ISU kemiskinan yang membelenggu kehidupan sebahagian masyarakat Islam di Kemboja merupakan antara ciri-ciri menjadi pendorong kepada beberapa badan sukarela atau pertubuhan NGO di negara ini untuk berusaha menyalurkan berbagai bentuk sumbangan dalam meringankan beban hidup mereka. : KitaReporters
Faktor kemiskinan yang membelenggu kehidupan sebahagian masyarakat Islam di Kemboja menyukarkan mereka untuk membina pam-pam air bagi mendapatkan air bersih bagi kegunaan harian terutama untuk minum dan memasak.
Lagi kisah-kisah mereka yang perlukan bantuan:
https://kitareporters.com/search?search=kemiskinan
Pertubuhan Sukarelawan Ad-Diniah Malaysia merupakan antara salah satu badan NGO berkenaan yang prihatin dan tersentuh dengan isu kemiskinan lalu melaksanakan program-program bantuan untuk masyarakat Islam di sana sejak beberapa tahun lalu.
Selain sumbangan bantuan asas termasuk berbentuk makanan atau kemudahan-kemudahan lainnya turut melaksanakan program membina pam air bagi kemudahan mendapatkan air bersih untuk kegunaan harian masyarakat Islam yang tinggal di kawasan-kawasan perkampungan.
Salah seorang anak masyarakat Islam Kemboja yang menerima agihan pam air bersih melalui usaha Pertubuhan Sukarelawan Ad-Diniah Malaysia teruja menikmati air bersih yang diambil dari pam berkenaan.
Pam air yang dibina oleh Pertubuhan Sukarelawan Ad-Diniah melalui dana sumbangan rakyat Malaysia telah memberi kemudahan kepada penduduk Islam di Kemboja memperolehi air bersih. - Kredit Foto: Pertubuhan Sukarelawan Ad-Diniah.
Menerusi cacatan pada laman sosial pertubuhan sukarelawan berkenaan, usaha berterusan ini akan dijalankan selagi ada sumbangan orang ramai kerana kalangan masyarakat Islam khususnya golongan tidak berkemampuan di Kemboja memerlukan air bersih dalam aktiviti harian mereka termasuk untuk kegunaan minum dan memasak.
Disebabkan faktor kemiskinan, golongan masyarakat Islam Kemboja tidak mampu membina pam-pam air bagi mendapatkan air bersih untuk kegunaan kehidupan harian mereka.
Selama ini penduduk Islam berkenaan terpaksa menadah air hujan bagi dijadikan air minuman serta kegunaan lainnya. Jika tiada hujan untuk jangka masa agak lama terpaksalah mereka menggunakan air sungai yang tidak pasti kebersihannya dijadikan sebagai minuman serta kegiatan-kegiatan lainnya.
Malahan pada catatan tersebut, ada dinyatakan bahawa masyarakat Islam tempatan tidak diberi sokongan atau bantuan oleh pihak kerajaan Kemboja.
Juga mereka tidak diberikan peluang pekerjaan sebaliknya terpaksa mencari ikhtiar sendiri yang sesuai untuk mendapatkan sumber makanan dan keperluan asas.
Berikutan faktor inilah kebanyakan antara mereka hanya bergantung hidup kepada hasil pertanian yang diusahakan sekitar kawasan rumah untuk dijadikan sumber makanan dan pendapatan sara diri.
Disebabkan air hujan sebagai sumber air harian penduduk termasuk bagi kegunaan tanaman yang diusahakan timbul masalah besar bila hujan tidak turun untuk jangka masa panjang. Tanaman tidak begitu subur dan kurang menjadi.
Jika tiada hujan, maka menyukarkan mereka untuk mengangkut air sungai menggunakan tulang empat kerat bagi kegunaan harian termasuk minum dan memasak.
Anak-anak masyarakat Islam di Kemboja pula terutama yang kurang berkemampuan ramai tidak bersekolah dan buta huruf disebabkan faktor kemiskinan kehidupan harian. Mereka ibarat kais pagi makan pagi.
Untuk mendapatkan sumber makanan pun susah inikan pula menghantar anak-anak kesekolah. Sebaliknya anak-anak banyak menghabiskan masa membantu ibu bapa bertani.
Sementara itu, sebahagian warga emas dalam kalangan penduduk Islam di Kemboja hidup sebatang kara tanpa ada waris masing-masing disebabkan semasa pemerintahan regim komunis, ramai yang dibunuh dan hanya meninggalkan seorang untuk hidup bagi satu-satu keluarga.
Sebahagian golongan warga emas penduduk Islam Kemboja hidup sebatang kara dalam kedaifan kerana semasa pemerintahan komunis keluarga mereka dibunuh dan hanya ditinggalkan seorang bagi setiap keluarga.
ZAKARIA AWANG
Sehubungan itu, menurut Penaung Persatuan Sukarelawan Ad-Diniah Malaysia, Ustaz Zakaria Awang, air bersih menjadi keperluan penduduk Islam Kemboja bagi kegiatan harian mereka terutama golongan kurang mampu.
Untuk itu, katanya, sebagai rakan seagama kita wajar membantu mereka memperolehi air bersih khususnya air minum dan aktiviti harian lainnya termasuk bagi kegunaan ibadah.
Dalam konteks ini, menurut beliau, salah satu cara masyarakat Islam di negara ini membantu sahabat seagama di Kemboja merealisasikan hasrat tersebut ialah dengan sama-sama menyokong menjayakan program membina pam-pam air bagi keluarga Islam dicnegara berkenaan.
Pada Disember 2020 lalu, Pertubuhan Sukarelawan Ad-Diniah yang berpejabat di Kajang, Selangor menyasarkan pembinaan 500 unit pam air bersih bagi masyarakat Islam di Kemboja dengan kos keseluruhan RM850,000.
Sejak program pembinaan tersebut dijalankan, pertubuhan tersebut berjaya menyiapkan sejumlah 7,000 unit pam air di beberapa buah kampung penduduk islam di sekitar Kemboja. Kos untuk membina sebuah pam menelan belanja kira-kira RM1,700 dan ia boleh menjadi kegunaan untuk antara 4 ke 6 keluarga.
Salah seorang sukarelawan Pertubuhan Sukarelawan Ad-Diniah menunjukkan cara-cara menggunakan pam air yang telah siap dibina di sebuah perkampungan Islam di Kemboja. Dana pembinaannya dibiayai melalui sumbangan rakyat Malaysia.
Dengan pembinaan pam air tersebut, ia banyak memberi manfaat kepada masyarakat setempat khususnya bagi kegunaan minum dan memasak selain aktiviti harian lainnya termasuk bagi kegunaan menyiram tanaman yang diusahakan.
Orang ramai terutama mereka yang berkemampuan diminta menyumbang derma wakaf pembinaan pam air untuk masyarakat Islam Kemboja kepada Persatuan Sukarelawan Ad-Diniah bagi membantu saudara seagama di sana.
Melalui derma wakaf yang disumbangkan nanti, saudara Muslim kita di negara tersebut bukan sahaja memperolehi air bersih tetapi juga secara tidak langsung membantu meringankan beban mereka dalam meningkatkan hasil tani diusahakan.
Kepada yang ingin menyertai wakaf projek membina pam air bersih masyarakat Islam Kemboja boleh memilih salah satu antara empat kategori iaitu Wakaf A ( RM1,700 untuk 10 nama), Wakaf B (RM1,020 untuk 6 nama), Wakaf C (RM510 untuk 3 nama) dan Wakaf D (RM170 untuk 1 nama).
Sumbangan derma wakaf berkenaan boleh disalurkan melalui akaun bank CIMB nombor 8603887704 dengan rujukan Wakaf Pam Air.P
ertubuhan ini juga boleh dihubungi melalui telefon 011-15012419 atau http://www.diniahholding.com.- KitaReporters
Anak-anak masyarakat Islam Kemboja yang hidup dalam serba kekurangan kerana faktor kemiskinan teruja dengan kehadiran para sukarelawan dari Pertubuhan Sukarelawan Ad-Diniah yang membahagi-bahagikankan makanan semasa program membina pam air bersih di salah sebuah perkampungan masyarakat Islam negara itu.
Anak-anak keluarga Islam di salah sebuah kampung di Kemboja turut gembira setelah pam air bersih yang dibina di kampung mereka boleh digunakan.