Insan & Komuniti 10 Feb, 2021

Semangat kental petugas pusat Mahmudah! Penghuni positif Covid-19 disantuni, dirawat segera!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this


PUSAT Jagaan Mahmudah Malaysia, Semenyih, Selangor melalui saat getir dan mendukakan apabila 15 petugas dan 40 penghuni di rumah itu terancam dengan pandemik Covid-19 sejak 22 Januari 2021 lalu.

Berikutan itu, 26 penghuni dan lima petugas pusat berkenaan dimasukan ke beberapa hospital apabila positif Covid-19 untuk dikuarantinkan bagi mendapatkan rawatan. Daripada jumlah penghuni yang menerima rawatan itu dua daripadanya meninggal dunia dan dua lagi kritikal.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan Pusat Jagaan Mahmudah:

https://kitareporters.com/search?search=jagaan+mahmudah


Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia mendapat khidmat semburan percuma sanitizer.


Bagaimanapun daripada jumlah yang masih menerima rawatan dan dikuarantinkan itu, lapan penghuni sudah dibenarkan pulang ke pusat jagaan berkenaan pada 5 Februari 2021 lalu, manakala selebihnya masih dirawat.

Pengerusi Mahmudah Malaysia, Azman Rasman, berkata pada awal pandemik itu melanda negara, semua penghuni di situ telah menjalani ujian calitan (swab test) dan pemeriksaan kesihatan selain ditegah untuk berhubung dengan orang luar sebagaimana mematuhi nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).



Penasihat Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, Mohiadin Bahado menerima sumbangan daripada NGO.


Menurut Azman, bagi pelawat, mereka tidak digalakkan untuk datang menziarah buat seketika kecuali jika ada perkara penting dengan disyaratkan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti merekodkan kedatangan, suhu badan dan berada di tempat yang dikhaskan.

Katanya, situasi yang berlaku di pusat itu amat mengejutkan serta di luar jangkaan kerana pelbagai langkah pencegahan sudah dilakukan termasuklah meningkatkan langkah kebersihan dengan menggunakan sanitizer bagi meningkatkan keselamatan penghuni yang berumur antara 40 hingga 80 tahun.



Petugas Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia membuang dan menghapuskan tilam, bantal, selimut dan cadar lama yang tercemar akibat gejala Covid-19.


“Berikutan itu selepas mengadakan perbincangan pihak kami mengambil inisiatif bagi mengelak jangkitan dengan melakukan kerja-kerja pembersihan seperti membuang dan memusnahkan tilam, sarung bantal, cadar, kain selimut serta pakaian yang tercemar kerana terkena muntah, najis dan sebagainya akibat gejala Covid-19.

“Kerja memusnahkan barangan itu tiada kaitan langsung dengan arahan mana-mana , langkah ini semata-mata usaha pihak kami demi menjaga kesejahteraan kesihatan penghuni di sini yang menjadi tanggungjawab pihak pengurusan,” kata Azman.


Kerja-kerja pembersihan dilakukan di semua kawasan Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia.


Azman berkata, amat menggembirakan dan berasa terharu apabila masalah itu diuar-uarkan kepada pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO), korporat, dermawan dan individu, mereka mula menghulurkan derma serta bantuan seperti tilam, sarung bantal, cadar dan kain selimut yang baharu.

Menurut beliau, pusat itu juga turut menerima sumbangan sarung tangan, pelitup muka dan kelengkapan pakaian pelindung diri (PPE) serta mendapat khidmat semburan percuma sanitizer selepas mendapat perhatian serta kunjungan Ahli Dewan Undang Negeri (Adun) Semenyih, Zakaria Hanafi; mantan Adun, Datuk Johan Abdul Aziz dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang, Dato’ Zul-Kefli @Zulkefli Khalid.


Pelbagai pihak prihatin menyumbangkan PPE untuk digunakan oleh petugas di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia.


“Perhatian pelbagai pihak termasuk komuniti kawasan sekitar pusat ini, Balai Polis Daerah Semenyih, Jabatan Kebajikan Masyarakat, KKM, Pusat Kesihatan Daerah dan Lembaga Zakat Selangor memberi motivasi serta semangat kepada kami untuk terus berbakti kepada penghuni  yang sudah uzur, dibuang keluarga dan tiada waris kerana mereka amat memerlukan jagaan serta perhatian.

“Kami juga amat memerlukan sumbangan dana bagi membiayai kos penjagaan, pengurusan dan pengoperasian pusat ini yang mencecah RM50,000 sebulan. 

“Mereka yang ingin membantu termasuk untuk mengeluarkan zakat boleh menghubungi saya menerusi nombor telefon, 019-977 7419, Ruslan Saidin (019- 212 3757) dan Sazali Mohiden (019-368 8142), sementara sumbangan wang boleh disalur ke Akaun CIMB Islamic -8603160021 (Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia) atau ke Akaun Maybank Islamic -562384521053 (Persatuan Kebajikan Mahmudah Malaysia),” kata Azman. - KitaReporters

Sumbangan pelbagai pihak dapat meringankan bebanan yang terpaksa ditanggung oleh Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia.

25
3
2
0
1
You will be interested