Insan & Komuniti 16 Feb, 2021

Bayar gaji Covid-19 kami! Hospital tak bayar insentif Covid-19! Petugas kesihatan demonstrasi!

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this

SEORANG petugas barisan hadapan di Hospital Umum Daerah Dr. Pirngadi, Medan, Sumatera Utara duduk termenung mengenangkan nasib kerana masih belum menerima bayaran insentif Covid-19 yang tertunggak sejak sembilan bulan lalu. - Kredit foto: Kompas.com


BARISAN hadapan atau frontliners yang bertugas bertungkus lumus siang malam tanpa mengenal penat lelah bagi menjaga dan merawat pesakit dalam usaha mengekang penularan pandemik Covid-19, sentiasa mendapat perhatian kerajaan Malaysia  sejajar dengan pengorbanan mereka untuk negara.

Oleh itu kebajikan mereka sentiasa dijaga. Penat lelah mereka dihargai. Selain gaji bulanan, mereka menerima elaun khas Covid-19 yang dibayar sejak Mac 2020 lalu. Mereka juga diberi elaun one off merangkumi 140,000 kakitangan kesihatan yang terlibat dengan tanggung jawab berkait dengan Covid-19.


HOSPITAL Umum Daerah Dr. Pirngadi di Medan, Sumatera Utara, masih belum membayar insentif tertunggak untuk petugas barisan hadapan. - Kredit foto: Hospital Dr. Pringadi.


Namun sementara petugas barisan hadapan negara ini dijaga sebaik-baiknya, di negara jiran Indonesia, petugas barisan hadapan di sebuah hospital di Medan, Sumatera Utara, tidak dibayar insentif Covid-19 selama sembilan bulan dari Mei 2020 hingga Januari 2021. 

Lantaran tidak tahan menunggu dengan desakan hidup akibat Covid-19, para petugas perubatan di Hospital Umum Daerah (RSUD) Dr. Pirngadi, Medan, mengadakan demonstrasi menuntut pembayaran insentif.

Memetik laporan Kompas.com pada 11 Februari 2021, selama berbulan-bulan para petugas tersebut menanggung derita terpaksa menunggu insentif yang tidak dibayar oleh pihak hospital.

Kerana itu mereka mengadakan demonstrasi pada Rabu 10 Februari 2021 untuk meluahkan kekecewaan lantaran harapan terus tinggal harapan hampa.


LENGKAP berpakaian perlindungan diri, petugas barisan hadapan Hospital Umum Daerah Dr Pirngadi berdemosntrasi di kawasan hospital menuntut bayaran insentif Covid-19. - Kredit foto: Kompas.com


Dengan memakai alat perlindungan diri serba lengkap, mereka berjalan sekeliling hospital dengan membawa sepanduk yang antara lain berbunyi: Tolong kami. Bayarkan gaji Covid-19 kami dari bulan Mei 2020 hingga Januari 2021.

Kali terakhir insentif mereka dibayar ialah pada April 2020. Selepas itu mereka menunggu dan terus menunggu tetapi pihak hospital membuat penantian mereka tidak kunjung tiba.

Salah seorang petugas, Boala Zendrato, menjelaskan mereka mengambil keputusan mengadakan demonstrasi setelah pihak hospital berdolak dalik mengenai bayaran insentif.

Menurutnya, apabila perkara itu diajukan kepada pihak hospital, pengurusan hanya meminta petugas bersabar. Setiap kali ditanya itulah jawapannya sehingga kini sudah sembilan bulan masih belum dilangsaikan.


SEBAHAGIAN petugas barisan hadapan Hospital Dr. Pirngadi dengan membawa sepanduk berdemonstrasi menuntut bayaran insentif Covid-19. - Kredit foto: Kompas.com


Bagi Boala, sikap hospital ini amat tidak adil kerana petugas telah melaksanakan tanggungjawab yang diarahkan, walau terpaksa menganggung risiko kehilangan nyawa ketika menguruskan pesakit Covid-19.

Katanya, mereka hanya menuntut hak mereka. Mereka tidak pernah melawan atau membantah apa-apa arahan diberikan oleh pihak atasan tetapi malangnya pihak atasan tidak menghargai pengorbanan mereka. - KitaReporters.com

0
0
4
0
0
You will be interested