Insan & Komuniti 13 Aug, 2021

Tahniah Roslee Ali! Penggali kubur penerima anugerah Maal Hijrah 1443! Anugerah Khas Frontliner

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this

Tanah perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Batu Caves di Kuala Lumpur. - Kredit foto: Berita Harian


TIDAK pernah terlintas dalam fikirannya tugas sebagai penggali kubur akan diberi penghargaan setinggi itu malah selama ini beliau hanya menjalankan amanah yang diletak ke atas bahunya tanpa mengharapkan sebarang balasan, kecuali mencari rezeki sambil mengharapkan reda Allah.

Justeru apabila diumumkan sebagai penerima Anugerah Khas Frontliner (Petugas Barisan Hadapan) sempena sambutan Maal Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan 1443H/2021M, Roslee Ali, 63, berasa sangat bersyukur.


Wira yang kini didendang.... Karikatur Roslee Ali oleh Ustaz Mohd Shafei Ahmad, guru Sekolah Intergrasi Rendah Agama JAWI (SIRAJ) Abu Dzhar Al-Ghifari sebagai menghargai jasanya.


“Saya ini orang biasa, hanya penggali kubur berbanding tokoh-tokoh lain yang turut dipilih,” ujar Roslee merendah diri. 

“Walau bagaimanapun saya bersyukur dan berterima kasih kepada pihak yang mencalonkan dan memilih saya untuk menerima anugerah ini.

“Anugerah ini bukan milik saya seorang sebaliknya milik semua penggali kubur terutama rakan-rakan saya di (Tanah Perkuburan Islam) Raudhatul Sakinah. Tanpa mereka, mana mampu saya menjalankan tugas itu seorang diri,” kata Roslee.

Menurut Roslee, walaupun pekerjaan menggali kubur hanya dilakukannya sepenuh masa sejak 10 tahun lalu namun ia bukanlah tugas yang asing kepadanya. Sebelum itu beliau memang biasa membantu kerja-kerja menggali kubur bila berlaku kematian di kalangan penduduk setempat. 

Namun, kematian isterinya, Rosnah Ahmad (ketika itu berusia 48 tahun) pada 2011 menyebabkan jiwa Roslee lebih dekat dengan kubur sehingga beliau mengambil keputusan berhenti kerja sebagai tukang paip untuk menjadi penggali kubur sepenuh masa di Raudhatul Sakinah, Taman Selaseh / Batu Muda, Gombak.


Roslee dan rakan-rakan setugasnya perlu menyediakan 40 buah kubur sehari bagi menampung pengkebumian jenazah kes Covid-19. - Kredit foto: JAWI


Berada di kawasan perkuburan memberi ketenangan walaupun dalam keadaan covid sekarang, saya terpaksa menguruskan berpuluh-puluh jenazah setiap hari 


“Ada beberapa faktor yang menyebabkan saya memilih pekerjaan sebagai penggali kubur sehingga sanggup meninggalkan kerjaya sebagai tukang paip yang saya ceburi selama 40 tahun.

“Pertama, selepas kematian isteri, pekerjaan penggali kubur ini memberi peluang untuk saya menziarah kubur isteri setiap hari. Kebetulan, arwah isteri saya memang dikebumikan di sini.

“Kedua, ia memberi ruang kepada saya untuk menjalani kehidupan normal berbanding ketika bekerja sebagai tukang paip dahulu. Kalau dahulu, saya keluar pagi dan balik malam malah ada ketika bertugas selama 24 jam berterusan kerana perlu menyiapkan kerja.

“Kadang-kadang saya terpaksa meninggalkan keluarga dalam tempoh waktu yang lama apabila bertugas di luar kawasan seperti di Perak, Kelantan, Terengganu malah hingga ke Sarawak.

“Bila bekerja sebagai penggali kubur, saya mempunyai lebih masa bersama anak menantu dan cucu terutama selepas kematian isteri.

“Dan ketiga, saya lakukan pekerjaan ini kerana ia merupakan fardu kifayah. Saya rasa bahagia dapat membantu menguruskan jenazah, daripada menyediakan liang lahad sehingga mereka dikebumikan.

“Berada di kawasan perkuburan juga memberi ketenangan kepada saya walaupun dalam keadaan covid sekarang, saya terpaksa menguruskan berpuluh-puluh jenazah setiap hari,” katanya.

Menurut Roslee, sebagai petugas barisan hadapan yang ditugaskan bersama seorang lagi penggali kubur serta petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan dua pegawai agama untuk mengendalikan jenazah magsa covid, rutin tugas beliau sudah berubah daripada kebiasaannya.

Selepas solat subuh Roslee sudah keluar rumah dan memulakan tugas menggali kubur seawal pukul 7:15 pagi sambil dibantu oleh enam rakan penggali lain.


Roslee menjadi penggali kubur sepenuh masa selepas kematian isterinya pada 2011. - Kredit foto: JAWI.


Dalam keadaan Covid-19 sekarang, mereka perlu menyediakan sekurang-kurang 40 buah kubur. Pada masa yang sama, jika ada jenazah perlu dikebumikan pada waktu pagi, mereka turut menguruskannya.

“Jadual untuk pengkebumian jenazah covid hanya bermula pada pukul 3 petang. Jika tidak dapat diselesaikan sebelum maghrib, kami akan menyambung urusan pengkebumian selepas isyak sehingga selesai semua jenazah dikebumikan.

“Dalam situasi sekarang, kami menguruskan antara 20 hingga 30 jenazah mangsa Covid-19 sehari dan dicampur dengan jenazah kematian biasa, ia mencecah sampai 40 orang sehari,” ujar Roslee.

Keadaan itu menyebabkan Roslee tidak sempat untuk balik makan tengah hari di rumah sebagaimana kebiasaan sebaliknya hanya makan nasi bungkus sama ada yang dibeli atau disumbangkan oleh pihak tertentu.


Sebagai langkah mengelak risiko jangkitan Covid-19, Roslee perlu mengenakan PPE sepanjang mengendalikan jenazah mangsa Covid-19. - Kredit foto: JAWI


Sebagai langkah keselamatan, Roslee turut diwajibkan memakai pakaian perlindungan (PPE) bagi mengelak sebarang risiko jangkitan. Malah, menurut Rosli, bila pulang ke rumah, beliau terpaksa mengasingkan diri daripada keluarganya. 

“Balik rumah, saya terus mandi dan kemudian mengurung diri dalam bilik. Saya hanya keluar untuk makan. Ini terpaksa saya lakukan demi mengelak sebarang risiko kepada anak, menantu dan cucu-cucu saya,” kata Roslee yang tinggal bersama anak kelimanya di Taman Sentul Utama, Sentul.

Begitu pun Roslee berpegang kepada satu keyakinan bahawa mati itu pasti dan punca sesuatu kematian itu hanyalah asbab.

“Jika sampai ajal, tidak kira di mana dan atas sebab apa pun, kita akan mati. Tapi, itu tidak bermakna kita perlu ambil mudah dengan mengabaikan SOP.

“Setakat ini, alhamdulillah, sejak mengendalikan jenazah Covid-19 dari Mac tahun lalu (2020) hingga sekarang, saya tidak berdepan dengan sebarang masalah kesihatan. Saya berserah kepada Allah serta yakin Dia melindungi saya,” ujar Roslee, bapa kepada enam anak dan 16 orang cucu.

Menurut Roslee, beliau akan meneruskan kerjaya sebagai penggali kubur selagi dianugerahkan kudrat dan kesihatan demi terus berbakti kepada masyarakat.



Pemilihan Roslee diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. Beliau menerima hadiah wang tunai, sijil dan plak penghargaan.

Ketua Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT), Mejar Jeneral (B) Datuk Kamarudin Mamat pula dianugerahkan Tokoh Utama Ma'al Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan 1443H/2021H.

Penerima lain terdiri Pengarah Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Labuan, Dr Ismuni Bohari sebagai Tokoh Frontliner 1, manakala Tokoh Korporat dianugerahkan kepada Pengarah Urusan Ramly Food Processing Sdn Bhd, Datuk Ramly Mokni. 

Personaliti televisyen dan radio, Ahmad Fedtri Yahya pula dipilih sebagai Tokoh Pendakwah Kreatif, manakala Pembantu Mubaligh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Nur Maisarah Leong Yoke Keen sebagai Tokoh Mualaf. - KitaReporters


6
0
0
0
0
You will be interested