah pawagam terkenal di Kuala Lumpur, ditelan arus perubahan masa.

Keriuhan dan kemeriahan pawagam pudar. Daripada sebuah pawagam besar ia berubah menjadi ‘cineplexes’. Lama kelamaan itu pun tidak dapat bertahan.  

Akhirnya pawagam Federal lengang, sunyi dan dilupakan. Yang tinggal hanya bangunan yang diubah suai, jadi memori dan kenangan masa lalu.

Banyak filem yang penulis tonton di pawagam Federal. Antaranya filem box-office ‘Haathi Mere Shaati’ (Rajesh Khanna dan Tanuja) serta ‘Bobby’ (Rishi Kapoor dan Dimple Kapadia).

Juga filem hits seperti ‘Don’, ‘Caravan’,Muqaddar Ka Sikandar, ‘Naseeb’, ‘Yaadon Ki Barat’, ‘Mr Natwarlal’ dan ‘Kaala Patthar’.


Sebuah lagi filem hits yang pernah ditayangkan di pawagam Federal Kuala Lumpur, 'Kala Patthar', menampilkan Shashi Kapoor (bawah kiri), Amitab Bachchan dan Rakhee serta atas dari kiri Parveen Babi, Shatrugan Sinha dan Neetu Singh.


Bagi penulis yang pernah merasa keseronokan menonton di pawagam Federal, melihat kembali bangunan yang masih berdiri berlainan fungsi terasa hiba di hati.

Masih terbayang suasana sibuk dan jeritan ulat tiket mencari mangsa. Sungguh nostalgia. Benarlah, sesuatu yang indah akan berakhir jua. - KitaReporters

 

 

 

11
12
0
21
0
You will be interested