Pertunjukan bunga api bagi menandakan berakhirnya Sambutan Ulang Tahun ke-150 Bandar Taiping (1874-2024).
Lebih 2,000 orang terpegun dengan kedamaian malam apabila bandar Warisan Taiping bergema dengan bunyi dentuman pelbagai jenis bunga api meletup di udara. Ini bagi menandakan berakhirnya Sambutan Ulang Tahun ke-150 Bandar Taiping (1874-2024).
Sambutan bermula pada Pelancaran Sambutan Ulang Tahun Ke-150 Bandar Taiping oleh Menteri Besar Perak Datuk Seri
Saarani Mohammad pada 20 Januari 2024 yang lalu.
Yang
Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT) Khairul Amir Mohamad Zubir berkata, warga berkumpul bersama-sama di Dataran Warisan Taiping, sebuah lokasi yang menjadi
saksi penting dalam sejarah penganjuran sambutan 150 tahun Bandar Taiping.
Beliau
berkata, Dataran Warisan Taiping ini tidak hanya menyaksikan sejarah Taiping yang kaya,
tetapi juga menjadi tempat perhimpunan warga Taiping dan pengunjung dari luar
bandar ini.
Katanya, sambutan
ini merupakan satu peluang untuk seluruh komuniti berkumpul, merayakan kemajuan
dan sejarah Taiping, sambil mengalami pengalaman unik yang menyatukan semua
lapisan masyarakat.
“Ia dengan rasminya membuka lembaran baharu dan sepanjang sambutan 150 tahun itu, sebanyak 154 acara telah diadakan sepanjang tahun 2024 melibatkan peringkat antarabangsa, kebangsaan, negeri dan komuniti,” katanya pada pada Majlis Penutupan Sambutan Ulang Tahun Ke-150 Bandar Taiping (1874-2024) di Dataran Warisan Taiping pada malam 29 Disember 2024.
Majlis penutupan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan yang juga Ahli Parlimen Taiping, Wong Kah Wah.
Sebuah pancaragam yang menggabungkan beberapa sekolah mengadakan persembahan pada majlis penutupan Sambutan Ulang Tahun ke-150 Bandar Taiping di Dataran Warisan Taiping.
Khairul Amir berkata, daripada 154 acara tersebut, 99 merupakan acara Sukan dan Rekreasi, acara Pendidikan dan Kesihatan (21), acara Seni dan Kebudayaan (13), acara adalah Kejohanan Larian (tujuh), acara Festival (1), acara Warisan (tujuh) dan selebihnya acara kategori lain-lain.
Menurut
beliau, program Perarakan Komuniti Taiping antara program perarakan yang ikonik
pernah diadakan melibatkan masyarakat tempatan dan pelbagai kumpulan budaya
termasuklah kehadiran dua ekor gajah yang didatangkan khas oleh Jabatan
Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).
Beliau
berkata, ia membuktikan kemesraan dan menghormati antara satu sama lain kekal
utuh bagi memastikan Bandar Taiping kekal aman dengan komunitinya sentiasa
bersatu hati dan harmoni sesama kaum, agama dan bangsa dalam mencapai kemajuan negara.
Selain itu, katanya, Program Semarak Merdeka & Sambutan Hari Malaysia Daerah Larut, Matang & Selama 2024 memeriahkan lagi Sambutan Ulang Tahun Ke-150 Bandar Taiping (1874-2024) dan Tahun Melawat Perak 2024.
Khairul Amir
berkata, Bandar Taiping merupakan bandar warisan bagi daerah Larut, Matang dan
Selama, yang dahulunya dikenali sebagai Klian Pauh, telah melalui pelbagai era
perubahan.
Katanya, dari
sebuah pekan perlombongan bijih timah sehingga menjadi bandar warisan bertaraf
dunia, perjalanan 150 tahun ini mencerminkan keunikan budaya, sejarah, dan
warisan Taiping.
“Pembangunan
Taiping yang seimbang antara kemajuan dan pemuliharaan alam sekitar menjadi
contoh kepada bandar lain.
“Ulang tahun
ke-150 ini bukan sekadar untuk mengenang sejarah, tetapi juga sebagai peluang
untuk kita merancang masa depan yang lebih cemerlang.
“Semoga
Taiping terus maju sebagai bandar warisan yang lestari dan menjadi destinasi
pilihan untuk pelancong dari dalam dan luar negara,” katanya.
Khairul Amir berkata, sambutan 150 tahun bandar Taiping juga memberi kesan yang signifikan dalam pelbagai aspek, termasuk sejarah, ekonomi, sosial, dan pelancongan.
Secara tidak langsung, katanya, sambutan 150 tahun bandar Taiping ini telah memberi impak yang positif terhadap peningkatan kesedaran sejarah dan warisan, lonjakan pelancongan, pengukuhan komuniti dan hubungan sosial, peningkatan profil Taiping pada peringkat nasional dan antarabangsa.
“Setinggi-tinggi
penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi kerajaan, swasta, NGO,
persatuan, komuniti dan rakan-rakan media yang telah bersama-sama menyokong dan
menganjurkan program dan acara dalam menjayakan Sambutan Ulang Tahun ke-150 Bandar Taiping ini.
“Secara keseluruhannya, sambutan 150 tahun bandar Taiping bukan sahaja meraikan sejarah bandar ini tetapi juga membuka peluang untuk pembangunan masa depan yang lebih mampan," tambahnya.
Wong Kah Wah (enam, kiri) menunjukkan isyarat bagus pada majlis penutupan Sambutan Ulang Tahun 150 Bandar Taiping di Dataran Warisan Taiping.
Khairul Amir
berkata, hala tuju Taiping selepas 150 tahun ini adalah untuk menjadi bandar yang
mampan, pintar, dan berdaya saing, sambil mengekalkan identiti sebagai bandar
warisan. Kerjasama antara pihak berkuasa tempatan, komuniti, dan sektor swasta
diperlukan untuk mencapai visi ini.
Katanya, dengan
fokus kepada pemeliharaan warisan, pembangunan mampan, dan kemajuan teknologi,
Taiping dapat terus menjadi contoh bandar progresif yang menghormati sejarah
sambil bersiap sedia untuk cabaran masa depan.
Menurut
beliau, MPT sentiasa menyokong pelbagai inisiatif yang dianjurkan oleh agensi,
persatuan, pertubuhan, dan komuniti dalam menjayakan program dan acara di
Taiping.
“Pada tahun
2025 dan tahun 2026 akan menjadi tahun yang penting buat Malaysia dengan
penganjuran Tahun Melawat Malaysia (TMM). Sebagai salah satu destinasi pelancongan
utama, bandar Taiping perlu mengambil peluang dan langkah proaktif dari
sekarang untuk menyahut cabaran ini.
“Dengan
persediaan yang rapi dan kerjasama antara pihak berkuasa, komuniti, dan pemain
industri, bandar Taiping berpotensi menjadi destinasi tumpuan pelancong pada
Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Pada tahun 2025, beberapa aktiviti dan program telah dimasukkan dalam kalendar MPT, melibatkan peringkat negeri dan kebangsaan,” katanya.
Pokok hutan hujan tropika di Tam Tasik Taiping.
Sementara itu
Wong berkata, MPT dengan sokongan agensi-gensi kerajaan, kerajaan
negeri dan Persekutuan telah membawa perubahan besar kepada bandar Taiping.
Beliau
berkata, sebanyak RM82 juta telah diperuntuk oleh Kementerian Perumahan dan
Kesejahteraan Bandar bagi menaik taraf infrustruktur bandar Taiping.
Menurutnya, sebanyak
RM10 juta untuk pemuliharaan Taman Tasik Taiping termasuk pemuliharaan pokok hujan tropika (rainforest) dengan lebih sistematik dan holistik.
“Sebanyak 1.2 juta pengunjung telah datang ke Taiping dan seramai 630,000 telah mengunjungi Zoo Taiping & Night Safari,” katanya lagi. - KitaReporters