SEBAGAI menghargai diri sendiri kerana mencecah usia 100 tahun, seorang warga emas dari Florida mencabar dirinya dengan melakukan aksi berani dengan melakukan terjunan udara, buat pertama kali.
Raymonede Sullivan yang baharu menyambut ulang tahun ke-100 nekad melakukan aksi ekstrem dengan terjunan udara sebagai hadiah peribadinya.
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan aktiviti lasak
Perkara tersebut dirancang dua tahun lalu dan dikongsikan dengan rakan-rakan terdekat.
Katanya sekiranya usianya berjaya mencapai usia 100, dia mahu melakukan aksi berani dengan melakukan terjunan udara dan mengelilingi pantai di Florida.
Tanggal 7 Mei 2022 lalu, nenek berani ini berjaya merealisasikan impiannya apabila melakukan terjunan udara dari 10,000 kaki di udara seperti seekor burung bebas berterbangan di udara sambil diperhatikan rakan-rakan dan ahli keluarga terdekat.
Bekas jururawat itu turut dihidangkan dengan pemandangan unik dan cantik di kawasan pantai Florida sehingga payung terjun mendarat.
Aksi berani itu dirakamkan oleh syarikat Skydive Sebastian yang berpangkalan di bandar Sebastian di Indian River Country, Florida.
Sullivan yang merupakan pesara jururawat yang berkhidmat di era Perang Dunia Kedua dan merawat angota tentera yang cedera semasa perang mengakui teruja dapat merasai aksi berani walaupun mengakui berasa gementar.
“Aktiviti ini amat menakutkan namun sangat membahagiakan saya,” ujarnya.
Namun ketika ditanya adakah mahu mengulangi aktiviti lasak yang jarang dilakukan oleh individu seusianya dia lantas menjawab tidak mahu kerana takut.- KitaReporters