Insan & Komuniti 29 Oct, 2024

Perjalanan air mata Misi Amal di Sabah! Melihat kemiskinan, kesusahan penduduk! Merempat, berlapar!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: [email protected]

Share this

Inilah antara rumah penduduk di Kampung Sampah dan di belakangnya ialah timbunan sampah yang dibuang di kawasan mereka.


"SAYA menitis air mata melihat nasib mereka yang daif, tiada kemudahan asas malah rumah mereka seperti gerobok, khemah dan ada hanya beratapkan kanvas. Kediaman pula dibina bersebelahan atau di lereng timbunan sampah yang baunya memang meloyakan tekak.

"Mereka mencari nafkah melalui sampah yang dibuang di kawasan itu, mengambil sisa-sisa yang boleh dimakan di sebalik timbunan sampah yang membukit.

"Jika bernasib baik mungkin mendapat pendapatan kira-kira RM5 sehari tetapi jika tiada apa-apa, mereka terpaksa berlapar," kata Ketua Penggerak Pertubuhan Amal Dan Kebajikan Insaniah Selangor (Misi Amal), Ustazah Norhayati Sulaiman.  


Rumah kediaman penduduk seperti gerobok dan hanya beratapkan kanvas untuk melindungi keluarga dari panas dan hujan.


Inilah antara pengalaman suka duka bersama 11 ahli Misi Amal selama empat hari berkunjung ke Sandakan, Sabah untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan berupa makanan asasi seperti beras, minyak masak, gula, tepung dan tepung ke Kampung Sampah dan beberapa penempatan lain di sekitar bandar itu. 

Ada empat penempatan di Kampung Sampah dengan penduduk lebih 1,000 orang. Kawasan itu adalah pusat pelupusan sampah di Sandakan dan penduduk mencari nafkah melalui sampah yang dibuang di situ.

Apabila lori sampah tiba, mereka akan berlari-lari mengejar kemudian memunggah sampah-sarap untuk mencari sesuatu yang masih boleh digunakan. 

Stesen TV berbayar Astro pernah mengangkat Kampung Sampah dalam satu dokumentari bertajuk, "Rumah Sampah" yang menceritakan kedaifan mereka hidup dalam timbunan sampah itu.


Ustazah Norhayati Sulaiman


"Saya tidak tahu bagaimana mereka mampu hidup di kawasan sedemikian, tidur di atasnya dan menghirup udara di situ sepanjang hari selama berpuluh-puluh tahun!

"Lebih menyedihkan, kebanyakan anak di perkampungan tersebut tidak bersekolah, barangkali mereka tiada dokumen diri sehingga menyebabkan ramai sukar untuk keluar mencari pekerjaan atau pendidikan.

"Ini ujian besar buat mereka dan sumbangan yang kami berikan sedikit sebanyak membantu mereka meneruskan kehidupan. Memang tidak dapat membayangkan jika saya berada di tempat mereka," katanya.

Perjalanan menghantar bantuan ke rumah penduduk terpaksa melalui laluan berlopak di ladang kelapa sawit.


Hutan dan belukar juga diredah semata-mata mahu menghantar sumbangan misi kemanusiaan kepada penduduk miskin.


Ustazah Norhayati mengakui, mereka tiba di Kampung Sampah agak lewat petang kerana masalah mendapatkan bekalan makanan, padahal penduduk sudah menunggu sejak jam 2 petang, jumlahnya agak ramai sedangkan perancangan awal bantuan akan diberikan kepada 20 keluarga asnaf sahaja.

"Dalam kepekatan malam, kami menggunakan lampu suluh dan saya melihat barisan penduduk yang panjang, lalu timbul perasaan bersalah kerana jumlah bekalan yang kami bawa pasti tidak mencukupi

"Melalui bantuan wakil di Sandakan, Ustaz Fadli, kami menyampaikan bantuan kepada penerima yang ada dalam senarai dulu dan berjanji akan datang lagi bagi memberi sumbangan kepada penduduk yang tidak menerima apa-apa esok hari dan ia dihantar terus ke rumah mereka," katanya. 

Ahli Misi Amal terpaksa melalui titi yang reput dan sempit untuk menghantar bantuan kepada penduduk dengan hanya sinaran rambulan dan lampu suluh.


Anggota Misi Amal didatangi penduduk yang merayukan bantuan setiap kali tiba.


Selain Kampung Sampah, beliau juga tidak dapat melupakan pengalaman bersama ahli Misi Amal ketika menyampaikan sumbangan kepada 20 keluarga asnaf di Kampung Bakau Laut yang terletak di pedalaman Sabah.

Kampung Bakau dihuni oleh penduduk daripada suku kaum Bajau dan orang Suluk. 

Melihat sisi geografi, kampung di atas air ini, ia mungkin tidak layak dihuni kerana letaknya di tepi laut yang tidak berpantai. Tidak ada tanah datar atau tanah berpasir yang mampu menyokong penempatan.

Difahamkan, Kampung Bakau wujud hasil penerokaan haram pendatang dari Filipina yang lari atas alasan ekonomi pada awal 1980-an. 

Sehingga ke hari ini, rata-rata penduduk kampung belum mendapat taraf warganegara Malaysia. Ini menyebabkan mereka sukar mendapat kemudahan seperti pendidikan dan bantuan daripada pihak berkuasa.  


Inilah Kampung Bakau Laut, pengangkutan hanya melalui jalan air dan barangan dibawa menggunakan bot ke rumah penduduk.


Malang berterusan apabila mereka beranak-pinak sejak turun temurun, tanpa dokumen pengenalan diri. Lahirlah anak-anak sebagai warga tanpa negara.

Lebih malang, kebakaran besar yang berlaku pada 2023 menyebabkan banyak rumah selain surau tempat kanak-kanak belajar kelas fardhu ain dan membaca al-Quran musnah.

"Masalah penghantaran bantuan kemanusiaan ke Kampung Bakau hanya melalui pengangkutan bot dan kami terpaksa menunggu air pasang kira-kira jam 5 petang bagi membolehkan bot bergerak walaupun persiapan sudah dilakukan sejak jam 3 petang.

"Ketika sampai kira-kira jam 6 petang, keadaan gelap gelita kerana kawasan berkenaan tiada kemudahan elektrik. Kami terpaksa menggunakan lampu suluh untuk memunggah dan membawa barangan ke rumah penduduk.  


Dalam kegelapan malam, ahli Misi Amal terus bertugas bagi memastikan barangan dapat disampaikan kepada penduduk.


"Keadaan penghuni yang ramai menyebabkan bekalan tidak mencukupi, jadi ada yang marah dan tidak puas hati kerana mereka tidak menerima apa-apa sumbangan. Apa nak buat terpaksa bersabar kerana jumlah kehadiran melebihi jangkaan kami.

"Alhamdulillah, jam 10.30 malam semua barang selesai diberikan kepada 40 keluarga. Memang terasa amat letih dan ada ahli yang mengalami sakit kaki dan badan terutama untuk mengangkat barang dari bot ke rumah penduduk. Tapi, kami tetap "happy" dan seronok kerana dapat memberikan sesuatu yang menggembirakan mereka.

"Selain bekalan makanan asas, kami turut membeli keropok ikan kerana penduduk di sini makan nasi berlauk keropok ikan. Mereka jarang dapat menikmati ayam atau daging kecuali pada Aidiladha, itu pun jika ada pihak yang bermurah hati memberi daging korban kepada mereka," kata Ustazah Norhayati lagi.


Ahli Misi Amal menyantuni sebuah keluarga di Kampung Sampah yang dihuni lapan ahli keluarga sedangkan rumah mereka hampir roboh.


 

Seorang ibu di Kampung Bakau Laut menyara lima anak sedangkan dia tidak mempunyai pekerjaan apa-apa dan terpaksa mengharapkan belas kasihan orang lain.


Selain Kampung Sampah dan Kampung Bakau, Misi Amal juga memberi sumbangan barangan makanan dan wang tunai kepada penduduk di Kampung Sentosa Jaya, Batu 3 dan Kampung Kayangan, sepanjang berada selama empat hari di Sandakan.

"Biasanya kami hanya memberi sumbangan kepada 30 hingga 40 keluarga tapi misi amal ke Sandakan membabitkan 74 keluarga, melebihi jangkaan awal hanya 60 keluarga.  

"Kebanyakan penerima sumbangan adalah golongan berusia dan dalam sebuah rumah mereka tinggal di antara lapan hingga 10 penghuni termasuk anak-anak yang berkahwin.

"Sepanjang empat hari tiga malam itu, selain Ustaz Mohd Fadli, kami turut mendapat bantuan Daei Muda Yadim Sazmi yang memang berasal dari Sandakan dan imam Masjid Batu 3," katanya.    


Ahli Misi Amal terpaksa menggunakan khidmat penduduk tempatan untuk mengangkat barangan kerana jarak perjalanan yang jauh.


Kesimpulannya, pengalaman di Sandakan memang berbeza dan mencabar berbanding program di tempat-tempat lain kerana mereka memang miskin tegar dan tinggal di penempatan tanpa ada dokumen pengenalan diri, jadi sukar untuk mencari pekerjaan di bandar atau mendapat pendidikan kepada anak-anak.

Ustazah Norhayati berkata, kebanyakan penduduk lelaki pula bekerja di ladang kelapa sawit, tinggal di rumah kongsi dan hanya pulang ke penempatan itu empat bulan sekali, jadi golongan wanita melakukan apa sahaja pekerjaan untuk mencari sesuap nasi termasuk mencari sampah, menangkap ikan atau menjadi amah.    


Ahli Misi Amal menyantuni anak-anak terbiar yang tidak bersekolah kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.


"Apa pun, kami menganggap misi bantuan kemanusiaan ke Sandakan, berjaya malah sumbangan diberikan oleh ahli-ahli dan orang ramai diserahkan seratus peratus kepada penduduk miskin di kampung yang dilawati. 

"Tapi, harga barangan yang mahal di Sabah membantut usaha kami memberi lebih banyak sumbangan kepada mereka.  

"Apa pun, penduduk gembira kerana kami datang dari jauh semata-mata untuk memberi bantuan kemanusiaan kepada mereka, ada menangis memeluk kami kerana terlalu terharu dan menceritakan nasib mereka yang tiada pilihan melainkan terpaksa tinggal di situ kerana tiada dokumen pengenalan diri.

"Insya-Allah, selepas ini kami akan meneruskan usaha menyantuni lebih ramai golongan daif dan asnaf kerana itulah matlamat Misi Amal, berbakti hingga mati," katanya.  

Orang ramai yang mahu menyumbang kepada Pertubuhan Amal Dan Kebajikan Insaniah Selangor boleh lah menyalurkan derma itu ke akaun berikut: Maybank 562263560241 atau menghubungi Ustazah Norhayati menerusi talian 017-2606062 untuk maklumat lanjut. - KitaReporters


Seorang ahli Misi Amal memberi kata-kata motivasi supaya penduduk miskin yang dikunjungi mereka kuat dan tabah menghadapi ujian Allah.

14
10
0
12
0
You will be interested