Insan & Komuniti 07 Apr, 2020

TOLAK ARAK, TAPI TAK MAHU DILAGA-LAGAKAN

@rosalinda said
Bekas wartawan Utusan Malaysia yang pernah bertugas di Kuala Lumpur dan cawangan Kuala Terengganu.

Share this
PANDANGAN saya tentang arak adalah konsisten tanpa sebarang kompromi. Ianya adalah haram di sisi Islam. Justeru, apabila semua sudah mengetahui pendirian saya tentang arak, fahamlah bahawa apa sahaja berkaitan dengannya, saya tetap dengan tegas menolaknya." : KitaReporters



Bukan berdiam diri, sebaliknya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan tidak selesa untuk menjawab bagi pihak kementerian lain berhubung isu kebenaran beroperasi membabitkan sebuah kilang arak semasa penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, tindakan itu bagi mengelak sebarang kontroversi yang mungkin boleh menjatuhkan maruah individu tertentu sekiranya beliau tergesa-gesa mahu mengulas mengenai isu tersebut.

“Boleh jadi jawapan saya tepat atau salah. Malah, saya juga tidak mengetahui adakah apa yang saya fahami, benar-benar seperti yang dikatakan orang atau sebaliknya.

“Soalan-soalan yang berbaur kontroversi atau bertujuan melaga-lagakan saya dengan sesiapa sahaja itulah yang terutama saya elakkan

"Ini kerana, kalau saya tergesa-gesa menjawabnya, boleh jadi ia menjatuhkan maruahnya. Inilah antara pesan guru saya Syeikh Al-‘Allamah Dr. Muhammad Muhammad Al-Mukhtar Al-Syanqiti,” katanya dalam hantaran terbaharu dalam laman Facebook pada Selasa, 7 April 2020.

Tangkap layar hantaran Zulkifli mengenai isu arak. (https://www.facebook.com/drzulkiflialbakri/)


Zulkifli bagaimanapun berkata, pandangannya mengenai arak adalah konsisten tanpa sebarang kompromi. 

Justeru, tambanya, apa sahaja berkaitan minuman beralkohol yang bukan sahaja dilarang dalam Islam, malah yang turut digambarkan dengan keburukan dan bahaya dalam agama Hindu, Buddha, Kristian, Sikh dan lain-lain itu, tetap dengan tegas ditolak.

Katanya, orang ramai boleh merujuk penulisan-penulisannya mengenai arak semasa menjadi Mufti Wilayah Persekutuan kerana setiap teguran serta nasihat adalah tulus ikhlas dari hati dan bukan memilih-milih. 

Tangkap layar hantaran Zulkifli mengenai isu arak. (https://www.facebook.com/drzulkiflialbakri/)


Sehubungan itu, beliau berharap insiden kilang arak yang dibenarkan beroperasi semasa PKP tidak berulang lagi kerana umum sudah mengetahui natijahnya.

Dalam perkembangan sama, Zulkifli mengambil kecaknaan sebarang bentuk nasihat dan cadangan daripada semua pihak terutamanya Ashab al-Samahah para mufti, cendekiawan Islam dan sesiapa sahaja. 

“Nasihat itu akan saya semat pada hati sanubari ini dan cuba mencari jalan yang terbaik dalam menyelesaikannya.

"Terima kasih semua. Saya doakan semoga kita semua saling nasihat-menasihati sesama kita. 

"Saya juga sedia mendengarnya mengikut kapasiti dan kemampuan yang ada dalam melaksanakan amanah cukup besar ini,” katanya. - KitaReporters

8
1
0
0
0
You will be interested