Insan & Komuniti 12 Dec, 2024

Mahu kenali Mat Kilau? Tak cukup setakat tengok filem sahaja! Kena juga kunjungi Galeri Mat Kilau!

@rashidah ibrahim
Bermula di Berita Harian sebagai wartawan di meja berita am 1985, diikuti Berita Minggu, meja mahkamah dan pendidikan sebelum ke majalah Anjung Seri (1993-2015). Jawatan terakhir Timbalan Editor. Meneraju variaseri.com youtube Anjung Destinasi TV.

Share this


Setelah lebih setengah abad pemergiannya daripada maya pada ini, nama pejuang Melayu sejati, Mat Kilau kembali menjadi bualan, istilah masa kini, viral atau tular. 

Tular tahun lalu (2023) berikutan tayangan filem epik Melayu, "Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan". Tanpa disangka filem perjuangan pahlawan terbitan Kembara Studio itu menjadi fenomena, meraih kutipan tertinggi dalam sejarah filem tanah air. 

Tayangannya mengutip hampir RM100 juta, memecah jangkaan pengarahnya, Syamsul Yusof yang sebelumnya menyasarkan kutipan RM70 juta. 

Jumlah itu dikatakan mengatasi semua filem Hollywood seperti  Star Wars, The Avengers, Jurassic world, Furious 7, Spiderman dan Transformes (dari segi kutipan tiket di Malaysia). 


Pameran Diorama Pertempuran, menggambarkan gaya pahlawan Melayu dan tentera British, berbaju merah.


Imbas kembali, musim penayangan filem itu sekonyong-konyong segelintir rakyat bagai dirasuki semangat perjuangan Melayu. Sewaktu di panggung, kelihatan yang lelaki bertanjak, wanitanya pula berbaju kurung dan kebaya bertudung litup dengan kain batik. Pemakaian tanjak menjadi fenomena ketika itu. 

Kini sudah setahun berlalu, keghairahan kian menyepi tapi sekurang-kurangnya nama pejuang itu sudah melekat di hati ramai termasuk anak muda. 

Namun sejauh manakah anda mengenali Mat Kilau? Tidak cukup dengan menonton filem sahaja, buatlah kajian untuk mengetahui lebih banyak lagi.



Berasal dari daerah kelahiran Mat Kilau di Jerantut, Pahang masih terpahat di ingatan zaman kanak-kanak. Di mukim berdekatan iaitu Pulau Tawar, heboh dengan cerita Mat Kilau. 

Pada 26 Disember 1969, seorang lelaki tua ketika itu dikenali Mat Siam tinggal di Kuantan, kembali ke kampungnya di Pulau Tawar, membuat pengumuman bahawa dirinya adalah Mat Kilau, iaitu pejuang tersohor tanah air pada zaman kemasukan British. Sedangkan beliau telah lama disangka mati berdasarkan siaran berita akhbar berbahasa Inggeris di Singapura sekitar 1895. Alih alih ada yang muncul mengaku (pada 1969) sebagai Mat Kilau, selepas hampir tiga dekad/30 tahun berita kematiannya. 

Dalam konteks, sekarang itulah (pengakuan) viral pertama mengenai Mat Kilau tetapi melalui hebahan akhbar dan televisyen. 



Saya ketika itu masih kanak-kanak usia sekitar 10 -13 tahun. Kenapa ingat sangat, kerana waktu itu satu-satunya adik lelaki dalam keluarga lahir. 

Kuatnya ketaksuban masyarakat terhadap Mat Kilau ketika itu, seorang kawan baik ayah, memberi nama timangan Mat Kilau kepada adik kami yang baru lahir, mengambil sempena nama pejuang itu. 

Namun sebagai kanak-kanak, belum faham sangat siapa Mat Kilau tetapi tahu yang beliau tentunya orang hebat yang selayaknya menjadi bahan bualan ketika itu.  

Pengakuan Mat Siam adalah Mat Kilau menimbulkan seribu persoalan kepada masyarakat dan pihak kerajaan ketika itu.



Kemudian, pada 1971, berita mengenai Mat Kilau heboh sekali lagi apabila kerajaan negeri Pahang mengisytiharkan bahawa lelaki yang mengaku pada 1969 sebagai Mat Kilau itu sebenarnya memang Mat Kilau, berdasarkan hasil siasatan Jawatankuasa Penyiasat Munchul-nya Mat Kilau yang ditubuh khas untuk tujuan pengesahan pengakuan itu pada 1970. 

Bukan mudah kerana saksi saksi sudah tua dengan masing-masing sangat uzur dan ingatan merosot, namun daripada pengakuan mereka, jawatankuasa akhir bersetuju menerima bahawa Mat Siam itu adalah Mat Kilau. 

Pada 10.30 pagi, 6 Ogos 1970, Mat Siam diisytiharkan sebagai Mat Kilau oleh Menteri Besar Pahang, Tan Sri Yahya Mohd Seth.


Melangkah menerusi pintu masuk disambut wajah Mat Kilau semasa muda dan dewasa serta ayahandanya, Tok Gajah di dinding kiri.


Di internet ada beberapa penulisan berkaitan Mat Kilau dan sejarah perjuangan kumpulannya. Seandainya ingin tahu lebih lanjut dan menyeluruh, anda boleh gali lagi maklumat di Galeri Mat Kilau di Pulau Tawar, Jerantut.

Melalui penelitian fakta, didapati perjuangan berani mati Mat Kilau dalam menentang penjajah Inggeris adalah sesuatu kompleks kerana pihak istana ketika itu di sebelah penjajah. 

Ketika raja-raja Melayu mulai berada di bawah kawalan penjajah, mengehadkan sokongan pihak istana terhadap kegiatan kumpulan pejuang tanah air itu. 

Mat Kilau dan rakan-rakannya dianggap pemberontak oleh British. Tentunya pihak istana perlu berhati-hati untuk memberi sokongan terhadap mereka. 

Tiadanya sokongan padu terhadap perjuangan itu daripada pemerintah, menyebabkan semakin sukar bagi Mat Kilau dan kumpulan untuk menang mutlak walaupun telah beberapa kali berjaya menumpaskan penjajah dalam pertempuran.


Wajah Mat Kilau waktu semakin lanjut usia, berbaju Melayu cekak musang lengkap bertanjak, terserlah raut kepahlawanannya.


Ibarat bersendirian, kumpulan itu malah terus berjuang. Menariknya, Mat Kilau pandai berhelah, dua kali pura-pura mati bagi mengelak terus diburu pihak lawan. 

Pernah sebuah akhbar berbahasa Inggeris, melaporkan "Mat Kilau telah melawan apabila hendak ditawan, akibatnya cedera di muka dan di kepalanya akibat cantasan pedang. Luka-luka sangat parah dan dia telah mati dalam perjalanan ke hilir Kota Bharu sebab kehilangan banyak darah". 

Dengan tersiar berita The Free Press (22 Oktober 1895) itu, umum berpendapat tamat sudah riwayat Mat Kilau, sedangkanhakikatnya masih hidup. 

Selepas itu Mat Kilau menjalani kehidupan dalam penyamaran dengan pelbagai nama sehinggalah peristiwa pengakuan dirinya, bahawa Mat Siam itu sebenarnya Mat Kilau, pada1969. 

Beberapa hari selepaskan disahkan sebagai Mat Kilau pada 1971, beliau meninggal di rumahnya di Batu Lima, Paya Besar, Jalan Kuantan–Gambang kerana keuzurun tetapi telah dikebumikan di Pulau Tawar. 

Masa kematian Ahad,16 Ogos 1971, 6.45 pagi, ketika itu beliau dipercayai berusia 122 tahun, tetapi Jawatankuasa Penyiasatan merekodkan usianya hanya 104 tahun.


Galeri memaparkan pelbagai maklumat detik-detik penting dalam hayat Mat Kilau dari permulaannya, sederhana hingga ke kemuncak perjuangannya termasuk juga nota sejarah penjajah di Pahang yang berkaitan.


Pembinaan Galeri Mat Kilau pada 2015 di Mukim Pulau Tawar juga satu penghargaan terhadap jasanya berjuang mempertahan kedaulatan tanah air. 

Mati Kilau lahir di Kampung Kedondong Pulau Tawar, tidak sampai sejam memandu dari kampung penulis. Pernah sekali singgah sebelum fenomena filem Mat Kilau tetapi pintu bertutup rapat seperti tiada orang. 

Tahun ini (2024), selepas penayangan filem Mat Kilau, berpeluang singgah sekali lagi. Masih lagi bertutup rapat pintunya dan lengang. Apabila diketuk, barulah pintu dibuka. 

Ya jika anda ke galeri itu, jangan pantas pergi, periksa dahulu sama ada ada petugas di dalam. Galeri sebesar kediaman biasa itu berhawa dingin, jadi pintu utamanya sentiasa ditutup. 

Sewaktu itu, pengunjung hanya kami berdua dan seorang lagi lelaki dewasa bersama seorang anak perempuan serta seorang petugas lelaki, memberi kami keselesaan untuk bergerak meneliti maklumat.


Dalam persembunyian, sejak 1930 menukar nama samaran beberapa kali, terkemudian, Mat Siam yang berakhir dengan pengakuannya sebagai Mat Kilau pada 1969 di Pulau Tawar, Jerantut, Pahang. Gambar: Dua wajah sewaktu lanjut usia. 


Bahan meliputi maklumat dan gambar terutama penulisan akhbar (yang dicetak semula saiz besar), memapar pelbagai peristiwa membabitkan Mat Kilau di dinding, selain ruang audio dan maklumat keratan akhbar di ruang berbilik. 

Di luarnya mempersembah diorama dalam bentuk patung pejuang Melayu dan tentera British. Pada dinding tertera peristiwa penting zaman perjuangan selain sejarah tempat sekitar Jerantut membabitkan pahlawan Pahang seperti Mat Kilau, Pawang Noh, Tok Gajah dan ramai lagi.

Daripada maklumat di situ, anda akan tahu kehebatan Mat Kilau dan Tok Gajah. Anda akan tahu bagaimana pahlawan itu dan orang-orangnya kadang bertempur hanya dengan tongkat, buluh runcing serta tangan kosong, diceritakan dengan terperinci, di samping mengetahui tempat-tempat seperti Kubu Parit Dalam dan Perigi Purba yang penting dalam sejarah Mat Kilau.

Berkunjunglah ke Galeri Mat Kilau untuk menimba lebih banyak maklumat mengenai sejarah perjuangan pejuang bangsa kita, demi memupuk semangat cintakan tanah air di samping sentiasa mengenang jasa mereka. 

Galeri dibuka setiap hari bermula jam 9 pagi hingga 6 petang dan bayaran yang dikenakan hanyalah sekitar RM 2. - KitaReporters


Keadaan Mat Kilau sewaktu hampir pengakhiran hayat.


Ringkasan Mengenai Galeri Mat Kilau:

  • Kompleks Galeri Mat Kilau dibina 2015, khas untuk paparan tokoh Mat Kilau Bin Iman Rasu (1865-1970) yang menentang Empayar British semasa Kebangkitan Pahang 1891-1895.
  • Turut mempamer sejarah tempat tempat sekitar daerah Jerantut berkait tokoh pahlawan Melayu seperti Mat Kilau, Pawang Noh, Tok Gajah dan beberapa lagi. 
  • Barang lama seperti senjata pahlawan Pahang turut dipamer menerusi pelbagai bentuk termasuk patung, visual, gambar dan audio.
  • Galeri beroperasi 9 pagi sehingga 6 petang (hari bekerja) dan bayaran masuk hanya sekitar RM2. Sabtu dan Ahad pun mungkin dibuka.
  • Dokumentari tokoh ini, biasanya ditayang 10 pagi, 12 tengah hari dan 3 petang.
  • Mat Kilau sinonim dengan cerita misteri mati hidup semula dan ilmu kebal.
  • http://damak.pjk.com.my/  


Gaya pahlawan, keris tersandang di pinggang. Keratan daripada gambar Mat Kilau yang dirakam di dinding galeri.

11
9
0
16
0
You will be interested